ARKIB : 31/08/2001
Wacana Islam
Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID
KEMERDEKAAN merupakan salah
satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia. Oleh itu, kita wajib
mensyukuri atas nikmat Allah itu kerana kita diberi kesempatan menyambut
kemerdekaan diri dan negara ke-44 dalam suasana yang penuh aman, damai dan
sejahtera.
Menginsafi akan nikmat yang
dianugerahi Allah s.w.t. kepada kita dengan pelbagai kekayaan hasil bumi,
kemudahan infrastruktur, pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya, maka eloklah
kita merenung diri sendiri dan bertanya: Apakah sumbangan kita terhadap agama,
bangsa dan negara selepas 44 tahun negara kita mencapai kemerdekaan?
Sekiranya kita menyedari akan
hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang
sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t
sebagaimana firmannya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 20 yang bermaksud:
``Dan (ingatlah mereka wahai
Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: ``Wahai kaumku! Kenanglah nikmat
Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu
beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu
diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu
barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang
ada pada masa itu).
Intipati daripada seruan Nabi
Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang
dianugerahkan oleh Allah s.w.t. supaya kita memperbaiki diri akan kebebasan
kita daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme.
Dalam konteks kesyukuran
terhadap nikmat Allah ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan
negara lain seperti yang terpapar di dalam televisyen dan akhbar jelas
tergambar akan pelbagai bala bencana dialami manusia - banjir, gempa bumi,
kemarau, runtuhan salji, letupan gunung berapi dan peperangan dialami di
negara-negara lain.
Misalnya di negara Afrika,
masih ramai yang menderita kelaparan dan tidak menikmati pendidikan asas
sebagai tunjang pembangunan bangsa dan negara. Dengan demikian, kita sepatutnya
memetik hikmah itu agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat
keamanan, kekayaan dan kedamaian yang diberikan kepada negara kita yang
tercinta ini dan seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya. Untuk itu, kita wajar
merenung firman Allah s.w.t yang bermaksud:
``Dan (berhubung dengan hal
kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan salah sebuah negeri yang aman damai
dan tenteram, yang didatangi rezeki yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian
penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu maka Allah merasakannya
kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya yang disebabkan apa yang
mereka telah lakukan.'' (surah an-Nahl ayat 112)
Mensyukuri nikmat kemerdekaan
dan tidak mengkufurinya bererti kita memanfaatkan segala anugerah Allah dengan
turut serta mengisi kemerdekaan iaitu melakukan kerja-kerja yang bermanfaat
dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani, sebagaimana yang
digariskan dalam wawasan negara. Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi dan
kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi kita merupakan
anugerah Allah s.w.t. dan kita wajib bersyukur. Allah s.w.t. berfirman:
``Jika kamu bersyukur nescaya
Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar
sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.'' (Surah Ibrahim ayat 7).
Antara Islam dan syukur itu ada
hubungan yang tak mungkin terpisah dan tidak mungkin adanya yang satu tanpa
hadirnya yang lain. Dapatlah ditegaskan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi
dari satu mata wang.
Jelas bahawa bersyukur itu
merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak
Allah. Setiap muslim wajib mensyukurkan setiap nikmat yang telah diterimanya
dari Maha Penciptanya, jika tidak ia masih dinilai belum Islam dalam erti kata
yang sebenar. Orang yang tidak pandai bersyukur sebenarnya dianggap telah kufur
pada nikmat tapi belum sampai kufur akidah.
``Dan apabila sampai tempoh
Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih
dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka
(supaya taat), lalu mereka menderhaka (tidak bersyukur) dan melakukan maksiat
padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.'' (Surah al-Isra ayat 16).
-- Mohd. Shauki Abdul Majid
ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4bjtkMZFN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan