Selasa, 4 April 2017

Usaha Muzium Negara semai patriotisme



ARKIB : 29/08/2003
Oleh Azman Anuar

(Wartawan Utusan)
Ketika meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan Ke-6 pada 31 Ogos 1963, serentak dengan itu juga gerbang pintu Muzium Negara dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 31 Ogos 1963 pada pukul 4.30 petang.

Secara kebetulan dalam menyambut usia 40 tahun penubuhan Muzium Negara pada Ahad ini, anakanda baginda yang menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan untuk merasmikan sambutan Jubli Delima Muzium Negara pada pukul 4.30 juga.

Mengimbau sejarah Muzium Negara, idea penubuhannya bermula apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Al-Haj menganggap selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, negara ini perlu mempunyai sebuah muzium nasional yang mempamerkan khazanah sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi. Ia juga menunjukkan bahawa negara kita juga mempunyai identiti yang tersendiri.

Oleh itu Tunku telah meminta Tan Sri Mubin Sheppard untuk mengusahakan penubuhan muzium ini dengan kerjasama seorang arkitek, Ho Kok Hoe. Mereka berdua menjelajah ke negeri-negeri di utara Semenanjung untuk mencari identiti bangunan tradisional Melayu.

Tetapi akhirnya mereka mendapat ilham seni bina yang kini menjadi simbol pada wang kertas RM50 iaitu seni bina Istana Seri Menanti dan turut menerap motif seni bina tradisional Melayu yang lain.

Muzium Negara siap dibina pada 1961. Pada 1962, usaha banyak dilakukan untuk mengisi khazanah di dalam muzium dan 1963 barulah ia dirasmikan.

Dalam tempoh 40 tahun ini, 72 juta orang telah melawat Muzium Negara. Malah bangunan ini telah melihat beberapa kejayaan dalam penganjuran pamerannya.

Dalam empat dekad usia Muzium Negara, pameran yang paling mencatat angka jutaan pelawat ialah Pameran Kenangan P. Ramlee pada 1973.

Pada pameran itu juga Biduanita Negara, Saloma menyanyikan lagu terakhir yang dicipta oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Air Mata di Kuala Lumpur.

Pada 1980-an, Muzium Negara mencatat sejarah box-office apabila Pameran Tamadun Islam Antarabangsa yang mana tarikan utamanya ialah janggut Nabi dan pedang Saidina Ali.

Pada 1990-an pula, pameran Khazanah Dari Kubur di mana mumia yang dibawa khas dari Mesir berjaya menarik hampir 1.3 juta pelawat dalam tempoh setahun pamerannya.

Pada alaf baru ini, Muzium Negara membawa Pameran Hantu dan ia berjaya menarik 600,000 pengunjung dalam masa dua bulan pameran berlangsung.

Berdasarkan angka ini, Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Datuk Dr. Adi Taha menganggap Muzium Negara masih relevan sebagai pusat tarikan pelancong.

``Walaupun kita sekarang menghadapi banyak persaingan dengan taman-taman tema dan adanya banyak pusat beli-belah yang besar untuk dikunjungi orang ramai, namun kami masih menerima kunjungan hampir 700,000 hingga 900,000 pengunjung setahun,'' kata Adi yang sedar cabaran untuk menarik orang ramai melawat Muzium Negara.

Apa pun beliau memberi hujah terdapat perubahan kenapa Muzium Negara dipandang sepi oleh pelawat sekarang.

Menurut Adi yang telah 28 tahun berkhidmat dengan Jabatan Muzium Negara dan Akuiti, penurunan berlaku akibat perkembangan semasa seperti kegawatan ekonomi pada 1997 dan mutakhir ialah kebimbangan merebak wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Hal ini bukan dihadapi oleh pihak Muzium Negara sahaja tetapi juga sektor pelancongan lain di seluruh negara.

Apa pun Adi berasa bangga kerana Muzium Negara masih berada di barisan atas dari segi lokasi popular di Kuala Lumpur yang dilawati oleh pelancong selain Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya.

Beliau menganggap perkembangan kini satu persaingan sihat. Justeru, salah satu pendekatan yang diambil sejak dekad ketiga penubuhan Muzium Negara adalah untuk memberi pendidikan dan hiburan. Ini bertujuan memanfaatkan ledakan teknologi maklumat (IT) apabila anak-anak suka duduk di rumah menghadap komputer dan Internet.

``Oleh itu Muzium Negara menggunakan pendekatan IT seperti program interaktif pada bahan pameran untuk memberi maklumat tambahan kepada pelawat,'' jelas beliau.

Bagi Adi, cabaran Muzium Negara kini adalah untuk membawa pameran popular untuk menarik minat orang ramai, di samping mewujudkan unsur pendidikan dalam pameran tersebut.

Oleh itu pihaknya sedang berusaha untuk membawa pameran `pelik tapi benar' seperti pameran `janggut' yang dijangka diadakan Mac 2004. Kini Muzium Negara mengadakan Pameran Kucing dan Burung Eksotik dengan tarikan utamanya kucing sphinx yang tiada bulu.

Untuk menyambut 40 tahun Muzium Negara, maka banyak acara akan diadakan selama empat hari empat malam mulai 31 Ogos ini.

Selepas perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong pada petang 31 Ogos, ia akan diikuti majlis tahlil pada malamnya.

Aktiviti bagi tiga hari berikutnya akan diadakan persembahan tarian ulik mayang, klasik Cina, sewang, bhangra, barongan, kuda kepang, tarian Malaysia, makyung, pertunjukan pakaian tradisional dan teater.

Pada sebelah malam diadakan pertunjukan wayang kulit yang dipersembahkan oleh Tok Dalang berketurunan Cina dari Kelantan dan Asun dari Kedah. Di samping itu, demonstrasi permainan gasing, kraftangan Orang Asli, membuat batik dan tembikar diadakan berserta dengan gerai jualan.

Pada pagi 2 September, beberapa tokoh yang `menghidupkan' Muzium Negara dijemput untuk sesi pengkisahan sejarah 40 tahun bangunan tersebut.

Tidak kena jika pameran bergambar sejarah perkembangan Muzium Negara yang memaparkan nostalgia dari peringkat pembinaan hingga kejayaan yang dicapai pada masa lalu tidak diadakan, sebab itu ia bagaikan perkara wajib yang perlu dipamerkan.

Turut diadakan ialah Pameran Kilauan Emas yang menghimpunkan koleksi barangan emas yang dimiliki oleh Muzium Negara. Oleh kerana terlibat dengan warisan budaya maka Muzium Negara mengambil kesempatan untuk melancarkan buku 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.

Kepada mereka yang sudah lama tidak melawat Muzium Negara, terdapat perubahan wajah dalamannya. Sejak dahulu ia mempunyai empat buah galeri utama yang mempamerkan pelbagai jenis koleksi istimewa warisan kebudayaan dan spesimen flora dan fauna negara.

Bagi memberi wajah baru, Galeri Wajah-Wajah Malaysia kini menjadi tarikan utama pelawat asing kerana ia menjurus kepada penonjolan koleksi Malaysiana. Dengan melawat galeri ini, pelawat-pelawat akan dapat memahami aspek-aspek kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4dIYudOzn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan