Sabtu, 18 Mac 2017

Mengisi kemerdekaan: Apa kata mahasiswa

ARKIB : 01/09/2001
SEMALAM sambutan hari kemerdekaan ke-44 disambut penuh meriah oleh rakyat pelbagai kaum negara ini.

Soalnya, adakah bahang sambutan itu masih terasa atau padam bersama berlalunya detik penuh bersejarah 31 Ogos lalu.

Apa yang pasti ialah pengisian kemerdekaan akan tetap diteruskan dari sehari ke sehari dan bagi warga kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ilmu dan kecemerlangan akademik merupakan hadiah paling bermakna buat sebuah negara yang merdeka.

Tinjauan Dunia Kampus di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) mendapati mahasiswa mempunyai cara berbeza untuk mengisi kemerdekaan yang dikecapi negara.

Pelajar tahun dua, Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM, Muhd. Nazri Michael Nasarula, 19, berkata:

``Kita perlu menyokong penuh usaha kerajaan dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada kaum bumiputera kerana apa yang dilakukan itu bertujuan baik demi kepentingan kaum itu sendiri''.

Rakannya, Sukri Ishak, 19, juga dari fakulti yang sama berkata:

``Usaha mengisi sebuah kemerdekaan yang sudah dikecapi memang sukar, jadi sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan terutama ke arah mengukuhkan rasa cinta terhadap negara ini''.

Pelajar tahun satu, Fakulti Undang-Undang, Syed Hisham Shah Syed Helmi, 19, berkata: ``Jika orang Melayu di zaman kesultanan Melaka dahulu berusaha mempertahankan kedaulatan dan martabat mereka maka dalam zaman serba moden serta canggih ini, sudah sepatutnya kita orang Melayu lebih mampu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan minda Barat''.

Pelajar tahun dua, Fakulti Pengurusan Hotel, Malina Mohd. Kamal, 19, berkata: ``Kita patut lebih banyak menyumbang untuk negara dan sebagai pelajar, sumbangan itu adalah dalam bentuk mempamerkan kecemerlangan akademik dari semasa ke semasa''.

Norasyikin Ngahdirin, 21, yang kini berada di tahun dua pengajian di Fakulti Pengajian Maklumat berkata: ``Mahasiswa merupakan barisan pemimpin pelapis masa hadapan dan kerana itu, mereka menjadi lebih profesional dalam apa sahaja bidang yang diceburi''.

Di KUIM pula, pelajar tahun satu, Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam, Suraiti Mat Ail, 20, berkata: ``Mahasiswa perlu menumpukan perhatian penuh pada pelajaran dan mengelakkan diri melakukan perbuatan tidak berfaedah, misalnya, sembang Internet selama berjam-jam lamanya''.

Khairul Bariah Ismail, 20, dari fakulti yang sama dan kini berada di tahun satu pengajian pula berkata: ``Kemerdekaan negara perlu diisi dengan pembangunan ilmu hasil sumbangan mahasiswa cemerlang''.

Pelajar tahun satu, fakulti yang sama, Muhammad Shahrin Mohd. Nor, 22, berkata ``Sebagai golongan cerdik pandai, mahasiswa perlu mempertahankan diri daripada dijajah oleh Barat dalam ekonomi, budaya dan pemikiran''.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm#ixzz4bjz21oug

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan