Sabtu, 18 Mac 2017

Membetulkan sejarah perspektif penjajah

ARKIB : 27/08/2001
Tajuk: Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka?

Penyunting: Nik Anuar Nik Mahmud

Penerbit: Jabatan Sejarah, UKM

Tahun: 1999

Halaman: 144

SEJARAH adalah kisah benar yang diceritakan mengikut selera tukang ceritanya.

Maka itu, seperti para pejuang nasionalisme Melayu awal lainnya, Haji Mat Hassan atau lebih terkenal dengan nama Tok Janggut yang bangkit menentang Inggeris di Kelantan dilabelkan sebagai penderhaka.

Beliau dengan dibantu oleh pejuang-pejuang lain yang bertapak di jajahan Pasir Puteh dikatakan merancang untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan Sultan Muhammad ke-IV.

Tetapi apa yang sebenarnya digerakkan oleh Tok Janggut itu adalah satu perjuangan menentang Inggeris, mengikut satu fatwa yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Turki. Fatwa itu mewajibkan semua umat Islam bangkit menentang British sebagai satu jihad yang dijanjikan syurga.

Kelantan ketika itu telah dinaungi secara paksa oleh Inggeris melalui Perjanjian Bangkok 1909. Perjanjian itu telah meletakkan Patani secara mutlak di bawah kerajaan Siam.

Dan perjanjian itulah yang sebenarnya mencetuskan semangat kebangkitan orang Melayu di Pasir Puteh. Mengikut sejarahnya, Tok Janggut pernah berguru dengan Syeikh Ahmad al-Fatani.

Apabila perjanjian itu dimeterai antara British dan Siam, Syeikh Ahmad al-Fatani telah berpesan serta mengingatkan ulama Melayu Kelantan supaya mempertahankan daripada terjatuh ke tangan orang asing.

Tiga esei dalam buku ini mengangkat perjuangan Tok Janggut sebagai memenuhi pesan gurunya itu. Esei-esei itu merumuskan bahawa beliau dan rakan-rakan - Ungku Besar Jeram, Khatib Abu Bakar, Pai'a, Berahim Teleng dan ramai lagi - adalah pejuang. Mereka bukan penderhaka.

Penderhaka sebenarnya adalah mereka yang menjadi tali barut kepada Inggeris, yang sanggup menggadaikan maruah bangsa hanya dengan sedikit wang ringgit.

Kerana sejarah adalah kisah benar yang diceritakan mengikut selera tukang ceritanya, kita perlu banyak bercerita tentang sejarah perjuangan bangsa dari sudut pandang kita sendiri. - NOOR AZAM SHAIRI
SMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4bjmza5nl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan