ARKIB : 25/08/2001
Oleh: AZIZ ISHAK (Wartawan
Utusan)
Sebagai warganegara Malaysia,
banyak perkara yang sebenarnya masih mengganggu fikiran menjelang sambutan Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Dalam suasana bahang sambutan Bulan Kemerdekaan,
renungkanlah sejenak di sekeliling kita - rupanya terlalu banyak yang perlu
dilakukan, dibaiki dan diambil perhatian.
Jika boleh disenaraikan, banyak
perkara yang menuntut post-mortem daripada yang sekecil-kecilnya dan dianggap
remeh sehinggalah kepada yang besar dan mengancam keselamatan negara. Antaranya
ialah soal kebersihan. Malaysia masih dihantui masalah tandas awam yang kotor,
yang selalu mengejutkan para pelancong asing. Dengan kata lain, sebahagian
rakyat masih tidak tahu menggunakan tandas awam dengan betul dan bersih.
Bukan setakat tandas.
Gerai-gerai yang kelihatan kotor dan comot terus menambat hati termasuk di ibu
negara - antara aspek yang tidak menampakkan peningkatan di sebalik kemajuan
fizikal.
Pencemaran bunyi bising
motosikal pula kian menjadi-jadi. Tanpa disedari ia menimbulkan masalah sosial
sehingga menjadi antara punca tercetusnya pergaduhan kaum di beberapa kawasan
di ibu negara selain menghakis kualiti kehidupan.
Tetapi kualiti lebih penting
yang semakin pudar ialah kemanusiaan dan nilai budaya Timur. Yang lebih
terserlah hanyalah pertumbuhan individualisme seakan-akan manusianya sudah
melupakan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara.
Meminjam istilah Lewis
Yablonsky, manusia moden adalah Robotpaths yang menjalani kehidupan secara
rutin, pagi bangun, mandi dan bersarapan. Kegiatan itu berulang setiap hari.
Mereka, menurut Yablonsky, bukan lagi manusia tetapi adalah robot.
Nilai-nilai seperti sopan
santun, semangat kekeluargaan yang kental, saling hormat-menghormati, budaya
kuat untuk menjalin silaturahim dan tolong-menolong, tidak harus dibiarkan
hilang ditelan urbanisasi apatah lagi dalam era globalisasi.
Lebih menyedihkan apabila
munculnya kian ramai lelaki yang tidak tahu menghormati hak wanita dan
kanak-kanak antaranya menyebabkan banyak kes jenayah seksual ke atas golongan
itu - memberi gambaran suram terhadap nilai kualiti lelaki yang akan negara
warisi.
Sudahlah generasi pelajar
lelaki khususnya dari kalangan Melayu kebelakangan ini tidak mempunyai daya
juang dalam mencapai kecemerlangan pendidikan, ia diburukkan lagi dengan
puluhan ribuan lelaki Melayu terjebak dengan najis dadah dan tersadai di Pusat
Serenti. Mereka ibarat mayat hidup yang tidak dapat dimanfaatkan untuk
kepentingan negara sementara kebanjiran lelaki rakyat asing terutama pendatang
tanpa izin semakin serius, turut mencetuskan masalah sosial dan keselamatan.
Satu lagi sindrom yang turut
membimbangkan ialah sebahagian ahli masyarakat Malaysia hari ini berdepan
dengan kecelaruan dalam menangani kehidupan kompleks dalam arus kemajuan. Ini
menjadikan semakin ramai yang terlibat dengan kejadian amuk, masalah mental,
gerakan militan dan manipulasi manusia yang keterlaluan.
Segala-galanya memerlukan
kemahiran dalam pengurusan krisis kehidupan moden termasuk di peringkat diri
dan keluarga. Kemahiran inilah yang tiada sedangkan pengaruh negatif seperti
bahan lucah melimpah menerusi perkembangan pesat teknologi maklumat.
Persoalannya, apakah tempoh 44 tahun kemerdekaan yang dicapai, telah banyak
membawa perubahan kepada sikap dan budaya masyarakat negara yang bebas dan
tidak lagi terjajah ini?
Jawapannya - tidak. Ini
memerlukan revolusi akliah dalam memastikan pembinaan budaya dan nilai terbaik
sebagai penyelesaiannya. Tugas ini amat berat kerana sebahagian besar rakyat
masih tidak mengamalkan sikap dan nilai yang sesuai selari dengan kemajuan.
Sehingga hari ini, rakyat termasuk generasi baru masih malas membaca dan hanya
sukakan bacaan yang ringan termasuk berkaitan tahyul. Sebahagian besar
penumpang LRT misalnya sanggup menung dan memandang keluar daripada membaca.
Di peringkat pegawai kanan
kerajaan pula, kegilaan main golf nampaknya telah melunturkan sikap berkorban
masa. Mereka tidak lagi tertarik menggunakan masa selepas waktu pejabat bagi
meninjau permasalahan, turun padang dan bergaul dengan pekerja sebagaimana yang
dilakukan oleh generasi pegawai kanan pada dekad 1960-an dan 1970-an. Di
pejabat dan dalam mesyuarat juga mereka bercakap tentang golf.
Dari segi perkhidmatan,
walaupun Malaysia diiktiraf sebagai negara membangun paling maju - mempunyai
lapangan terbang, pelabuhan dan bangunan malah pengurusan dan penganjuran
bertaraf dunia, ia sebenarnya masih menyedihkan.
Ini sekadar satu contoh.
Sebahagian jalan raya di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur cepat rosak antara
lain kerana mutu turapan jalan yang rendah. Banyak wang terpaksa dibelanjakan
untuk kerja-kerja pembaikan selain aktiviti korek jalan yang tidak henti-henti.
Bahkan, masih berlaku banyak lubang penutup kabel (manhole cover) yang tidak
rata dengan permukaan jalan mencerminkan mentaliti negara dunia ketiga - tanpa
pedulikan kesempurnaan kerja dan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya
terutama penunggang motosikal.
Satu lagi fenomena di Malaysia
ialah kelemahan penguatkuasaan dalam hampir semua aspek. Misalnya pemandu lori
pasir yang membawa muatan berlebihan terus bermaharajalela biarpun selalu
mengotorkan jalan raya. Begitu juga dalam hal lebih besar seperti menghalang
penyusupan pendatang tanpa izin. Dalam hubungan ini, operasi penguatkuasaan tertentu
dilakukan secara bermusim seperti Ops Nyah sedangkan ramai lagi pendatang tanpa
izin bergerak bebas di negara ini termasuk dengan dokumen palsu.
Yang turut mengganggu fikiran
ialah kemakmuran dan keamanan yang dikecapi sejak merdeka rupanya menyebabkan
sebahagian kita mudah rasa selesa dan mudah lupa. Ini termasuk tidak lagi
menghargai bekas-bekas perajurit sehingga kutipan rayuan Hari Pahlawan semakin
dingin. Hanya jika berlaku sekali lagi konfrontasi atau darurat komunis seperti
dahulu, barulah agaknya anggota pasukan keselamatan lebih dihargai. Sebahagian
kita juga tidak pandai lagi menghargai polis yang menjaga keamanan sebaliknya
mahu `mengherokan' pihak lain seperti penunjuk perasaan yang melanggar
undang-undang. Dalam pada itu, isu kaum dan integrasi nasional terus menjadi
`duri dalam daging' sementara nasionalisme kian goyah.
Apa pun, menghayati Bulan
Kemerdekaan bukan sahaja memberi ruang untuk menggilap patriotisme menerusi
pemasangan bendera tetapi yang lebih dituntut ialah mengisi kemerdekaan dengan
sikap, nilai dan budaya yang betul. Lagipun, mentaliti kita sebenarnya masih
belum merdeka.
Kongsi Konten di :
SMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4bjhnmnME
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan