Sabtu, 18 Mac 2017

Menterjemah patriotisme generasi muda

ARKIB : 21/08/2001
Oleh: ROSLIWATY RAMLY dan KUZAIMAH IDRIS
Mungkin ada yang bimbang dan persoalkan tahap patriotisme generasi muda zaman sains dan teknologi yang terdedah kepada arus pemodenan dan unsur-unsur luar.

Generasi muda merupakan elemen terpenting dalam formula Malaysia untuk memacu kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa depan. Justeru isu patriotisme di kalangan mereka sentiasa menjadi bahan polemik yang menarik.

Adakah semangat kecintaan itu nipis dan dipinggirkan atau jika ia masih wujud, bagaimanakah ia dihayati dan diterjemahkan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah berkata, patriotisme amat luas ertinya, ia bukan isu politik atau gimik dan tidak sekadar semangat.

``Ia melibatkan seluruh rakyat dan merupakan persoalan kewarganegaraan, kemerdekaan dan kedaulatan serta merangkumi aspek-aspek keyakinan, keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan,'' jelas beliau.

Saifuddin yakin generasi muda masih patriotik cuma fokusnya mungkin berbeza walaupun pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama, iaitu cinta yang kekal dan kental kepada negara.

Misalnya, bagi generasi yang hidup pada zaman penjajahan, fokus patriotisme ialah memperjuangkan kemerdekaan dan generasi selepas itu memfokuskan patriotisme ke arah mengisi kemerdekaan.

Di zaman konfrontasi, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan negara yang baru dibentuk, dan mereka yang melalui pengalaman peristiwa rusuhan kaum 13 Mei, fokusnya ialah meningkatkan perpaduan rakyat.

Kini dalam menongkah arus pembangunan pesat atau tatkala negara dilanda kemelut ekonomi, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara, kata Saifuddin.

Justeru, patriotisme yang diterjemahkan generasi muda juga berbeza, misalnya penglibatan mereka dalam perkhemahan, larian, ekspedisi, bacaan puisi, deklamasi sajak, lukisan, konsert, teater atau mencari harta karun atas nama patriotisme, tambah beliau.

Disebabkan perbezaan fokus inilah, Saifuddin berkata dalam menganjurkan program untuk para belia, MBM mengambil pendekatan baru yang lebih mesra belia, lebih segar dan lebih berkesan.

``Kita tidak mahu wujud semacam satu stereotaip mengenai patriotisme, seolah-olah patriotisme ialah mengibarkan bendera, laungan, slogan, perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos sahaja,'' katanya.

``Kita perlu keluar daripada stereotaip. Jika berceramah, isi ceramah tidak sekadar kisah perjuangan kemerdekaan. Ia perlu diadunkan dengan tafsiran penjajahan bentuk baru, misalnya bagaimana negara yang merdeka boleh tergugat kedaulatannya jika ekonominya jatuh akibat serangan kuasa ekonomi luar, seperti semasa kegawatan ekonomi,'' katanya.

Beliau mengakui contoh-contoh klasik adalah penting tetapi generasi muda hari ini tidak dapat menjiwainya kerana tidak melaluinya.

Oleh itu, Saifuddin percaya untuk membolehkan mereka menjiwai semangat patriotisme, contoh-contoh yang diberikan dalam ceramah perlulah yang dilaluinya atau yang dekat dan rapat dengannya.

Untuk menyemarakkan patriotisme, beliau berkata nilai-nilai patriotisme yang lintas-zaman perlu diterapkan, antaranya ialah berbangga sebagai rakyat Malaysia, bersemangat setia negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin serta berusaha dan produktif.

Ini perlu dilengkapi dengan nilai-nilai jati diri kebangsaan yang kukuh serta punya jiwa, wajah dan langkah yang bersepadu - jiwa warisan, wajah warisan dan langkah wiraan, tambah beliau.

Di samping itu, kata Saifuddin, untuk relevan dengan zamannya, tidak kira sama ada zamannya adalah zaman k-ekonomi atau apa jua, tiga prinsip budaya ilmu dan empat ciri masyarakat berbudaya ilmu perlu diterapkan.

Tiga prinsip budaya ilmu itu ialah: ilmu dan ilmuan diletakkan di tempat yang tinggi; setiap individu sentiasa menuntut ilmu dan menyumbang terhadap perkembangan dan kemajuan ilmu dan setiap keputusan dan tindakan adalah berasaskan ilmu.

Manakala empat ciri masyarakat berbudaya ilmu ialah: Keinginan merenung - bertanya mengapa sesuatu itu berlaku; keinginan meneroka - berani pergi ke tempat yang tidak pernah dijejak manusia; keinginan mempelajari - sedia memperoleh ilmu baru dan keinginan membina - menggunakan ilmu baru untuk mencipta sesuatu yang berbeza.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berpendapat kesenangan hidup dalam sebuah negara yang sudah merdeka tanpa melalui jerih penderitaan di zaman penjajahan melekakan generasi muda hari ini sehingga mereka kurang menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi sejak 43 tahun lepas.

``Mereka mungkin leka sahaja. Merdeka atau tidak, bukan persoalannya. Yang penting mereka berada di sebuah negara yang mereka tidak merasai pahit-maung perjuangan generasi terdahulu,'' jelas beliau yang juga seorang ahli lembaga pengarah Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.

``Remaja sekarang sebenarnya tidak melihat penjajahan. Mereka hanya melihat kebebasan yang ada pada sesebuah negara merdeka. Jadi sudah tentulah dari segi penghayatannya terhadap kemerdekaan negara, ia tidak begitu ketara,'' tambahnya lagi.

Abdul Latiff berkata generasi muda harus melihat Hari Kemerdekaan sebagai hari ``keramat'' yang harus diraikan dengan penuh kesedaran, semangat bersatu padu, perasaan kasih sayang dan taat setia kepada negara.

``Tetapi bukan hari cuti itu kita berpesta-pestaan pada sesuatu yang tidak berfaedah seperti lumba haram dan perayaan di kelab-kelab malam. Perkara-perkara sebegini tidak boleh dikompromi dan wajar dibanteras,'' katanya lagi.

Abdul Latiff turut menyarankan supaya bendera Jalur Gemilang dikibarkan oleh setiap individu sebagai lambang dan maruah jati diri bangsa dan negara yang sudah tertebus.

``Kalau dibandingkan dengan Indonesia, kasih sayang kepada negara diterjemahkan melalui pengibaran bendera. Tetapi kita terpaksa merayu dan memaksa barulah dibuat,'' katanya.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik Datuk Wan Mohd Mahyiddin Wan Awang berkata, keamanan telah menjadi cara hidup dan slogan yang dilaung-laungkan pemerintah sejak Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman kerana tanpa keamanan, tiada satu kaum pun di negara ini akan dapat menikmati pembangunan.

``Kalau ada yang kurang baik, tegurlah secara membina, tidak dengan cara mengutuk, berdemonstrasi, menunjukkan keangkuhan kita kerana cara ini membawa kepada keadaan anarki yang boleh melemahkan sendi-sendi pemerintahan negara dan akhirnya negara akan terkubur.''

Mewakili generasi muda, seorang pelajar kolej, Aziz Ishak, 18, berpendapat patriotisme akan berkembang secara semula jadi jika negara mampu melahirkan individu-individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang hingga mencapai kelas dunia, misalnya bidang sukan atau penyelidikan perubatan.

Aziz juga percaya negara yang tidak mempunyai individu-individu cemerlang yang mampu bersaing di peringkat dunia tidak berupaya menawarkan kegembiraan kepada rakyatnya. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4bjW6qXrt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan