ARKIB : 01/09/2001
KUALA TERENGGANU 31 Ogos -
Sambutan perayaan `Malam Ambang Merdeka' peringkat negeri yang berlangsung di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi kurang mendapat
sambutan daripada rakyat di negeri ini.
Sewaktu Menteri Besar, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan perutusan khas sempena hari ulang tahun
kemerdekaan ke-44, ia hanya disaksikan oleh sebilangan kecil rakyat.
Sepanjang program berlangsung,
suasana stadium yang kelihatan lenggang dan kosong itu hanya disertai kira-kira
1,000 orang sahaja termasuk mereka yang mengambil bahagian mengadakan
persembahan Marhaban Perdana.
Sambutan Malam Ambang Merdeka
bermula pukul 9.30 malam dengan persembahan kumpulan nasyid Shoutul Amal yang
mendendangkan lagu Allah Maha Besar, Perpaduan dan Penghulu.
Ia kemudian disusuli pula
dengan ucapan perutusan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Senara Muda
Mazlan Hashim sebelum Abdul Hadi menyampaikan ucapan perutusannya .
Program ini diteruskan pula
dengan persembahan Marhaban Perdana yang melibatkan 350 peserta mewakili
gabungan kumpulan marhaban dari seluruh negeri dan diketuai oleh Kumpulan
Marhaban Masjid Gong Kepas, Besut.
Turut dipersembahkan ialah
Bacaan Rawi Rumi oleh Shamad Muda dan Bacaan Rawi Arab oleh Abdul Aziz
Abdullah, diikuti pula dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh 21 Rejimen
Askar Melayu Diraja (RAMD).
Kumpulan Koir Negeri mengetuai
nyanyian Negaraku dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan
laungan merdeka oleh Abdul Hadi dan berakhir dengan nyanyian lagu Tanggal 31
dan Keranamu Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm#ixzz4bjw3lMvH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan