Selasa, 25 April 2017

Laungan merdeka diiringi air mata

ARKIB : 01/09/2004
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menerima replika kunci dari pejuang-pejuang kemerdekaan di majlis Perayaan Bulan Kemerdekaan dan Mengibar Jalur Gemilang di Padang Ipoh, Perak baru-baru ini.



LAUNGAN kemerdekaan di Padang Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta menaburkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih terngiang-ngiang di ingatan seorang guru Sekolah Melayu di Melaka.
Guru berkenaan, Datuk Wira Borhan Md. Yaman yang kini berusia 75 tahun berkata, peristiwa kaum ibu melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang menaburkan wang di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun 1954 begitu menyayatkan hati beliau.
Katanya, semua itu dilakukan kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan kepada pemimpin mereka iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, mereka bergantung harap agar mesej tersebut dibawa ke London.
``Peristiwa itu berlaku ketika Tunku Abdul Rahman datang ke Melaka untuk menghadiri mesyuarat tergempar UMNO Malaya bagi memaklumkan kegagalan rundingannya dengan Inggeris bagi mendapatkan persetujuan agar diadakan pilihan raya pada tahun 1955,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di Kelebang, Melaka baru-baru ini.
Menurutnya, pilihan raya itu perlu diadakan bagi menunjukkan kepada Inggeris bahawa rakyat negara ini mampu mentadbir sendiri negara mereka dan Tunku Abdul Rahman memerlukan mandat daripada rakyat untuk menyatakan pendirian itu kepada Inggeris.
Tambahnya, Tunku Abdul Rahman juga memberitahu ketika berada di London sebelum itu, beliau dan rakan-rakan seperjuangan tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada Inggeris.
Bagaimanapun Tunku Abdul Rahman dan pemimpin UMNO lain tetap bertekad untuk mendapatkan persetujuan Inggeris bagi mengadakan pilihan raya kerana hanya dengan cara itu tuntutan kemerdekaan dapat diperkukuhkan lagi, ujarnya.
Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu juga menyatakan bahawa mereka amat memerlukan bantuan daripada seluruh rakyat kerana mereka juga kekurangan wang untuk pergi ke London bagi berbincang dengan Inggeris tentang penubuhan kerajaan sendiri.
``Jika seseorang pemimpin itu bercakap dengan hati yang ikhlas, ia akan disambut dengan hati juga,'' katanya bagi menggambarkan keinsafan rakyat terhadap keikhlasan perjuangan pemimpin mereka ketika itu.
Katanya, terdapat kira-kira 300 orang di dalam Dewan Meng Seng termasuk para pemimpin UMNO negeri-negeri lain serta orang ramai yang memerhati dari tingkat dua dewan tersebut dan apabila mendengar ucapan Tunku Abdul Rahman, rata-ratanya berasa sedih dan terhina kerana pemimpin mereka tidak mendapat layanan daripada Inggeris.
Ketika itu juga katanya, secara spontan bendera UMNO telah dihamparkan di tengah-tengah dewan dan orang ramai mula menaburkan wang dan sesetengahnya pula melucutkan barang kemas mereka untuk membantu menampung perjalanan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misinya mendapatkan pilihan raya dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan negara.
Borhan yang ketika itu menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Melaka berkata, usaha mengumpulkan dana bagi membantu misi kemerdekaan terus berjalan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan di seluruh pelosok negeri.
Menurutnya, beliau dan rakan-rakan menjalankan kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian termasuk pada pertunjukan bangsawan.
``Derma Merdeka mendapat sokongan rakyat. Orang kampung dan yang miskin juga menderma dengan memberi padi, buah pisang, buah-buahan, pakaian dan ada penoreh getah yang memberi sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi mengisi tabung itu,'' katanya.
Borhan memberitahu, semangat mahukan merdeka begitu membuak-buak di kalangan orang Melayu bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana mereka hidup dalam serba kekurangan dan dicengkam kemiskinan serta menerima tekanan daripada penjajah.
``Usaha membangkitkan semangat orang Melayu di Melaka agar berjuang menuntut kemerdekaan juga bukanlah mudah kerana kebanyakan mereka masih mempunyai rasa rendah diri yang menebal ekoran negeri mereka yang pernah dijajah lebih empat abad,'' katanya.
Beliau memberitahu, usaha berterusan pemimpin Melayu telah berjaya membuka fikiran orang ramai ketika itu tentang erti kemerdekaan dan perlunya mereka bebas daripada penjajahan.
Katanya, kemerdekaan India, Filipina dan Indonesia sering dijadikan contoh dalam membakar semangat kemerdekaan di kalangan orang Melayu agar mereka bersama-sama bangun menuntut kemerdekaan.
Tunku Abdul Rahman akhirnya berjaya juga mendapatkan persetujuan Inggeris untuk mengadakan pilihan raya pada 27 Julai 1955 dan hasilnya parti Perikatan pimpinan beliau menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Kemenangan itu membolehkan Tunku Abdul Rahman dan para pemimpin yang lain memperjuangkan pula kemerdekaan negara secara lebih tersusun dan melalui `Rombongan Kemerdekaan' yang berunding dengan Inggeris pada Januari 1956, kemerdekaan tercapai juga akhirnya.
Sekembali dari London, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah singgah di Melaka pada 20 Februari 1956 untuk menyatakan bahawa Inggeris bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
``Kira-kira 100,000 orang dari seluruh negara termasuk yang datang dari Singapura berkumpul di Padang Pahlawan untuk mendengar perisytiharan kemerdekaan daripada Tunku Abdul Rahman,'' katanya yang ketika itu menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dan terlibat dalam menyambut Rombongan Kemerdekaan itu.
Sebaik sahaja mendengar perisytiharan daripada Tunku Abdul Rahman itu, rakyat menangis dan menyorak kegembiraan sambil melaungkan jeritan merdeka.
Beliau memberitahu, Tunku Abdul Rahman sering kali memilih Melaka untuk mengadakan acara-acara yang besar kerana Melaka dikaitkan dengan kegemilangan bangsa Melayu dan juga kepahlawanan Hang Tuah dan rakan-rakannya.
``Mereka mahukan acara-acara bersejarah dilakukan di tempat jatuhnya zaman kegemilangan Melayu agar empayar Melayu dapat dibangunkan semula,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan