ARKIB : 28/08/2001
PETALING JAYA 27 Ogos - Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, patriotisme seharusnya
disemai di kalangan rakyat Malaysia ketika mereka masih muda supaya mereka
lebih komited untuk berkhidmat kepada negara apabila mereka menjadi orang yang
berpengetahuan.
Beliau berkata, patriotisme
akan membantu rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi untuk menolak
keinginan pergi ke luar negara bagi memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.
``Kita mungkin perlu membuat
Jalur Gemilang yang semakin besar dari semasa ke semasa dan berharap mereka
akan tertarik kepada empat warnanya itu... untuk terus tinggal dalam negara dan
mencintai negara,'' katanya secara berseloroh semasa sesi dialog dengan peserta
persidangan nasional mengenai Wawasan Negara, Rancangan Malaysia Kelapan dan
Penswastaan.
Sebelum itu Dr Mahathir telah
menyampaikan ucaptamanya bertajuk: `Mencapai Pertumbuhan Mapan, Mengukuhkan
Ketahanan Ekonomi - Jalan Malaysia Ke Arah Kemakmuran' pada seminar itu di
Bandar Sunway di sini.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan
sudah melakukan apa yang termampu olehnya untuk mengeluarkan tenaga kerja bagi
industri yang penting seperti teknologi mahlumat (IT), tetapi pada masa yang
sama negara juga menghadapi kemungkinan mereka meninggalkan negara untuk
mendapatkan gaji yang lebih tinggi.
Biasanya seseorang pekerja akan
tinggal dalam negara jika mereka diberikan gaji yang munasabah, tetapi sukar
bagi mereka untuk menolak tawaran seperti gaji yang 10 kali lebih tinggi yang
dibuat oleh negara yang lebih kaya, katanya.
Walaupun banyak orang
berpendapat pekerja yang pergi ke negara lain akan pulang juga akhirnya, dan
membawa pulang wang dari negara kaya ke negara asal mereka, andaian itu mungkin
tidak selamanya benar.
Perdana Menteri berkata
sesetengah daripada pekerja yang pergi ke luar negara sudah menjadi selesa di
negara lain dan apabila mereka mula membesarkan anak-anak mereka di sana,
mungkin ada di kalangan anak-anak itu yang tidak lagi menganggap Malaysia sebagai
kampung halaman.
Apa yang boleh dilakukan oleh
Malaysia ialah untuk terus melatih lebih banyak rakyatnya, dan tidak ada
penyelesaian kepada masalah itu kecuali rakyat Malaysia sendiri bersedia untuk
berkhidmat kepada negara dengan patriotisme dan komitmen yang tinggi. – Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4bjorE0qg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan