Selasa, 25 April 2017

Usia 47 tahun - Kian matang dan dicemburui

ARKIB : 01/09/2004
Abdullah Ahmad Badawi (tengah) dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengibarkan bendera pada majlis Perhimpunan Patriotik Pemimpin Pelajar di Melaka.



PADA 31 Ogos 2004, genaplah 47 tahun usia kemerdekaan negara tercinta, Malaysia dan seperti mana amalan terdahulu setiap kali tiba hari bersejarah itu, bergemalah laungan `merdeka' dan semangat rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.
Jika direnungi, rakyat Malaysia sebenarnya terlalu bertuah kerana sambutan hari kemerdekaan saban tahun, tidak diwarnai dengan suasana menakutkan seperti yang berlaku di banyak negara luar.
Pada ketika bunyi bunga api sahut-sahutan dan memercikkan cahaya indah mewarnai detik ketibaan 31 Ogos, rakyat Iraq dan sesetengah negara lain mungkin hidup dalam ketakutan dengan bunyi letupan dari senjata pemusnah termasuk yang dilepaskan oleh pesawat tentera penjajah besar dunia iaitu Amerika Syarikat.
Apa yang menarik, sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana perayaan ini adalah yang pertama membabitkan Abdullah selaku Perdana Menteri.
Ekonomi
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih teraju kepimpinan negara pada Oktober tahun lalu telah meneruskan kecemerlangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam meletakkan ekonomi negara pada tahap membanggakan.
Walaupun belum sampai setahun menerajui tampuk pemerintahan, Abdullah terbukti berjaya membawa rakyat menempuh cabaran-cabaran besar seperti dalam menangani pasang surut ekonomi dunia, peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa dan pilihan raya umum pada Mac lalu.
Perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini mencatatkan pertumbuhan lapan peratus iaitu meningkat berbanding 7.6 peratus pada suku pertama dan Abdullah sendiri melahirkan keyakinan bahawa prestasi ekonomi negara akan bertambah baik pada suku tahun ketiga dan keempat kelak.
Namun begitu, semua cerita kejayaan dan kecemerlangan negara itu tidak wajar meletakkan rakyat dalam kelegaan dan keseronokkan kerana cabaran-cabaran mendatang sukar diramalkan.
Bagi orang Melayu yang mewakili kaum pribumi terbesar di negara ini, misalnya, adakah mereka sudah berpuas hati dengan tahap pencapaian mereka ketika usia kemerdekaan negara telah mence-cah 47 tahun kini?
Adakah orang Melayu sudah merdeka dalam erti kata dapat mengimbangi kehebatan kaum lain khususnya dalam bidang perniagaan sama ada di bandar raya, bandar dan pekan?
Sekiranya orang Melayu berbangga kerana muncul banyak syarikat korporat dan ketua pegawai eksekutif di kalangan mereka sekarang, tetapi kemerdekaan sebenar terletak kepada berapa banyak premis kedai milik Melayu mewarnai bandar dan pekan.
Sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini dan pada tahun-tahun seterusnya, perlu dijadikan `titik tanda' kepada semua kaum untuk merapatkan jurang sesama mereka agar tidak ada kaum yang terlalu terpinggir dan ada kaum pula yang terlalu dominan.
Sesuatu yang menarik pada sikap rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah slogan `Malaysia Boleh' sudah semakin meluas dihayati oleh rakyat dari segenap lapisan, usia dan kaum.
Banyak pihak seolah-olah mahu muncul sebagai rakyat cemerlang melalui pembabitan mereka dalam pelbagai kegiatan mencabar seperti berenang merentasi Laut Inggeris, mendaki Gunung Everest, menjelajah benua salji di Antartika, tinggal berminggu-minggu bersama ribuan jengking dan banyak lagi. Semua itu dilakukan untuk mengangkat imej negara tercinta.
Di sektor swasta, banyak korporat tempatan berjaya mengangkat imej negara dengan berusaha bersaing dan menembusi pasaran dunia seperti mana yang berjaya dibuktikan oleh Petronas - yang baru-baru ini berjaya memasuki pasaran gas di Britain.
Industri kereta nasional Proton semakin berkembang dan kereta kebanggaan negara itu kini semakin mendapat kedudukan di banyak lagi negara luar.
Sektor pertanian turut mendapat kedudukan penting pada era sekarang dalam usaha kerajaan mengangkat martabat para petani, nelayan, peneroka dan pekebun kecil ke tahap yang lebih baik setelah golongan itu sudah begitu lama dikaitkan dengan masalah kemiskinan.
Apa yang membanggakan, kerajaan telah memilih pertanian sebagai unsur penting dalam sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini selain mengekalkan slogan keramat ``Keranamu Malaysia.''
Dengan sebegitu banyak pencapaian yang dirintis oleh negara dan rakyat selama ini, marilah kita tanpa mengira kaum, agama dan budaya sama-sama mendekatkan barisan dan bersatu di bawah prinsip `satu negara, satu bangsa.'
Jika prinsip itu dihayati, negara tercinta ini akan terus menjanjikan kemakmuran dan keamanan kepada kita semua serta Malaysia terus diberkati oleh Yang Maha Esa. Selamat Hari Kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan