ARKIB : 27/08/2001
Oleh: SAMSOR JUNET (Wartawan
Utusan)
BAGI sesetengah orang
patriotisme hanya mengalir dalam diri ketika mendengar lagu Negara Ku
berkumandang di udara atau semasa melihat perbarisan kawat tentera atau ketika
mendengar pidato berapi-api pemimpin supaya mempertahankan negara.
Ada pula di kalangan masyarakat
kita yang langsung gagal untuk menghayati patriotisme apatah lagi
menterjemahkannya dalam bentuk kehidupan seharian kerana tidak mengibarkan
Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan sekarang.
Tetapi tidak pula dinafikan,
banyak daripada kita mampu menghayati dan menterjemahkan semangat ini dalam
konteks yang luas baik di rumah, di pejabat, ketika mencari nafkah di hutan, di
laut mahupun ketika memandu pesawat atau ketika bercuti di sebuah pulau
peranginan.
Ia bukan setakat mengibarkan
bendera Jalur Gemilang kerana lebih daripada itu apa juga yang kita lakukan
dalam kehidupan di sebuah negara bernama Malaysia, kita mesti melakukannya demi
negara.
Inilah yang ditekankan oleh
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir
sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Kebangsaan di Berjaya Tioman Beach
Resort, Pulau Tioman baru-baru ini.
Pada sidang akhbarnya,
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan itu berkata, masih ramai di
kalangan rakyat Malaysia terutama di Kelantan dan Terengganu tidak tahu
menghayati erti kemerdekaan.
Katanya, parti-parti politik di
kedua-dua negeri itu sibuk mengibarkan bendera parti masing-masing ketika
rakyat seluruh negara sepatutnya mengibarkan Jalur Gemilang sempena ulang tahun
kemerdekaan negara tidak lama lagi.
``Mereka memasang bendera parti
tidak kena tempat dan waktu, macam budak-budak. Bila satu parti naik bendera,
parti yang satu lagi juga nak naikkan bendera mereka. Kalau begini sampai bila
pun tak habis.
``Sepatutnya ketika Bulan
Kemerdekaan, kita semua ketepikanlah semangat berparti-parti ini. Patutnya masa
ini kita turunkan bendera parti dan kita naikkan bendera Jalur Gemilang,
sebulan sahaja bukannya lama,'' tegas beliau.
Abdul Kadir melihat masalah
pengibaran bendera Jalur Gemilang itu dalam konteks industri pelancongan yang
menurutnya, jika pelancong bertanya mengenainya, apa yang beliau hendak jawab.
``Betullah ini negara
demokrasi, kita kibarlah bendera apa yang kita suka. Tetapi kita kena ingatlah
ini bukan musim pemimpin datang, bukan musim pilihan raya, ini Bulan
Kemerdekaan, jadi kita melakukan sesuatu itu kena pada tempatnya, bila
pelancong tanya, apa saya nak jawab, `' jelasnya.
Mujurlah Pulau Tioman yang
menjadi destinasi mesyuarat dua bulan sekali itu berjaya menawarkan semangat
patriotisme yang tinggi selari dengan namanya yang terkenal sebagai salah
sebuah 10 tercantik di dunia.
Dari jeti Tanjung Gemok,
Rompin, semangat ini sudah terserlah apabila bot Salang yang membawa lebih 80
penumpang satu-satu masa begitu megah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan
apabila sampai di resort, bendera Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana
kawasan sekitar resort.
Lebih membanggakan, persembahan
kebudayaan pada dua kali majlis makan malam di resort berkenaan sangat menarik
kerana ia mencerminkan bahawa penari-penari ini pun tahu bila masa untuk mereka
mempamerkan kecintaan pada negara.
Persembahan malam pertama
dibawakan oleh Briged Seni Majlis Perbandaran Kuantan manakala pada malam kedua
pula dibawa oleh Yayasan Pahang. Kedua-duanya berjaya mempersembahkan
berpuluh-puluh tarian kebudayaan secara medley tanpa henti selama sejam.
Ramai pelancong mengambil
kesempatan merakamkan tarian berkenaan dengan kamera video masing-masing dari
mula sampai habis. Anak-anak kecil, bahkan ibu dan bapa mereka pula belajar
menarik mengikut rentak secara spontan. Yang duduk, sesetengahnya memberi
penghormatan berdiri apabila persembahan selesai.
``Saya berasa cukup bangga
dengan persembahan nombor satu ini, pakaian nombor satu, tarian nombor satu,
penari-penarinya pun comel, inilah yang kita mahukan untuk kita bawa ke luar
negara.
``Saya percaya jika kita
berusaha dan terus berusaha untuk meningkatkan industri pelancongan negara
secara berterusan, akhirnya kita akan berjaya juga tetapi memerlukan kerjasama
semua pihak,'' kata Abdul Kadir mengenai persembahan berkenaan.
Tidak hairanlah apabila selepas
itu Abdul Kadir berkata, kumpulan MPK akan dibawa mengadakan persembahan di
Jepun pada Oktober atau November ini manakala kumpulan Yayasan Pahang dibawa ke
China tidak lama lagi.
Tetapi bagi Abdul Kadir, banyak
perkara mesti dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong asing pada masa
depandengan kita sendiri harus mempamerkan produk pelancongan yang tulen dan
baginya kerajaan telah melakukan pelbagai cara setakat ini.
Katanya, pada masa ini kerajaan
akan memastikan jumlah kedatangan pelancong di negara ini memuaskan kerana
setakat Jun tahun ini, jumlah kedatangan pelancong adalah 7.2 juta orang iaitu
meningkat sebanyak 44.1 peratus.
Jumlah ini katanya, telah
melepasi angka satu juta orang pelancong setiap bulan ke Malaysia selama tujuh
bulan berturut-turut tidak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, benua Asia kekal
sebagai penyumbang utama ketibaan merangkumi 84.3 peratus diikuti Eropah 5.9
peratus, Amerika 2.8 peratus, Oceania 2.4 peratus dan Afrika 1.4 peratus.
Katanya, bagi pasaran Asia,
selain Singapura sebagai pelanggan tradisi, pasaran Thailand, Indonesia,
Brunei, Taiwan, Hong Kong menunjukkan peningkatan walaupun pasaran China, Jepun
dan Korea Selatan merosot.
``Jumlah kedatangan pelancong
tahun lepas begitu tinggi, saya takut kita tidak dapat pertahankannya tahun ini
dan kita berusaha untuk mempertahankan jumlah sedia ada,'' jelasnya.
Justeru selepas mesyuarat
berkenaan beliau melontarkan idea bahawa kerajaan sedang memikirkan untuk
mengadakan projek-projek pelancongan mega bagi menarik kedatangan pelancong.
Menurutnya, ia termasuk
kemungkinan membina kereta kabel yang menghubungkan Menara Kuala Lumpur ke
Menara Berkembar seterusnya ke Awana Resort di Genting Highlands serta membina
projek yang sama dari Kota Kinabalu ke kawasan berdekatan Gunung Kinabalu.
``Kita juga mungkin memerlukan
lebih banyak taman-taman tema yang besar, Universal Studio yang apa sahaja yang
boleh menarik kedatangan pelancong,'' katanya.
Katanya, pada September ini
kerajaan akan melancarkan program Mesra Malaysia, mengajak rakyat Malaysia
supaya mesra dengan pelancong dan melakukan apa sahaja yang bersesuaian dengan
adat dan budaya negara ini bagi menarik kedatangan pelancong.
``Program ini tidak terhad
selama sebulan kerana ia akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk menanam
semangat di kalangan rakyat supaya sama-sama terlibat dalam industri
pelancongan negara,'' kata beliau.
Sebenarnya di sebalik pelbagai
rancangan dan idea untuk memajukan sektor pelancongan negara ini, isu mengenai
produk, kemudahan dan perkhidmatan pelancongan berkualiti masih berterusan dan
mesti diberi perhatian segera agar tidak menjejaskan imej negara.
Produk-produk pelancongan di
negara ini belum mencapai tahap yang sangat memuaskan hati serta belum dapat
menonjolkan identiti Malaysia berasaskan tema lagu Malaysia Truly Asia yang
sangat indah.
Isu ini ada dibincangkan dalam
mesyuarat berkenaan kerana ia mencerminkan sejauh mana semangat patriotisme
dalam konteks kita untuk memajukan industri pelancongan.
Ia termasuklah kegagalan
beberapa pihak menyelenggara keindahan dan kebersihan kawasan dan tempat yang
menjadi tumpuan ramai termasuk tandas yang kotor di gerai-gerai makan, stesen
minyak dan perhentian atau terminal.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm#ixzz4bjnbVPOz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan