ARKIB : 07/09/2000
Saudara Pengarang,
SAYA adalah pelajar IPT di utara. Sebagai
seorang pelajar yang sudah berada di tahun dua bermakna dua kali saya merayakan
malam 31 Ogos di universiti.
Walaupun ramai di kalangan pelajar yang
pulang dan tidak kurang juga yang mengambil peluang makan angin, apa yang saya
lihat pihak universiti tetap merayakan malam dan hari 31 Ogos yang pada
pandangan saya amat memberi kesan kepada kami sebagai generasi selepas merdeka.
Selepas menonton video yang merakamkan
kemuncak hari kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, saya akui sebagai generasi
baru yang tidak dapat merasai pahit maung generasi yang terdahulu membela
negara untuk bebas dari belenggu penjajah tiba-tiba dada menjadi sebak.
Baru saya terfikir alangkah malangnya
saya jika tanah air ini masih dibelenggu anasir yang tidak diundang seperti dahulu.
Tentu saya dan semua rakyat Malaysia tidak akan berada dalam keadaan seperti
sekarang ini, berdiri di samping pembangunan yang bukan sedikit jika
dibandingkan dengan 43 tahun lalu.
Baru saya sedar laungan 'Merdeka' di
mana-mana memang mudah untuk diucapkan tapi kita harus tahu sejauh mana kita
dapat mengenal erti kemerdekaan itu.
Kalau dahulu memang ia membawa erti
bebas dari anasir luar tapi perubahan corak pemikiran dan tamadun manusia telah
merubah semuanya.
Pada waktu ini setelah 43 tahun negara
kita merdeka ia bukan setakat bebas daripada anasir luar tetapi seharusnya jauh
daripada itu lagi.
Membaca puisi sajak yang dideklamasikan
oleh Perdana Menteri sempena malam Puisi Patriotik 2000 dapat kita selami
betapa tinggi pengharapan seorang peneraju negara mengajak kita mengenali erti
kemerdekaan.
Bangkit sebagai anak Malaysia yang
berani menanggung cabaran yang mendatang dan mampu memartabatkan bangsa
bersama-sama perpaduan yang teguh serta mampu bersama-sama merealisasikan
slogan negara 'Malaysia Boleh' seharusnya dimiliki oleh setiap generasi yang
lahir selepas merdeka.
Semangat yang ditunjukkan oleh mereka
yang mencipta nama seperti Datuk Azhar Mansor, pendaki-pendaki Gunung Everest
dan lain-lain bukanlah sekadar mahu mencipta nama. Apa yang kita harus sedar
adalah semangat mereka untuk menyedarkan kita bahawa semua anak Malaysia
sebenarnya mampu seiring dengan orang lain yang dikatakan jauh lebih bertamadun
daripada kita.
Merekalah yang seharusnya kita jadikan
contoh pejuang memartabatkan bangsa sebagai anak Malaysia dan memperkenalkan
Malaysia can do it.
Namun satu lagi yang lebih penting
adalah persepakatan kita menangani segala anasir yang cuba menikam kita dari
belakang. Perpaduan dan memartabatkan maruah bangsa yang berdaulat harus
dikekalkan dan saya sedar sebagai generasi baru saya juga perlu memikul
tanggungjawab ini.
Anggaplah ia sebagai cara kita
menghargai segala jasa oleh datuk nenek moyang yang membebaskan kita daripada
belenggu kuasa asing.
Sebagai tanda terima kasih bangkitlah
dari lamunan dan realitikanlah segala cita-cita kita.
Sebagai generasi baru jadilah
penyambung kepada segala usaha memperkukuhkan kewibawaan Malaysia di mata dunia
sebagai negara yang tinggi maruah bangsanya.
Jauh di sudut hati sememangnya benar
jika kita katakan bukan orang lain yang mampu berbangga dengan kejayaan kita
kalau bukan anak bangsa kita sendiri yang berdiri teguh memperakui bahawa kita
anak Malaysia.
Anggaplah segala hala tuju kita di hari
muka adalah di bawah laungan 'Keranamu Malaysia'. - ANAK LEPAS MERDEKA,
Universiti Utara, Kedah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz4b0NQEd3Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan