Sabtu, 18 Mac 2017

`Saya Anak Merdeka' -- Mencetuskan semangat cintakan negara


 

ARKIB : 01/09/2001
PASUKAN Koir UiTM mengenakan pakaian tradisional rakyat pelbagai kaum negara ini di Shah Alam, Selangor.

Oleh ROHANA MAN
USAHA murni warga Kolej Perindu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan program Saya Anak Merdeka ke-2 berupaya membangkitkan semangat cintakan negara di kalangan mahasiswa.

Program yang mendapat pujian para tetamu kehormat itu bukan sahaja berjalan lancar malah berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.

Lebih mengagumkan apabila program yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai turut dihadiri oleh Tun Ghafar Baba dan beberapa pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia seperti Leftenan Jeneral Datuk Adenan Md. Zain, Mejar Jeneral Datuk Mamap Ariffin Abdullah dan Laksamana 1 Danyal Balagalopal Abdullah.

Kehadiran tetamu kehormat itu bersesuaian dengan tema program kali ini iaitu polis dan tentera: Wira Negara, Setia Berkorban Demi Agama, Bangsa dan Negara.

Norian ketika berucap pada majlis itu berkata, program ini boleh memupuk perasaan cintakan negara di kalangan mahasiswa.

``Program ini sangat relevan sebagai salah satu aktiviti sambutan hari kemerdekaan ke-44.

``Ia dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotik di kalangan warga UiTM,'' katanya.

Antara atur cara menarik pada program itu ialah persembahan cintrawarna, pengkisahan kemerdekaan, perarakan lintas hormat dan persembahan pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah ketika berucap pada majlis yang sama berkata, program itu diadakan bagi menunjukkan kesyukuran seluruh warga kampus UiTM terhadap nikmat kemerdekaan.

``Kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukan untuk tontonan tetapi lebih penting semangat dan rohnya terhadap kemakmuran negara ini,'' katanya.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm#ixzz4bjyRcMAy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan