ARKIB : 22/08/2000
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
RED Sorghum, Border, Sarjan
Hassan, Megat Terawis dan Hang Tuah adalah antara filem yang disiarkan mulai 15
Ogos hingga 15 September ini di saluran Astro. Pada 31 Ogos pula Astro Ria
merayakan Hari Kemerdekaan dengan filem dan drama antaranya Darah Satria, Janji
Merdeka, Matinya Seorang Patriot dan Perempuan Melayu Terakhir.
Stesen kabel itu juga
menyiapkan beberapa siri dokumentari bagi mengenang sejarah kemerdekaan negara.
Kesemua filem, drama dan
dokumentari ini membawa tema perjuangan, kemerdekaan dan menuntut hak yang
sesuai dengan usaha menerapkan semangat patriotik kepada warga di negara ini.
Astro Ria nampaknya mendahului
stesen TV tempatan yang lain dalam menyemarakkan ulang tahun kemerdekaan ke-43
tahun ini. Persoalannya apakah membawa penonton menghayati kemerdekaan ini
hanya menjadi tanggungjawab Astro? Apa peranan stesen TV lain yang mempunyai
jumlah penonton yang jauh lebih besar daripada Astro?
Apabila melihat ketiadaan
program yang menjurus kepada semangat patriotik dan menghargai usaha melindungi
hak daripada dicerobohi, kita terpaksa mengakui bahawa nilai kemerdekaan
sebenarnya adalah murah pada persepsi stesen TV.
Sambutan Hari Valentine, Hari
Ibu, Hari Bapa malah Tahun Baru Cina dibuat dengan lebih meriah dan terancang
berbanding Hari Kemerdekaan. TV sebagai media yang sangat berpengaruh telah
membawa kemeriahan perayaan itu ke segenap ceruk rantau.
Ini membuatkan orang di
kampung-kampung yang tidak tahu Hari Valentine juga merasa terhibur dan lama-
kelamaan memahami apa itu Hari Valentine. Kerana menarik dan penyiarannya
kelihatan begitu terancang, maka ia menyumbang kepada kemeriahan untuk
dirasakan oleh semua orang.
Begitu juga dengan Hari Ibu,
Hari Bapa atau Tahun Baru Cina. Stesen TV kita menyambutnya dengan
bersungguh-sungguh untuk merayakannya.
Tetapi perkara yang sama tidak
berlaku pada sambutan Hari Kemerdekaan. Maka tidak keterlaluan kalau dikatakan
nilai Hari Kemerdekaan lebih murah dari Hari Valentine atau Tahun Baru Cina.
Bulan ini bulan merdeka. Bulan
ini sejak 1957 dulu telah menjadi keramat kepada semua orang yang mengakui
menjadi warga yang setia. Minggu ini minggu terakhir bulan Ogos. Tetapi di TV
masih belum kelihatan sesuatu yang boleh mengisi makna dan semangat
kemerdekaan. Rakyat tidak merasakan suasana yang boleh membangkitkan naluri
untuk mereka merasakan mahalnya harga sebuah kemerdekaan.
Beberapa tahun lalu, kerajaan
telah mengarahkan semua stesen TV menyiarkan program yang bertemakan patriotik
mulai 15 Ogos hingga 15 September.
Apakah ketiadaan program yang
berjiwa patriotik dan menyingkap jati diri ini ada kaitannya dengan pengaruh
pengiklan yang menentukan program untuk penonton?
Stesen TV tempatan selalunya
meletakkan tanggungjawab ini kepada pengiklan. Mereka menyalahkan pengiklan
yang tidak mahu menaja program bercorak patriotik.
Kerana itu kita boleh membuat
andaian bahawa ketiadaan program kemerdekaan pada minggu terakhir bulan Ogos
ini kerana tiada pengiklan yang mahu menaja program tersebut.
Mujur Astro Ria menyenaraikan
beberapa drama dan filem yang bertemakan jati diri dan patriotik sempena ulang
tahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Drama Janji Merdeka misalnya
bergerak secara longgar di atas satu peristiwa yang cuba dipadamkan dari
lipatan sejarah negara. Ia bertolak daripada peristiwa penting kebangkitan
pelajar pada 1974 yang sedikit sebanyak meninggal kesan hingga ke hari ini.
Sebelum Janji Merdeka arahan
Nurhalim Ismail ini, tidak ada drama atau filem yang berani mendramakan
peristiwa yang disifatkan sebagai ''sensitif'' ini.
Biar sensitif mana sekalipun,
masyarakat kita telah matang dan Astro Ria menghidangkannya kepada kita untuk
membuat penilaian.
Barangkali ada yang
tertanya-tanya apa perlunya Astro menyenaraikan filem arahan Zhang Yimou, Red
Sorghum dan Border sebuah filem Hindi sempena ulang tahun kemerdekaan negara
ini?
Tentunya Astro melihat
perjuangan menuntut hak dari persepsi yang global apabila membawa Red Sorghum
arahan Zhang Yimou dari China dan Border dari India. Red Sorghum menyingkap
perjuangan mempertahankan hak sungguhpun hanya sebuah kilang arak sementara
Border mengenai perang India dan Pakistan dari persepsi India.
Ini membuktikan perjuangan
menuntut hak adalah sama walau di mana-mana. Ia bertujuan mendapat kebebasan
dan mengembalikan maruah yang hilang.
Mungkin semangat patriotik
Astro ada juga di stesen TV lain. Tetapi mereka tidak boleh mempamerkannya
kerana tidak mendapat restu daripada pengiklan.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4aui33JFk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan