ARKIB : 01/09/2001
Sehari Sebuah Buku
Judul buku: Ahmad Boestamam,
Satu Biografi Politik
Pengarang: Ramlah Adam
Penerbit: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Tahun: 1994
Halaman: 471
Ahmad Boestamam dianggap
sebagai salah satu daripada empat pemimpin utama parti politik Melayu menjelang
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Dalam majalah-majalah yang
diterbitkan bagi menyambut kemerdekaan ketika itu, empat tokoh ini dipaparkan
sebagai mewakili aspirasi politik orang Melayu. Tiga pemimpin lain ialah Datuk
Onn Jaafar daripada Parti Negara, Dr Burhanuddin Al-Hilmi daripada Pas dan
sudah tentu Tunku Abdul Rahman daripada UMNO.
Boestamam dilahirkan pada tahun
1920. Nama sebenarnya ialah Abdullah Thani.
Beliau menyertai Kesatuan
Melayu Muda (KMM) pada tahun 1938. Pada tahun 1941, British menangkap Boestamam
atas sifatnya sebagai Penolong Setiausaha KMM. Apabila Jepun mengalahkan
Inggeris pada tahun 1941, Boestamam dibebaskan tetapi KMM diharamkan pada tahun
1942.
Pada tahun 1944, beliau menubuhkan
gerakan Kiri Tanah Air (Kita) untuk menentang Jepun.
Tetapi organisasi paling
penting bagi Boestamam ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang bersama
ditubuhkannya pada tahun 1945. Boestamam menjadi ketua sayap pemudanya,
Angkatan Pemuda Insaf (API).
Sebagai Setiausaha Agung,
Boestamam mewakili PKMM dalam Kongres Melayu 1946 untuk menentang Malayan Union
yang merintis kepada penubuhan UMNO.
Tetapi kemudian, PKMM menarik
diri daripada UMNO. Sementara Boestamam pula mengundurkan diri dari PKMM untuk
menumpukan perhatian kepada API.
Pergerakan ini kemudian
diharamkan kerajaan Malayan Union pada tahun 1947.
Boestamam kemudian ditahan
selama tujuh tahun di bawah Undang-undang Darurat.
Pada 1955, beliau menubuhkan
Parti Rakyat Malaya (PRM) dan menjadi ketuanya. Pada tahun kemerdekaan, PRM
bergabung dengan Parti Buruh Malaya (PBM) untuk menjadi Front Sosialis yang
mana beliau menjadi presidennya.
Ekoran konfrontasi pada 1963
beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama empat tahun.
Pada tahun 1968, beliau keluar
PRM dan menubuhkan Parti Marhaen. Pernah bekerja dengan Utusan Melayu pada
tahun 1970.
Pada tahun 1974, Parti Marhaen
bergabung dengan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Pada tahun 1978, dilantik
sebagai Presiden Pekemas tetapi pada tahun yang sama bersara daripada politik.
Pada tahun 1980, menyertai
semula PRM dan meninggal dunia tiga tahun kemudian. - ZIN MAHMUD
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4bk0ioAXh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan