Sabtu, 18 Mac 2017

Kemerdekaan negara istimewa, unik - Hadi

ARKIB : 01/09/2001
Oleh:MOHD. LAZIM ENDUT
KUALA TERENGGANU 31 Ogos - Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Malaysia memiliki kemerdekaan yang istimewa dan unik kerana mengandungi masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama.

Menurut beliau, walaupun masyarakat majmuk itu wujud hasil tindakan penjajah yang merancang untuk memberi masalah dan keburukan kepada orang Melayu, tetapi ia tetap mempunyai hikmah tersendiri.

Beliau berkata, kemerdekaan unik itu hendaklah diisi dengan cara yang baik tanpa perlu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan membelakangi sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Katanya, sistem tersebut membenarkan penubuhan parti-parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya dengan setiap parti mempunyai program, dasar dan matlamat masing- masing sekiranya dapat memerintah.

``Maka rakyat boleh memilih mana-mana parti politik yang mereka mahu dan sekiranya menang serta dapat menubuhkan kerajaan, berilah peluang mereka memerintah cara tersendiri, tanpa diganggu.

``Inilah yang sepatutnya berlaku, tetapi malang walaupun kita telah mencapai kemerdekaan, fikiran kita masih kacau dan tidak dapat berfikir secara rasional untuk mengakui kemampuan orang lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-44 yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi.

Menurut Abdul Hadi, sambutan kemerdekaan di negeri ini juga sepatutnya diadakan secara perpaduan dan penyambung masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan agama.

Beliau menyifatkan sambutan sama yang diadakan oleh UMNO Terengganu di Ketengah Jaya, Dungun sebagai golongan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

Katanya, tindakan itu merupakan satu perkara yang tidak wajar berlaku kerana kemerdekaan ini perlu dijadikan sebagai saluran untuk mewujudkan perpaduan, perbincangan dan hubungan kasih sayang.

``Tujuan kita adalah untuk membuat muhasabah diri dengan sama-sama menolak segala kemungkaran dan menegakkan kebenaran. Inilah sepatutnya dilakukan dalam usaha kita membuang acuan yang diwujudkan oleh penjajah.

``Kita tidak mahu Inggeris pulang meninggalkan kita, tetapi budaya, perangai, sikap negatif, diskriminasi, kemungkaran dan maksiat yang diajar mereka masih berleluasa,'' ujar beliau.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm#ixzz4bjvWjOF5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan