ARKIB : 30/08/2000
RUHIL.
Warga kota selain dari menunggu
dengan penuh gembira detik 12 malam, mereka juga mengisi masa dengan
acara-acara hiburan oleh banyak artis-artis popular.
Sering kali persembahan artis
tempatan adalah acara utama sebelum menjelangnya detik 12 malam yang kemudiannya
disinari dengan percikan bunga api.
Setiap tahun golongan artis
akan bersengkang mata menghibur peminat dan merai hari bersejarah itu.
Seperti biasa Dataran Merdeka
akan menjadi tumpuan warga kota untuk melaungkan "merdeka'' apabila jam di
Bangunan Sultan Abdul Samad berdengung sebanyak 12 kali.
Sementara menunggu pukul 12
malam, beberapa artis popular seperti Khaty, Ramli Sarip, Noraniza Idris,
Fauziah Idris, Nasir Wahab, Sharon Pamela Isaac dan ramai lagi akan muncul
dalam Konsert Di Ambang Merdeka 2000 yang bermula pada pukul 8.30 malam di
Dataran Merdeka.
Mereka akan menyanyikan
lagu-lagu bertemakan patriotik dan juga lagu popular semasa untuk memeriahkan
sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini.
Sementara itu di ruang legar
Plaza Putra, Dataran Merdeka pula akan diadakan acara Joget Merdeka 2000. Acara
yang dianjurkan oleh The Actors Studio itu akan bermula dari pukul 10 malam
hingga 2 pagi.
Lebih daripada 30 buah lagu
joget, zapin, inang, keroncong dan asli akan dipersembahkan mengiringi
penari-penari. Acara ini antaranya bertujuan mengembalikan satu tradisi yang
pernah berkembang dalam masyarakat Melayu suatu ketika dulu.
Mereka yang berminat untuk
menyertai Joget Merdeka 2000, tempahan tiket boleh dibuat melalui talian
26945400 atau 2925927. Setiap satu joget berharga RM1.
Sementara itu di Stadium Kuala
Selangor pula akan diadakan Konsert Malam Merdeka sempena Hari Terbuka Radio
Malaysia Selangor.
Antara artis yang akan
menghibur peminat pada malam itu ialah Zack (Budak Kacamata), Izam (Eye), Wan
Suhaila, Lestari, Screen, Genrai, Samudera, Lalaq, Irda dan Ruhil. Konsert
Malam Merdeka itu akan bermula pada pukul 8 malam sehingga menjelang 12 malam.
Manakala di Litar Antarabangsa
Sepang pula akan berlangsung acara Silverstone Merdeka Millennium Endurance.
Acara gilang gemilang itu akan dijayakan oleh Siti Nurhaliza yang akan membuat
persembahan mulai pukul 11.30 malam.
Mereka yang ingin menonton
boleh menempah tiket berharga RM20 dan RM10 untuk pelajar di talian 603-8526
2222.
Bukan setakat artis tempatan
saja yang meraikan sambutan merdeka, malah artis Barat iaitu kumpulan M2M juga
tidak mahu ketinggalan menjadi tetamu undangan yang memeriahkan sambutan kali
ini.
Kumpulan itu akan mengadakan
persembahan mulai pukul 7 malam sehingga 1 pagi di Taman Tema Sunway Lagoon.
Acara sambutan ulang tahun
kemerdekaan juga akan diraikan oleh penduduk-penduduk Kuantan menerusi Konsert
Malam Merdeka yang akan diadakan di Padang MPK2, Kuantan. Antara artis yang
akan menghibur peminat-peminat di sana ialah kumpulan New Boyz, Siti Nordiana
dan Amir Uk's.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4avRBtZx3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan