ARKIB : 25/08/2001
FATIMAH HASHIM.
Oleh: HAMDEN RAMLI (Wartawan
Utusan)
Selepas 44 tahun merdeka, kedudukan
wanita di negara ini telah mencapai satu kedudukan yang cukup tinggi sehingga
sukar untuk dibezakan dengan kaum lelaki.
Wanita berada di mana sahaja.
Dalam bidang pekerjaan, wanita kini sudah mengungguli banyak bidang kerja yang
satu ketika dahulu dikuasai oleh kaum lelaki.
Wanita kini bukan lagi hanya
menjadi pengurus sebuah keluarga, tetapi juga mampu untuk menerajui syarikat
korporat, jabatan-jabatan kerajaan, sekolah dan universiti.
Tidak cukup dengan mendahului
atau menerajui sesuatu bidang, wanita juga turut menguasainya. Di
institusi-institusi pendidikan tinggi negara umpamanya ia dikuasai oleh wanita.
Di sektor perindustrian juga dikuasai wanita di mana mereka menjadi tenaga
penggerak utama sektor ekonomi tersebut.
Itulah kedudukan wanita
Malaysia hari ini, selepas 44 tahun merdeka. Kata orang, berdiri sama tinggi
dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Namun bagaimanakah kedudukan wanita
khususnya wanita Melayu 44 tahun lalu.
Tokoh pejuang wanita, Tan Sri
Fatimah Hashim, 77, berkata, beliau cukup sedih dan marah apabila mengenangkan
kedudukan wanita zaman dahulu, zaman penjajah.
Katanya, bukan sahaja wanita,
semua penduduk tempatan menerima nasib yang sama, diletakkan pada kedudukan
yang sangat rendah.
``Jika kedudukan lelaki hanya layak
jadi peon (budak pejabat), wanita Melayu pula dikatakan hanya layak untuk
mencari kutu di kepala sahaja.
``Itulah kedudukan yang
diberikan oleh penjajah kepada bangsa kita,'' katanya menceritakan keadaan
wanita Melayu pada zaman penjajah. Hati mana yang tak sakit jika diperkatakan
begitu,'' katanya lagi.
Menurut beliau, wanita zaman
dahulu bukan sahaja dipandang rendah namun turut diketepikan dalam semua
peluang. Wanita seolah-olah tidak mempunyai sebarang hak di negara tercinta
ini. Wanita bukan sahaja dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan tetapi
hak dalam bidang pekerjaan dan kesihatan.
``Persekolahan tidak ada. Kalau
ada persekolahan pun, ia untuk lelaki, perempuan tidak ada. Perempuan dikatakan
bodoh. Perubatan pun tidak cukup. Itu yang menyebabkan apabila hendak
melahirkan anak, anak selalu mati. Doktor tiada, klinik tiada. Pekerjaan pula
tak payah cakap. Kalau lelaki pun susah, inikan pula wanita. Kata mereka
(penjajah), wanita layak cari kutu sahaja,'' ujarnya.
Menurut Fatimah, selain
tekanan-tekanan itu, orang Melayu juga telah dinafikan hak dalam bidang
ekonomi.
``Kita, orang Melayu hanya melihat
semua peluang dan nikmat yang ada pada bumi bertuah ini dikaut dan dinikmati
oleh penjajah. Bijih timah, getah semua mereka bawa balik ke negara
masing-masing, diproses bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada anak cucu
mereka. Kita di sini terus menjadi kuli,'' ujar ibu kepada enam orang anak itu.
Beliau menambah, perkara itu
berlaku kerana mereka berkuasa dan mereka mentadbir. Katanya, walaupun pahit
untuk diterima namun terpaksa ditelan kerana orang tempatan tidak mempunyai
kuasa.
Bagaimanapun ujar beliau,
layanan dan tekanan itu kemudiannya telah melahirkan semangat untuk bebas,
semangat untuk merdeka.
Namun untuk merealisasikan
impian itu, orang Melayu tidak boleh bergerak bersendirian. Mereka perlu
bersatu.
``Kalau nak makan pun kena guna
lima jari. Kalau guna satu jari, tidak menjadi. Ini yang kita buat dalam
perjuangan kita. Itu yang tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO),'' katanya yang menyertai perjuangan UMNO pada tahun 1947 ketika berusia
21 tahun.
Menerusi UMNO, katanya, rakyat
disatukan. Beliau berkata, pada ketika itu tugas utama pemimpin adalah untuk
mendapatkan sokongan orang Melayu. Dan tugas untuk mendapatkan sokongan orang
Melayu bukan sekadar diletakkan di bawah tanggungjawab pemimpin lelaki, kaum
wanita juga banyak memainkan peranan.
``Pada waktu itulah segenap
pelosok negara kami redah menggunakan tenaga dan kudrat untuk menyatukan orang
Melayu. Orang ke darat, kami ikut ke darat. Begitu juga ke laut, ke hutan dan
ke mana-mana pun untuk memberi semangat kepada rakyat meminta sokongan
perjuangan ke arah kemerdekaan.
``Kekuatan pada masa itu
hanyalah perpaduan yang diiringi dengan keazaman dan keyakinan yang tinggi
bahawa satu hari nanti kita akan berjaya mendapatkan kemerdekaan.
``Tidak susah untuk mendapatkan
sokongan daripada orang Melayu. Bagi kaum wanita sokongan, perjuangan mereka ke
arah kemerdekaan adalah kerana mahukan peluang pendidikan yang baik dan
sempurna untuk anak-anak mereka,'' jelas bekas Ketua Kaum Ibu UMNO itu.
Fatimah berkata, tidak banyak
halangan yang dihadapi masa itu kecuali penjajah yang menggunakan pelbagai
alasan untuk melambat-lambatkan kemerdekaan. Selain ancaman rusuhan kaum,
penentangan komunis dijadikan alasan kenapa Tanah Melayu tidak boleh merdeka.
``Bagaimanapun dengan
kebijaksanaan pemimpin dahulu, alasan tersebut dapat disangkal. Rusuhan kaum
yang dikatakan akan berlaku berjaya ditangkis dengan perpaduan kaum menerusi
penubuhan parti Perikatan. Selepas itu, proses rundingan damai dengan pihak komunis
juga berjaya dilaksanakan.'' katanya.
Beliau berkata, semangat juang
wanita dalam perjuangan juga telah ditunjukkan ketika menentang komunis.
Meskipun tidak memegang senjata tetapi mereka setia berada di belakang suami
waktu susah dan senang. Keluarga tetap dijaga dan dipelihara.
``Tak ada sokongan wanita, tak
dapat kemerdekaan. Tak ada sokongan wanita, tak habisnya komunis. Tak ada
sokongan wanita, tak kuat UMNO. Itu tidak boleh dinafikan,'' katanya.
Menurut Fatimah kini selepas 44
tahun merdeka, beliau berasa cukup gembira dan berpuas hati melihat kedudukan
wanita.
``Bukan sahaja telah mendapat
kedudukan yang tinggi tetapi hak mereka juga telah diperbaiki dari semasa ke
semasa. Alhamdulillah, ia berlaku hari ini berkat perjuangan dan kemampuan kita
menentukan hala tuju negara dan bangsa kita,'' katanya.
Beliau yang pernah menjawat
jawatan dalam kabinet sebagai Menteri Kebajikan Am menambah, kini terasa ringan
bahunya melihat keadaan negara dan nasib rakyat hari ini khususnya wanita.
``Inilah yang diimpikan oleh
pejuang-pejuang dahulu.'' ujarnya.
Ketika ditanya dari manakah
datangnya kekuatan wanita Melayu pada masa itu, beliau termenung, tunduk sambil
menggelengkan kepala.
``Saya pun sampai sekarang
masih memikirkan dari mana datangnya kekuatan wanita Melayu itu. Masa itu
kebanyakannya miskin tidak berpelajaran. Anak-anak pula ramai. Tetapi masih
boleh berjuang dan membesarkan anak-anak mereka sehingga berjaya hari ini. Itu
yang perlu difikir dan dijadikan iktibar generasi hari ini,'' katanya.
Bagaimanapun, di sebalik
kegembiraannya itu, beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap generasi
baru yang sudah tidak mengambil berat perjuangan datuk nenek mereka dahulu
sehinggakan sudah tidak sayang kepada agama, bangsa dan negara.
``Negara yang ada pun sanggup
hendak dijual. Ini yang saya sangat bimbang,'' ujarnya.
Beliau berkata, perkara itu
perlu diatasi walau dengan apa cara sekali pun.
Kongsi Konten di :
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4bjiIIpYv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan