ARKIB : 28/08/2001
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Generasi
sekarang sedar akan kepentingan untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan
negara supaya terus kekal agar boleh menyerahkan satu negara Malaysia yang
gemilang dan selamat kepada generasi muda.
Menteri Kebudayaan, Kesenian
dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata sungguhpun rakyat
Malaysia terdiri daripada berbilang kaum, agama serta fahaman politik, semuanya
mempunyai persamaan iaitu semangat cintakan negara.
Beliau berkata walaupun rakyat
mula menyedari erti sebenar sambutan Hari Kebangsaan, mereka perlu diingatkan
tentang tanggungjawab mereka untuk mengekalkan budaya bersatu padu, kemerdekaan
dan keamanan yang sama.
"Kita tidak boleh ambil
mudah akan perpaduan dan kemakmuran di kalangan rakyat kita.
"Oleh itu, semua rakyat
harus berganding bahu dan semangat untuk mendalamkan sedalam-dalamnya akar umbi
yang menjadi asas negara Malaysia dan akar umbi menjadi asas bangsa
Malaysia," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian Jalur Gemilang
di Plaza Tol Jalan Duta di sini.
Abdul Kadir yang juga pengerusi
Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan, berkata beliau berpuashati dengan
komitmen dan persediaan kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Kelantan dan
PAS untuk menyambut perayaan kemerdekaan.
"Saya berharap untuk satu
bulan ini (17 Ogos hingga 16 September) kita lupakan semua perbezaan iaitu
perbezaan kaum, miskin kaya ataupun fahaman politik dan tunjukkan kasih kita
kepada negara," katanya.
Beliau juga berharap semua
rakyat tidak akan tidur sehingga selesai merayakan Ambang Merdeka pada detik 12
tengah malam.
Katanya, bagi mereka yang tidak
dapat menyertai laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali pada malam Ambang
Merdeka di sekitar bandar raya, mereka boleh menyambutnya di hadapan televisyen
atau radio.
Kumpulan Padiberas Nasional
Berhad (Bernas) mengedarkan 10,000 bendera Jalur Gemilang dan beberapa
produknya kepada pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya berkenaan. -
Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm#ixzz4bjpPVok4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan