ARKIB : 16/08/2003
Oleh Zin Mahmud
(WARTAWAN UTUSAN)
Pada Ahad ini, 17 Ogos, akan
bermula perayaan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung sehingga 16 September, hari
ulang tahun penubuhan Malaysia. Tahun ini Malaysia merayakan ulang tahun
penubuhannya ke-40.
Pada 16 September 1963, Tanah
Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura bersetuju bergabung di dalam Persekutuan
Malaysia.
Dalam rancangan awal, Brunei juga
seharusnya turut serta dalam gagasan Malaysia ini. Tetapi ia kemudian memilih
untuk terus menjadi negeri naungan British. Ia mencapai kemerdekaan pada 1 Januari
1984.
Tunku Abdul Rahman yang
mencetuskan idea Malaysia merancang supaya negara baru itu diisytiharkan pada
31 Ogos 1963, iaitu sempena hari ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu ke-6.
Jika itu berlaku, maka perayaan Hari Kemerdekaan bagi Sarawak, Sabah dan Singapura
akan menjadi 31 Ogos.
Tetapi atas sebab-sebab yang
belum dapat diselesaikan di Sabah dan Sarawak ketika itu, tarikh kemerdekaan
bagi kedua-dua negeri itu tertunda hingga pada 16 September. Bagaimanapun,
Singapura mengambil keputusan untuk mengisytiharkan kemerdekaannya dari British
pada 31 Ogos 1963. Singapura kemudian turut menyertai Tanah Melayu, Sarawak dan
Sabah untuk menjadi Malaysia.
Bagaimanapun, Singapura
dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Kini republik itu menyambut Hari
Kebangsaannya pada tarikh itu.
Negara baru Malaysia menjadikan
31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan dan 16 September sebagai Hari Malaysia bagi
memperingati tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak.
Sejak tahun 2000 pula, kerajaan
telah memperkenalkan perayaan Bulan Kemerdekaan yang dimulakan pada 17 Ogos dan
berakhir pada 16 September dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Hari Kebangsaan kali ini ialah
yang ke-46.
Tarikh 17 Ogos dipilih bagi
mencukupkan sambutan sebulan perayaan merdeka dengan perayaan akhir diadakan
sama ada di Sarawak atau Sabah sebagai memperingati penubuhan Malaysia.
Secara kebetulan juga, 17 Ogos
merupakan sambutan hari kebangsaan Indonesia yang mencapai kemerdekaannya pada
17 Ogos 1945. Pada tarikh itu, para nasionalis di Tanah Melayu turut menyambutnya
dengan semangat untuk memperjuangkan juga kemerdekaan tanah airnya sendiri.
Malah ada antara mereka yang
telah berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu sejak sebelum Perang Dunia
Kedua. Mereka juga merancang untuk mendapatkan persetujuan Jepun yang
meletakkan Tanah Melayu dan Sumatera dalam pentadbiran yang sama untuk merdeka
serentak dengan Indonesia. Tetapi rancangan itu gagal.
Sebaliknya, British yang kembali
ke Tanah Melayu telah mengetatkan penjajahannya dengan mengubah status negeri naungan
kepada tanah jajahan dalam gagasan Malayan Union. Keadaan inilah yang mendorong
orang Melayu bangkit dan akhirnya membawa kepada penggantian Malayan Union
dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada tahun 1950.
Indonesia mengalu-alukan kemerdekaan
Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dengan kedua-dua pihak menganggap mereka sebagai
negara serumpun. Tetapi apabila Malaysia hendak ditubuhkan, Indonesia
menentangnya. Hanya setelah bertukar rejim di Jakarta, barulah hubungan
keduanya baik dan menjadi tonggak kepada pertubuhan serantau ASEAN.
Kesemua negara anggota ASEAN yang
kini berjumlah 10 mempunyai hubungan sejarah yang rapat antara sesama mereka.
Khususnya negara-negara teras iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia,
Thailand dan Filipina. Kesemua negara ini menerima secara langsung pengalaman
sejarah daripada tamadun Melayu.
Tetapi kerajaan Melayu tertua
muncul di Funan yang meliputi wilayah-wilayah yang kini berada dalam sempadan
Vietnam dan Kemboja. Di situlah kerajaan Melayu paling awal muncul. Kemudian
banyak lagi kerajaan-kerajaan Melayu di Pattani, Semenanjung Melayu dan
Sumatera muncul. Akhirnya tamadun ini berkembang dalam bentuk kerajaan-kerajaan
Melayu, yang walaupun kecil dan berada di pesisiran pantai meliputi hampir
kesemua pulau-pulau di Asia Tenggara termasuk Jawa, Borneo, Sulu, Sulawesi dan
Maluku.
Kerajaan-kerajaan Melayu ini
walaupun saling silih berganti dan dikunjungi oleh saudagar-saudagar dan juga
wakil-wakil kerajaan dari India dan China, tetapi mereka tetap berada dalam
kedudukan merdeka.
Seluruh Kepulauan Melayu ini
adalah ruang politik kerajaan-kerajaan Melayu yang bersifat inklusif, iaitu
terbuka kepada perdagangan dan kunjungan perantau-perantau dari Barat dan
Timur, jauh lama sebelum kedatangan seorang manusia dari Eropah.
Empayar pertama yang membentuk
asas budaya politik Melayu dengan mencipta gagasan `kerajaan' adalah Sri Wijaya
yang berpusat di Palembang, Sumatera.
Kehebatan kerajaan Sri Wijaya ini
dapat digambarkan dengan kisah bagaimana para ilmuwan dan saudagar dari China
dan India berkampung di Palembang untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan.
Kerajaan Sri Wijaya tidak pernah
berhasrat untuk menakluki dunia, sama ada China atau India. Tetapi mereka
berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran dengan menyediakan kemudahan
perniagaan, pelaburan dan perdagangan.
Sri Wijaya tumbang dan kerajaan
ini diwarisi oleh Kesultanan Melaka. Melaka juga berjaya mewujudkan keamanan
dan kemakmuran yang memberi ruang kepada usaha perniagaan dan perdagangan
antarabangsa, dari Timur dan Barat. Sri Wijaya dan Melaka menikmati kemerdekaan
untuk mewujudkan tamadun.
Penjajahan bermula apabila
Portugis menakluki kota Melaka pada Ogos 1511. Tetapi Kesultanan Melaka tidak
tumbang, ia hanya berpindah ke Kota Tinggi dan meneruskan kerajaan Melayu di
sana yang kini dikenali sebagai Kesultanan Johor-Riau.
Harapan Portugis untuk menguasai
kekayaan Kepulauan Melayu melalui penguasaan Melaka tidak mendatangkan hasil.
Melaka di bawah Portugis dan kemudiannya Belanda dan Inggeris tidak mencapai
kemakmuran semasa ia diperintah oleh kesultanan Melayu. Begitu juga apabila
Belanda dapat menguasai Jawa dan Sumatera, mereka tetap tidak dapat mewujudkan
kota semakmur Melaka pada zaman kesultanan Melaka.
Bagaimanapun Inggeris berjaya
mewujud pengganti Melaka dalam bentuk Singapura setelah memisahkannya daripada
Kesultanan Johor-Riau.
Sungguhpun begitu, kemerdekaan
Johor dapat dipertahankan walaupun hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu
telah dinaungi British dan pulau-pulau Riau telah dikuasai Belanda pada awal
abad ke-20.
Johor juga dapat memanfaatkan
dari pembangunan Singapura. Malah ia juga melancarkan program modenisasi dalam
pentadbiran, ekonomi dan budaya supaya dapat menjadi negeri maju dan makmur.
Jadi apabila British mengemukakan
gagasan Malayan Union yang bermakna menjadikan Johor sebahagian daripada tanah
jajahan British, maka pembesar Johor, Datuk Onn Jaafar terdorong untuk
menentang dan berjuang mengembalikan kemerdekaan Tanah Melayu.
Dengan kemerdekaan Tanah Melayu,
Kuala Lumpur muncul sebagai ibu kota negara baru. Ia mula menarik pelbagai
kegiatan ekonomi, sosial, politik dan budaya. Para elit Melayu yang mencorakkan
tamadun Melayu moden di Singapura telah juga berpindah ke Kuala Lumpur.
Pada alaf baru ini, Kuala Lumpur
telah jauh maju dengan mercu tanda utamanya ialah bangunan tertinggi dunia,
Menara Berkembar Petronas.
Kini dengan penubuhan Putrajaya
yang merangkaikan Kuala Lumpur dengan Koridor Raya Multimedia (MSC), cita-cita
Malaysia adalah jelas. Iaitu ingin menjadi negara masa depan yang maju dan
makmur. Ia mahu mewarisi kemakmuran yang pernah dirintis oleh Sri Wijaya di
Palembang dan diwarisi oleh Melaka.
Kini kegemilangannya cuba
disambung oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Justeru, sambutan Bulan
Kemerdekaan yang bermula di Melaka dengan pengibaran Jalur Gemilang menandakan
dua perkara. Pertama, ia memperingati pengumuman tarikh kemerdekaan yang dibuat
oleh Tunku sekembalinya dari London apabila berjaya dalam rundingannya dengan
pihak British. Kedua, Melaka pernah menjadi pusat kemakmuran rantau ini dan
inilah yang hendak diwarisi oleh Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun
ini pula buat pertama kalinya akan diadakan di Putrajaya.
Kota ini akan menandingi Melaka
dan Sri Wijaya pada zaman kegemilangannya. Apabila sidang kemuncak Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya
pada Oktober, maka ia akan menjadi kota tumpuan negara-negara Islam sepanjang
negara ini menjadi pengerusi pertubuhan itu.
Hakikatnya, Putrajaya dan
Malaysia sudah menandingi Sri Wijaya mahupun Melaka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4dHGriW3n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan