Sabtu, 18 Mac 2017

Kenangan titisan darah anggota tentera, polis

ARKIB : 01/09/2001
Oleh Kamaruzaman Mohamad
(Wartawan Utusan)
PERJUANGAN anggota tentera dan polis dalam berjuang serta mengekalkan kemerdekaan negara tidak boleh dinafikan sama sekali. Bahkan ia perlu disanjung tinggi oleh seluruh rakyat.

Sikap anggota pasukan keselamatan yang sanggup menggadaikan nyawa mereka bagi mempertahankan benteng negara daripada ditawan musuh khasnya komunis pada suatu ketika dulu begitu murni sekali.

Walaupun banyak nyawa mereka yang terkorban ataupun tercedera namun semangat anggota pasukan keselamatan itu tidak pernah luntur sama sekali. Mereka terus bertahan sehingga ke titisan darah terakhir demi cintakan negara ini.

Keadaan itu dapat dilihat dengan jelas ketika peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 23 Februari 1950.

Dalam serangan itu, 25 orang telah terkorban termasuk 19 anggota polis, namun semangat juang mereka tidak pernah luntur apabila mereka berjaya menewaskan serangan tersebut.

Nama-nama pahlawan Bukit Kepong seperti Sarjan Jamil Md. Shah, Koperal Mohd. Yassin Abdul Wahab dan Konstabel Jaafar Hassan tetap dikenang sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan semangat juang, Leftenan Adnan mempertahankan tanah air tetap dikenang melalui penerbitan filemnya baru-baru ini.

Justeru, hasil perjuangan murni pahlawan-pahlawan negara itu, Malaysia kini berkembang maju dan rakyat pula dapat menikmati hidup yang lebih selesa.

Berkat pengorbanan anggota tentera dan polis juga, negara kini bakal menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 kelak.

Kemerdekaan negara itu tidak boleh dijual beli kerana harganya yang tidak ternilai. Oleh itu, jika ada pihak-pihak yang cuba menggugat keselamatan negara ini, ia perlu ditentang habis-habisan.

Semangat itulah yang perlu ada di kalangan generasi muda hari ini kerana mereka adalah bakal pemimpin masa depan.

Jika mereka lemah dan tidak mempunyai semangat cintakan negara, sudah pasti segala perancangan yang dibuat oleh para pemimpin hari ini tidak akan kesampaian.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Ghani, semangat kemerdekaan yang diterapkan oleh para pemimpin lalu dan masa kini hendaklah diteruskan oleh generasi muda agar wujud kesinambungannya.

Katanya generasi muda juga hendaklah bersyukur kerana tanpa pengorbanan generasi lalu mereka tidak mungkin hidup aman damai sekarang.

Manakala semangat waja para perajurit membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah tidak boleh dilupakan kerana tanpa pengorbanan perit mereka, tidak mungkin negara ini berada pada tahap yang membanggakan dan dikenali di seluruh dunia.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Presiden Persatuan Bekas Polis, Datuk Mansor Jaafar yang dengan tegas menyatakan bahawa kemakmuran negara ini adalah berkat pergorbanan para pemimpin lalu dan masa kini serta anggota pasukan keselamatan.

Namun kata Mansor, erti kemerdekaan itu tidak akan mempunyai ertinya jika negara ini berada dalam kucar-kacir kerana segala bentuk pembangunan tidak mungkin dilaksanakan.

Katanya, masalah gejala sosial seperti lepak yang melanda generasi muda akan turut menjejaskan kestabilan negara. Oleh itu, peranan pihak berkuasa dan juga masyarakat dalam menangani masalah ini amat penting.

Selain itu, perkembangan kurang selesa yang berlaku seperti demonstrasi jalanan dan lahirnya kumpulan-kumpulan militan juga merupakan faktor negatif yang boleh menyumbangkan ke arah membawa kemudaratan hidup rakyat.

Gejala-gejala negatif itu juga jika tidak dibendung dengan bijaksana, ia akan turut menjejaskan kemerdekaan yang dinikmati selama 44 tahun itu.

``Kita mahu kemerdekaan negara ini terus dikekalkan sampai dunia ini kiamat agar rakyatnya pula menikmati hidup yang lebih sempurna,'' ujar Muhammad.

Muhammad menambah adalah tidak sukar untuk mempertahankan kemerdekaan ini jika rakyat sentiasa bersatu padu. Ini kerana perpaduan itu adalah kunci kepada kejayaan negara pada bila-bila masa.

Lantaran itu, semangat tolong menolong dan toleransi di antara satu sama lain hendaklah selalu diterapkan ke dalam jiwa rakyat berbilang kaum agar ia sentiasa subur.

Tanpa perpaduan yang jitu boleh menyebabkan rakyat mudah tersinggung yang mungkin akan membawa kepada perbalahan kaum.

Muhammad berkata, selepas peristiwa pahit 13 Mei 1969, negara tidak mampu lagi untuk mengulangi peristiwa itu kerana ia akan menjejaskan pembangunan yang telah dan sedang dirancang.

``Kita mahu negara ini terus aman dan makmur agar segala perancangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju akan terlaksana dengan jayanya,'' tegasnya.

Mansor pula mahukan rakyat terus meningkatkan pengisian kemerdekaan ini sehingga 50 tahun akan datang demi kepentingan generasi seterusnya.

``Pengisian ini penting kerana rakyat tidak boleh hidup dalam kejayaan lalu sebaliknya mereka mestilah hidup dalam 50 tahun akan datang dengan suasana yang lebih selesa,'' tegasnya.

Berkat perjuangan pahlawan-pahlawan silam itu, Malaysia kini mencipta nama di peringkat dunia apabila rakyatnya juga berjaya mendaki puncak Gunung Everest, mengeluarkan kereta dan memiliki bangunan tertinggi di dunia di samping mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang tercanggih.

Walau apa pun kebanggaan yang dicapai oleh negara namun ucapan terima kasih perlu ditujukan kepada para pemimpin seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana tanpa pergorbanan dan idea mereka, tidak mungkin Malaysia akan berada seperti sekarang.

Jasa mereka amat besar kepada rakyat dan negara ini yang tidak boleh dilupakan walaupun sesaat. Oleh itu, tema Hari Kebangsaan tahun ini, Keranamu Malaysia adalah sinonim dengan tokoh-tokoh tersebut.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4bjzWNSxP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan