Sabtu, 18 Mac 2017

Khatijah Sidek, pejuang kemerdekaan dan hak wanita

ARKIB : 25/08/2001
Judul buku: Memoir Khatijah Sidek, Puteri Kesatria Bangsa

Penerbit: Penerbit UKM

Tahun: 1995 (edisi Melayu), 2001 (edisi Inggeris)

Halaman: 185 (edisi Melayu), 174 (edisi Inggeris)

Harga: RM17.50 (edisi Melayu), AS$30.00 (edisi Inggeris)

Khatijah Sidek ialah pemimpin wanita UMNO pertama yang lantang dan terbuka memperjuangkan supaya hak wanita dalam parti disamaratakan dengan kaum lelaki.

Khatijah yang dilahirkan pada tahun 1918 di Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia (ketika itu, Hindia Timur Belanda) menubuhkan organisasi politik bernama Semangat Bunda di Sumatera Utara pada tahun 1938.

Beliau kemudian berhijrah ke Singapura dan menubuhkan Himpunan Wanita Indonesia Malaya (HIMWIM) pada tahun 1947.

Walaupun menjadi penentang poligami, beliau menerima pinangan Naib Yang Dipertua Lembaga Kesatuan Melayu Johor, Dr. Hamzah Taib sebagai isteri kedua.

Namun begitu, perkahwinannya itu tidak menjejaskan perjuangannya. Beliau ditahan oleh penjajah di bawah Akta Darurat dari tahun 1948 hingga 1950.

Khatijah menjadi Yang Dipertua Kaum Ibu UMNO pada tahun 1953.

Oleh kerana menganggap UMNO terlalu konservatif dalam memperjuangkan hak wanita, Khatijah menyertai Pas pada tahun 1958 atas pelawaan Yang Dipertua Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi. Khatijah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Dungun, Terengganu pada tahun 1959 hingga 1964. Beliau kemudian menjadi Ketua Dewan Muslimat Pas pada tahun 1964 dan 1965.

Pada tahun 1964, Khatijah menjadi Pesuruhjaya Pas Johor dan bertanding pilihan raya di kawasan Parlimen Johor Timur menentang Dr. Ismail Abdul Rahman (kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri), tetapi tewas.

Setelah ketiadaan tokoh-tokoh progresif dalam Pas iaitu Dr. Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad, pada tahun 1969, Khatijah keluar parti itu dan bertanding menentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Asri Muda sebagai calon bebas tetapi tewas dan hilang wang pertaruhan. Ekoran itu, beliau bersara daripada politik.

Ketika berusia, 54 tahun, Khatijah menyertai semula UMNO dan meninggal dunia pada tahun 1982. - ZIN MAHMUD
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4bjhMVwo0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan