ARKIB : 01/09/2003
Oleh MOHTAR MOHAMAD
Setiap bangsa di dunia inginkan
kebebasan dalam mentadbir negara. Bangsa yang merdeka boleh melaksanakan
dasar-dasar dan matlamat yang diimpikan oleh mereka. Bagi negara-negara Islam
pula, kemerdekaan membolehkan pemimpin-pemimpin negara melaksanakan dasar-dasar
yang boleh membawa keuntungan umat Islam dengan meninggikan syiar agama,
melaksanakan program-program dakwah, menjalankan sistem pendidikan Islam dan sebagainya.
Malaysia telah mencapai
kemerdekaan semenjak 46 tahun lalu. Banyak perubahan telah dilakukan di dalam
sistem pentadbiran negara dan dasar-dasar pembangunannya. Mencapai kemerdekaan
bukanlah berakhirnya suatu perjuangan kerana usaha-usaha untuk mengekalkan
kemerdekaan adalah lebih penting dan perlu diperjuangkan dengan
bersungguh-sungguh. Sebenarnya, perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan
sesebuah negara lebih sukar daripada perjuangan menuntut kemerdekaan.
Banyak negara yang telah merdeka
gagal mengekalkan kemerdekaannya disebabkan beberapa faktor seperti tidak ada
perpaduan di kalangan rakyat, pemimpinnya tamakkan kuasa dan harta, tidak
menumpukan usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan, tidak membangunkan
prasarana-prasarana yang utama kepada rakyat seperti pendidikan, kemudahan
asas, peluang pekerjaan dan sebagainya. Akhirnya, negara menjadi huru-hara dan
sekali lagi mengundang penjajah yang terdiri daripada kuasa-kuasa besar untuk
menguasai mereka semula.
Rakyat negara Malaysia, khasnya
umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada
negara-negara berkenaan. Kemerdekaan mestilah dihargai dengan sepenuhnya oleh
seluruh rakyat. Generasi muda yang lahir selepas tarikh kemerdekaan seharusnya
menghayati kemerdekaan dengan erti kata yang sebenar. Kemerdekaan merupakan
suatu nikmat yang patut disyukuri dengan cara melaksanakan
pengisian-pengisiannya.
Perkara utama yang perlu
dipelihara ialah mengekalkan perpaduan di kalangan semua rakyat tidak kira
bangsa, agama dan keturunan. Perpaduan di Malaysia yang mempunyai penduduk
berbilang kaum perlu dititikberatkan supaya negara ini sentiasa aman dan damai.
Seluruh rakyat akan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti dengan selamat dan
ekonomi negara dapat dimajukan. Persefahaman dan semangat toleransi perlu ada
kepada semua bangsa supaya masing-masing dapat menjalankan aktiviti agama tanpa
ada perasaan benci-membenci dan permusuhan.
Islam mengajar kita supaya
memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk beribadat. Umat Islam
dilarang sama sekali mengganggu atau memusnahkan tempat ibadat agama lain atau
melakukan serangan kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
Kita perlu meningkatkan ilmu
pengetahuan sama ada ilmu dunia mahupun akhirat agar boleh menjadi bangsa yang
maju dan bertakwa. Penguasaan ilmu menjadikan sesebuah negara mencapai martabat
yang tinggi dan dihormati oleh seluruh manusia. Inilah matlamat utama
kemerdekaan yang diperjuangkan oleh semua bangsa kerana kebebasan dapat
memberikan ruang yang sangat luas untuk mengembangkan ilmu pengetahuan di dalam
berbagai-bagai bidang di sesebuah negara. Ia memerlukan perancangan yang teliti
dari pihak atasan supaya bidang-bidang tertentu diberi keutamaan sesuai dengan
peredaran zaman. Tambahan pula penguasaan ilmu dan teknologi terkini menjadi
ukuran kepada kekuatan sesebuah negara.
Islam amat menekankan budaya ilmu
dan penyelidikan kepada penganutnya supaya memperolehi manfaat untuk kehidupan
dunia dan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Melalui ilmu pengetahuan
manusia dapat mencipta bermacam-macam kemudahan seperti pengangkutan moden,
jentera-jentera pengilangan, teknologi maklumat, teknologi komunikasi dan
sebagainya. Ini boleh meningkatkan pengeluaran dan membina kekuatan ekonomi.
Seterusnya ia boleh menghapuskan kemiskinan atau merapatkan jurang perbezaan di
antara yang kaya dan yang miskin.
Mencapai tahap kemajuan yang
tinggi belum cukup untuk sesebuah negara yang merdeka jika tidak disertakan
dengan pembinaan insan yang bertakwa. Manusia yang tidak mementingkan agama
akan menjadi tamak dan rakus setelah menjadi kaya raya. Ada pula yang mengambil
jalan mudah untuk memperoleh harta dengan mengamalkan rasuah. Sikap sebeginilah
yang telah menghancurkan kerajaan Islam yang besar suatu ketika dahulu seperti
Kerajaan Abbasiah dan Sepanyol. Setelah mencapai kemajuan yang unggul,
kebanyakan pemimpin dan rakyat menjadi lalai dan leka sehingga pihak musuh
dapat mengambil kesempatan daripada kelekaan ini dan mereka dihancurkan
sehingga hanya tinggal sejarah.
Akhirnya umat Islam ketinggalan
kebelakang dan menjadi umat yang hina di mata masyarakat dunia. Inilah
akibatnya pembangunan yang tidak disertakan dengan ketakwaan kepada Allah. Kita
yang hidup pada zaman ini haruslah mengambil pengajaran daripada sejarah silam.
Kita mesti memulakan langkah untuk kembali menjadi bangsa yang disegani di
dalam negara yang telah merdeka ini. Kesempatan ini janganlah dipersia-siakan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4dO6PQsoM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan