Jumaat, 24 Mac 2017

Hargai jasa pahlawan



ARKIB : 28/08/2002
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
(Wartawan Utusan)
BARANGKALI rakyat sudah terlupa tentang segala jasa dan pengorbanan pahlawan negara.

Dan barangkali juga lembaran sejarah yang mengagung-agungkan keperwiraan serta keberanian anak-anak watan menentang penjajah dan pengkhianat negara beberapa dekad lalu sudah semakin jauh dari sanubari rakyat.

Malah sambutan Hari Kebangsaan yang ke-45 yang akan berlangsung beberapa hari saja lagi seperti sudah semakin jauh kaitannya dengan bekas pejuang dan perajurit tanah air.

``Kalau mereka masih mengingati segala pengorbanan pahlawan negara, sumbangan yang diterima mungkin tidak sekecil ini,'' kata Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Beliau jelas tidak dapat memendam rasa kecewanya berhubung kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan pada tahun ini yang nyata begitu kecil berbanding untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.

Sejak dilancarkan pada 31 Julai lalu oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah sehingga semalam, baru RM53,000 berjaya dikutip meskipun tempoh kempen akan berakhir pada tarikh keramat 31 Ogos ini - di saat rakyat bergembira meneriakkan kalimat `Merdeka' berulang kali .

Melihat kepada jumlah kutipan yang tidak seberapa itu, mungkin Muhammad berhak untuk merasa terkilan. Lebih-lebih lagi selepas banyak publisiti diuar-uarkan di dalam media untuk meminta rakyat memberi sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga bekas tentera di seluruh negara.

Sememangnya jasa anggota tentera sejak sebelum merdeka lagi amat besar terhadap negara kecil yang bernama Malaysia. Buktinya, cuba pejamkan mata kita seketika dan bayangkan beberapa kemungkinan yang boleh berlaku tanpa adanya mereka yang bernama anggota tentera.

Pertamanya, cuba soroti apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang jika ancaman pengganas komunis masih belum berjaya dilumpuhkan dan darurat masih berterusan?

Begitu juga nasib rakyat jika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal mematahkan `serangan' tentera Indonesia sewaktu konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1960-an dahulu.

Bukankah kesedihan dan ketakutan rakyat pelbagai kaum juga mungkin berterusan jika pasukan tentera kita tidak berperanan sewaktu tragedi hitam rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 lalu?

Namun hakikatnya, tidak ramai yang mahu membayangkan perkara tersebut lagi sekarang. Seperti kata Muhammad, usaha mewujudkan keamanan negara yang dibayar dengan keringat dan darah oleh para pejuang negara seperti sengaja dilupakan oleh sebahagian besar rakyat.

``Mereka sedang bergembira kerana telah lama hidup dalam keamanan. Kemakmuran negara sedikit sebanyak melupakan mereka kepada pejuang yang pernah menempuh pelbagai keperitan,'' katanya.

Muhammad berkata, sebagai warganegara yang tahu menghargai nikmat erti kemerdekaan tidak sepatutnya jasa pahlawan negara dilupakan begitu sahaja.

Menurutnya, walaupun para pejuang dan ahli keluarga mereka tidak pernah meminta jasa mereka dibalas, tetapi sebagai manusia yang tahu mengenang budi, sedikit sebanyak penghargaan harus diberikan.

Dalam konteks Tabung Rayuan Hari Pahlawan katanya, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dengan dibantu oleh PBTM hanya meminta rakyat menyumbang seadanya sebagai tanda mengingati jasa mereka yang terlibat.

``Walaupun satu sen yang mereka sumbangkan, itu amat bermakna. Itu adalah tanda mereka masih mengingati pengorbanan pahlawan kita,'' katanya.

Ujar Muhammad, pihaknya tidak menetapkan satu kadar minimum untuk orang ramai menyumbang kepada tabung itu kerana matlamatnya bukan untuk mengutip wang semata-mata.

Katanya, tarikh pelancaran kempen kutipan selama sebulan tabung itu pada 31 Julai setiap tahun adalah jelas menggambarkan objektif sebenarnya.

Tarikh tersebut diambil sempena pengumuman Perdana Menteri Pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman mengenai penamatan darurat pada 31 Julai 1960.

Ujar beliau, sepanjang tempoh darurat selama 12 tahun dari tahun 1948 hingga 1960 itu, ramai anggota pasukan keselamatan telah terbunuh dan cedera sewaktu bertugas membanteras keganasan Parti Komunis Malaya.

``Disebabkan ramai yang kehilangan ketua keluarga dan terpaksa hidup dalam kesusahan, maka tabung ini dilancarkan untuk membolehkan rakyat nasib ahli keluarga mereka terbela,'' katanya yang turut pernah terlibat dalam operasi membanteras pengganas komunis sewaktu berkhidmat dahulu.

Muhammad memberitahu, jika dahulu bunga popi diedarkan di sekolah-sekolah bagi tujuan tersebut, namun kini ia berupa kempen kutipan wang tunai.

Beliau memberitahu, sejak dahulu hingga sekarang pelajar sekolahlah yang paling banyak berperanan mengutip derma untuk tabung berkenaan.

Dalam masa yang sama kata beliau, ibu pejabat PBTM turut berperanan mengumpulkan sumbangan daripada individu dan syarikat korporat di seluruh negara.

Tahun ini katanya, sebanyak 4,000 surat rayuan telah dihantar berbanding 3,000 pucuk surat pada tahun lalu kepada pihak-pihak berkenaan.

``Malangnya, sambutan kali ini agak mengecewakan. Syarikat korporat memandang sepi rayuan yang kita kirimkan,'' ujar beliau.

Beliau mengakui sikap pihak terbabit agak mengejutkan kerana sebelum ini sebahagian kutipan datangnya dari sektor korporat.

``Bagaimanapun, saya masih percaya mereka bukan tidak mahu menyumbang tetapi mungkin terlupa. Mungkin juga pelbagai isu yang berlaku sekarang, menyebabkan rakyat tidak sedar bahawa kempen rayuan tersebut sedang berjalan,'' katanya.

Muhammad memberitahu, PBTM amat memerlukan bantuan orang ramai kerana sumbangan mereka akan digunakan untuk meringankan beban bekas perajurit yang hidup menderita akibat penyakit kronik dan hilang upaya, balu-balu tentera yang sedang dihimpit kemiskinan dan anak-anak yatim piatu.

Setiap tahun antara 3,000 hingga 4,000 bekas tentera memohon bantuan daripada PBTM untuk pelbagai tujuan terutama untuk meringankan beban merawat penyakit serta menampung belanja menghantar anak-anak ke institusi pendidikan.

Untuk tujuan tersebut, persatuan itu memerlukan kira-kira RM2 juta setahun untuk diagihkan kepada PBTM negeri-negeri.

Kutipan pada tahun-tahun sebelum ini amat jarang mencecah angka tersebut kecuali pada tahun lalu apabila sejumlah RM2.2 juta berjaya dikumpulkan.

Selain membantu ahli seramai 130,000 orang, PBTM turut membantu bukan ahli yang kini dilaporkan terdapat kira-kira 250,000 bekas tentera di seluruh negara termasuk mereka yang pernah berjuang menentang penjajahan tentera Jepun dan Inggeris dahulu.

Jumlah bekas tentera yang perlu dibantu semakin bertambah setiap tahun berdasarkan jumlah anggota tentera yang bersara setiap tahun adalah ramai.

``Kalau dilihat daripada jumlah ahli, beban tanggungjawab persatuan memang berat. Tetapi kalau tidak dibantu, siapa lagi yang hendak membantu mereka,'' katanya.

Persoalan yang ada ialah jika di saat menjelang sambutan Hari Kebangsaan rakyat masih melupakan mereka, bilakah agaknya pejuang ini akan diingati semula?

Mungkinkah kita masih dibelenggu sindrom mudah lupa?

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4cGFzkwRv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan