Sabtu, 18 Mac 2017

Asal-usul semangat kebangsaan Melayu

ARKIB : 23/08/2001
Asal-usul semangat kebangsaan Melayu
Tajuk : The Origins of Malay Nationalism (Asal-usul Nasionalisme Melayu)
Penulis : W.R. Roff

Penerbit : Penerbit Universiti Malaya

Halaman : 297

Tahun : 1980

BUKU ini terbit 20 tahun lalu tetapi ia cukup bermakna kerana inilah antara karya awal yang melihat sejarah tanah air dari kaca mata tempatan, dan bukan mengikut pandangan British.

Buku ini boleh dilihat sebagai teks sejarah tetapi dari sisi lain, ia boleh juga disifatkan sebagai satu analisis sosial orang Melayu dalam konteks perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ia melihat susur galur kemunculan gerakan nasionalisme moden yang didukung oleh tiga kelompok orang Melayu yang dicorakkan oleh latar belakang yang berbeza.

Generasi pertama adalah para penulis yang rata-ratanya mendapat pendidikan dari Arab dan selatan India. Mereka yang terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Mesir dan Turki itu kemudiannya meniup semangat perjuangan dari pejabat-pejabat akhbar.

Generasi kedua lebih terarah kepada semangat kemelayuannya kerana mereka lahir daripada pendidikan Melayu. Mereka yang disifatkan sebagai cendekiawan Melayu itu agak radikal dan pada satu masa cukup terpengaruh dengan gerakan kemerdekaan yang membara di Indonesia.

Generasi ketiga pejuang nasionalisme Melayu pula adalah mereka yang mendapat pendidikan Inggeris dan rata-ratanya mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat kerana makan gaji dengan kerajaan.

Buku ini - yang mengimbau perkembangan sejarah perjuangan nasionalisme sejak munculnya akhbar al-Imam membawa kepada penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan pertubuhan-pertubuhan Melayu lain - adalah dokumentasi yang cukup berharga kepada generasi penerus warisan.

Buku ini hanya merakamkan sejarah awal gerakan moden nasionalisme sehingga tahun 1940. Maka itu, ia dilihat cukup relevan bagi memahami bentuk dan semangat perjuangan orang Melayu sebelum penubuhan UMNO yang muncul ekoran gagasan Malayan Union.

Tanpa mengenal susur galur kemunculan gerakan nasionalisme yang kemudiannya membawa kepada kemerdekaan negara ini, kita tidak mungkin dapat menghayati dan seterusnya menghargai nikmat kebebasan itu. - NOOR AZAM SHAIRI
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4bjdzTN5D

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan