ARKIB : 29/08/2003
Kita mengalu-alukan kemajuan
untuk kesejahteraan tetapi kita harus ingat dan waspada bahawa kemewahan pun
boleh melalaikan kita daripada perasaan patriotik.
Apa itu patriotik? Begitu banyak
tafsiran dalam kaitan konsep patriotik. Apa sahaja takrifan atau tafsiran
pengertian patriotisme atau kesetianegaraan itu, ia tidak dapat lari daripada
maksud tentang kecintaan atau rasa tanggungjawab dan kesediaan berkorban untuk
negara dan bangsa.
Jika dihurai dengan panjang lebar
kesetianegaraan itu merupakan satu ungkapan simbolik yang menyatakan bahawa
setiap rakyat perlu memiliki rasa bangga terhadap negara tempat tumpah
darahnya. Yakni sebagai warganegara, seseorang itu wajib menjunjung tinggi nama
baik negaranya di mata dunia.
Ada banyak contoh untuk
mendemonstrasikan ciri-ciri patriotik kita. Sebagai contoh kita harus
menjunjung tinggi dengan penggunaan bahasa kebangsaan baik di majlis rasmi atau
penggunaan pada urusan awam. Pada saat ini sudah banyak rungutan kita dengar
bahawa masyarakat kurang memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa Melayu,
bahasa kebangsaan kita secara luas dan secara berdigniti.
Sudah tentunya ia satu tanda
kurang menghormati penggunaan dan penulisan yang tepat pada bahasa kita. Ini
juga menunjukkan kita kurang rasa patriotik pada bahasa kebangsaan.
Kecenderungan itu harus diberhentikan dan diatasi isunya kerana jika kita
sendiri belum bersedia mencintai bahasa kita jangan harap bangsa lain akan
turut menghormati bahasa kita.
Satu lagi contoh iaitu soal
rasuah. Soal rasuah bagaikan menjadi-jadi di negara kita. Soalnya kita harus
mempertingkatkan lagi usaha menghapuskan gejala ini.
Pelaku rasuah tidak berharga
sedikit pun malahan mereka ini tidak kurang semacam barah pada tangan yang
harus dipotong agar tidak membuat negara lumpuh satu hari nanti. Semangat
patriotik membenci rasuah tidak begitu menonjol di kalangan rakyat kita.
Mungkin kerana gejala kemewahan
yang kian menular pada masyarakat serta dibumbui dengan budaya konsumerisme
yang tinggi dan diikuti hubungan-hubungan sosial yang semakin terasa longgar
dan sangat berbau materialisme maka perasaan kesetianegaraan itu turut pudar.
Sebahagian besar masyarakat kita
prihatin akan masalah patriotik. Mereka ini menganggap bahawa semangat
kesetianegaraan harus dihidupkan semula. Soalnya bukan mudah untuk berbuat
demikian tetapi perkara itu tidak juga mustahil dibangkitkan semula.
Kesetianegaraan mempunyai
ciri-ciri dan ritualnya untuk ditanamkan ke sanubari rakyat khasnya golongan
muda. Jabatan Perpaduan Negara dan Kementerian Pendidikan serta badan-badan
lain yang berkaitan harus menggembleng sepenuh tenaga mereka menghidupkan
semula norma kesetianegaraan itu.
Ada beberapa contoh yang mungkin
berskala kecil tentang gambaran kurangnya rasa kesetianegaraan. Misalnya semasa
hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang lalu, mengikut
laporan akhbar bertambah kurang rakyat kita mengibarkan bendera Malaysia ketika
itu. Mengibarkan bendera Malaysia pada hari itu yakni 1 Jun setiap tahun, cuma
satu simbol rasa besar hati kita terhadap Ketua Negara.
Generasi pascamerdeka tidak
begitu menghayati hari kebesaran seperti Hari Kebangsaan. Ramai kalangan muda
pelbagai kaum yang tidak memahami pengertian dan maksud Hari Kebangsaan. Dengan
tiada pemahaman sebenar maksud Hari Kebangsaan selain hari untuk perarakan,
jelas itu menunjukkan yang kita kehilangan rasa kesetianegaraan.
Dengan itu adalah tidak salah
jika kita merenung semula apa sebenarnya makna sejati kesetianegaraan.
Adakah ia sekadar ungkapan yang
selalu dibuat oleh para pemimpin politik pada masa tertentu ataupun ia sebuah
ungkapan simbolik yang berwajah abstrak yang setiap rakyat kita harus mencintai
tanah tumpah darahnya dan tidak lebih daripada itu?
Kita harus ingat bahawa rasa
kesetianegaraan itu juga sebagai salah satu ciri jati diri bangsa kita yang
pelbagai agama, budaya, bahasa dan adat resam. Jika rasa kesetianegaraan dapat
disebati pada setiap insan Malaysia, ia tentu menjadi unsur penyatu masyarakat
yang amat kuat kerana tidak ada jaminan yang lebih meyakinkan daripada memiliki
rasa kesetianegaraan untuk memberi ikatan sosial yang kental bagi rakyat
Malaysia.
Jangan pula kita kelirukan
keadaan dengan mengatakan kesetianegaraan itu sama dengan tidak bolehnya kita
bersifat kritikal terhadap pihak kerajaan. Kita boleh kritikal tapi janganlah
sampai kita berselindung dengannya untuk merosakkan negara.
Kita harus menjunjung tinggi nama
baik bangsa kita. Baik atau busuk nama negara harus dijunjung kerana sikap itu
adalah sikap kesetianegaraan.
Pokok persoalannya nampaknya
terpulang pada sikap kita semua untuk menerima ciri-ciri patriotik dengan
sepenuh hati walaupun kita sering terpukau dengan godaan kemewahan. Ñ RAMLI
ABDUL SAMAD, Pulau Pinang.
Kirim pendapat anda melalui faks
03-92239854 atau pendapat@utusan.com.my.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4dIVp1Zwz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan