ARKIB : 20/08/2004
Jika ditanya sudah berapa lama negara kita merdeka, tidak ramai yang boleh menjawab dengan spontan. Amat jelik sekali bila mana pernah tersiar dalam televisyen, temu ramah dibuat terhadap artis dan orang awam, mereka cuma tergelak bila ditanya soalan demikian, malah dengan tidak segan silu bertanya balik soalan yang sama kepada wartawan, tanpa mengetahui satu Malaysia melihat kejahilan mereka itu.
Sesungguhnya sendaan mereka itu tidak pernah dilihat sebagai suatu yang sihat. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa tiada gunanya mengingat ulang tahun Malaysia, cukuplah sekadar merasai kemeriahannya, apatah lagi kita bercuti di Hari Kebangsaan. Lagipun, mustahil kita dijajah lagi, kenapa perlu mengimbau berapa tahun kita sudah merdeka, yang pasti sudah lama, sejak dilahirkan!
Biarpun ramai golongan dewasa yang kurang memberi perhatian terhadap sejarah perkembangan negara, politik, ekonomi mahupun multibudaya, tetapi generasi muda tidak boleh berlapang dada. Belia hari ini tidak boleh pasrah mengikut budaya dan cara hidup yang tidak gemilang. Sekadar meniru kitaran hidup yang sedia ada tidak akan sesekali menjadikan mereka perkasa.
Banyak jenis mata pelajaran Sejarah diperkenalkan sama ada di peringkat menengah mahupun universiti. Malah ada universiti-universiti awam mewajibkan pelajarnya mengambil subjek Sejarah Perundangan Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia yang amat menekankan aspek perkembangan negara Malaysia sejak zaman Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.
Walaupun terdapat pengulangan dalam subjek yang diajar di peringkat menengah, pelajar universiti yang rata-ratanya adalah generasi muda dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh memahami peristiwa-peristiwa penting, mengingat tarikh-tarikh dan sejarah asas perkembangan negara Malaysia.
Ini dilihat sebagai salah satu punca golongan muda tidak menghargai keamanan negara. Mereka cuba melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat, tidak boleh berfikir dengan waras, tidak menggunakan kuasa intelek sepenuhnya, malah seolah-olah cuba melabelkan diri sebagai golongan yang paling menyusahkan negara. Sekiranya mereka celik sejarah, sudah pasti mereka cuba memainkan watak yang sewajarnya dalam mengglobalkan peranan kepada negara.
Sudah pasti mereka insaf, betapa sukarnya menghirup keamanan ini yang sekian lama diperjuangkan sedangkan mereka lahir dalam dulang emas, tanpa korban keringat, darah dan nyawa!
Perdana Menteri menggesa agar belia yang dibiar lena dikejutkan segera. Mereka ini perlu dipantau dengan program-program dan persatuan yang boleh melayakkan mereka sama-sama dibawa dalam arus pembangunan negara. Ini harus dilakukan segera sebelum mereka `bertukar' menjadi dewasa. Dewasa yang tidak mengetahui dan mengingat sejarah pasti tidak akan menghargai keamanan Malaysia dan menyusahkan banyak pihak.
Penyertaan belia dalam persatuan atau program belia sedikit sebanyak membuka mata dan minda mereka untuk turut serta menyumbang ke arah pembangunan negara. Dengan menjadi belia yang baik, beragama, berketerampilan, bijak, berhemah dan mampu memimpin, mereka pasti tidak akan terpinggir di negara sendiri dan bakal menjadi dewasa yang dihargai.
Masalah sosial yang membabitkan golongan belia amat membimbangkan. Kejadian dua orang belia yang sedang berasmara dirompak dan dibunuh (mungkin dirogol?) oleh tiga penjenayah termasuk dua juvenil membuktikan bahawa ada segelintir golongan yang tidak gerun kepada undang-undang dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang ringgit yang tidak seberapa.
Pengenalan Program Latihan Khidmat Negara di kalangan belia dianggap tepat walaupun terdapat beberapa kekurangan yang harus diperbaiki. Ini adalah salah satu program yang dianjurkan untuk melibatkan belia secara langsung dalam memperkasakan aset negara sebagai penggerak pembangunan negara pada hari ini dan akan datang.
Program motivasi yang sebelum ini banyak dianjurkan oleh Biro Tata Negara (BTN) juga berjaya melahirkan belia yang mudah dibentuk. Modul kepimpinan, keagamaan dan toleransi dipantau oleh fasilitator yang berkaliber tanpa mengharapkan wang ringgit demi kecemerlangan akhlak mereka. Belia yang pernah melalui program seperti ini pasti tidak mudah dipengaruhi pemikiran yang sempit dan statik, bahkan mereka boleh mempertingkatkan kecemerlangan akademik ke tahap yang lebih baik.
Amat jarang belia yang rela hati menyertai mana-mana persatuan atau melibatkan diri dalam mana-mana program kerohanian, kepimpinan, sukan atau sebagainya. Pelan Tindakan Belia Nasional yang mengandungi 11 teras pembangunan diharap dapat mewujudkan sahsiah yang tinggi di kalangan belia, menjadikan mereka lebih fleksibel tanpa mengekang kebolehan menerajui diri dan orang lain dan dalam masa yang sama tidak keliru dalam identiti yang dicorakkan.
Bagaimanapun, pelan jangka panjang dan jangka pendek yang dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia kepada generasi pascamerdeka ini disaran agar tidak mengetepikan pengisian pembangunan jati diri manusia.
Sambutan Bulan Kemerdekaan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat meriah dengan kehadiran rakyat yang multiusia. Ia cukup mengharukan, betapa rakyat Malaysia sanggup bersekang mata dan berhimpit di tengah padang yang luas. Kibaran Jalur Gemilang adalah tanda kemegahan rakyat yang tiada taranya. Bukan berpura-pura, tapi itulah yang lahir dari hati. Jeritan merdeka menggegarkan malam yang masih muda. Semuanya bersemangat, malah ada yang mengeluarkan air mata!
Generasi muda yang berpelajaran pasti tidak akan membiarkan rakan sebaya hanyut dalam arus hidup tanpa pegangan hingga mengganggu-gugat keamanan negara.
Mereka pasti tahu tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam membantu kerajaan membina sahsiah golongan ini. Oleh itu, inilah masanya belia yang profesional, berpendidikan tinggi dan berperibadi mulia harus turun padang menyempurnakan peranan menguatkan sifat patriotik demi keagungan agama, bangsa dan negara.
- NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH adalah Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan