ARKIB : 28/08/2003
Oleh Azman Ismail
(WARTAWAN UTUSAN)
``PERJUANGAN mengisi kemerdekaan
sesungguhnya lebih mencabar berbanding perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Kita
tidak dilatih oleh penjajah untuk menjadi pemimpin, ahli birokrat dan pekerja.
Kita hanya disediakan sebagai buruh di ladang-ladang.
``Untuk mengisi kemerdekaan dan membangun
negara terletak di bahu pemimpin. Jika mereka gagal, kemerdekaan itu akan
gagal''.
Demikian sebahagian ungkapan
tokoh nasionalis Indonesia, Tan Malaka dalam bukunya Materialisme, Dialektika
dan Logika (1947) yang membicarakan tentang erti kemerdekaan dan pengisiannya.
Secara umum, ungkapan ini bersesuaian dengan kejayaan pemimpin dan segenap
jentera birokrasi mengisi kemerdekaan negara, membina kembali politik, ekonomi
dan sosial negara ini.
Tanggal 31 Ogos 2003 bererti 46
tahun Malaysia mengecapi angin kebebasan daripada cengkaman kolonial. Lebih
tiga abad negara terbelenggu di bawah tekanan dan penguasaan Portugis, Belanda,
Inggeris dan Jepun.
Namun, dalam tempoh setahun
jagung kemerdekaan, Malaysia berjaya membuktikan dirinya bukanlah bayi yang
masih merangkak dalam bidang ekonomi, kestabilan politik, pembangunan sosial,
pendidikan dan bidang-bidang lain.
Sebaliknya, negara di bawah
pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak,
Allahyarham Tun Hussein Onn dan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad, muncul sebagai salah satu `harimau' ekonomi Asia bersama Korea
Selatan, Singapura dan Jepun sejak 1990.
Sebelum krisis kewangan 1997/98,
kadar pertumbuhan ekonomi negara melebih lapan peratus, mengatasi kebanyakan
negara Asia. Malah, pengamat ekonomi dunia menganggap Malaysia merupakan negara
yang paling stabil dan sangat berpotensi untuk pelaburan.
Buktinya, lebih RM2 bilion (2000)
pelaburan asing `ditanam' dalam pelbagai sektor di negara-negara ini
terutamanya bidang pembuatan, pertanian dan infrastruktur. Ia mendapat
kepercayaan daripada gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan Jepun
yang merupakan pelabur terbesar (53 peratus).
Tempoh dua tahun krisis kewangan
tersebut sememangnya memeritkan. Bagaimanapun, formula Dr. Mahathir dalam
mencari jalan keluar - sesuatu yang mengagumkan dan diakui oleh pakar-pakar
ekonomi dunia sebagai sesuatu yang luar biasa.
Padahal pada masa yang sama
beberapa negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina masih
bergelut untuk keluar daripada masalah tersebut. Akhirnya, terpaksa membuat
pinjaman daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Indonesia misalnya membuat
pinjaman hampir RM1 bilion. Begitu juga Thailand yang turut memohon untuk
mendapatkan hampir RM500 juta untuk memulihkan ekonomi masing-masing yang
terjejas teruk. Namun, pada hakikatnya kedua-dua negara masih belum sepenuhnya keluar
daripada krisis tersebut hingga ke hari ini.
Kadar pengangguran di Indonesia
masih sekitar lapan peratus dan kadar inflasi yang mencecah lebih 12 peratus
pada tahun lalu. Begitu juga Thailand yang masih berdepan dengan masalah yang
sama dengan kadar pengangguran 7.6 peratus.
Selepas lebih lima tahun krisis
tersebut, negara terus unggul dengan kestabilan ekonomi, politik dan sosial.
Malah, dengan beberapa aset seperti keindahan alam semula jadi, lebih 10 juta
pelancong mengunjungi negara ini pada 2002 dengan memberi pulangan pendapatan
sekitar RM4 bilion.
Sememangnya 46 tahun kemerdekaan
meletakkan Malaysia ke hadapan berbanding dengan `abang-abangnya' yang lebih
dahulu menghirup angin kemerdekaan di Asia Tenggara (kecuali Brunei dan
Singapura).
Dalam aspek ekonomi, pertanian
serta pembangunan, negara mungkin terlalu unggul untuk dibandingkan dengan
negara-negara sahabat yang menganggotai ASEAN.
Jika data-data CIA World Factbook
atau Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dijadikan kayu
ukur untuk melihat tingkat pembangunan dan kesejahteraan antara negara-negara
serantau, Malaysia pastinya berada di depan.
Berdasarkan data 2002, negara ini
mempunyai pendapatan per kapita kasar RM30,200 dan berada di belakang Singapura
yang mempunyai pendapatan per kapita kasar RM52,400.
Namun, tingkat kesejahteraan
negara jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Laos,
Kemboja, Myanmar mahupun Vietnam yang berjaya membebaskan diri daripada
belenggu penjajahan 10 tahun lebih awal.
Negara-negara tetangga yang juga
`abang' dalam meraih kemerdekaan seperti Filipina juga masih jauh terkebelakang
termasuk dalam bidang teknologi maklumat dan pendidikan moden (kemudahan dan
sistem pengajaran serta pembelajaran).
Apalagi jika dibandingkan dari
aspek kesihatan. Malaysia jauh lebih ke depan dalam jumlah doktor dibandingkan
dengan jumlah penduduk iaitu sekitar satu doktor untuk lebih kurang 2,500
penduduk berbanding Indonesia, Filipina, Kemboja, Laos dan Myanmar yang secara
purata mempunyai satu doktor untuk lebih 3,000 penduduk.
Secara purata, kadar kematian
ketika kelahiran per 1,000 di negara ini jauh lebih rendah jika di bandingkan
dengan Vietnam, Myanmar, Indonesia, Filipina, Laos mahupun Kemboja.
Pada tahun 2000-2002, secara
purata kadar kematian ketika kelahiran di negara ini adalah yang terendah iaitu
5.16 kematian berbanding negara-negara tersebut. Misalnya Filipina (5.95),
Thailand (7.55), Myanmar (7.11) dan Laos (9.13).
Tingkat celik huruf di negara ini
juga menunjukkan prestasi yang baik. Mungkin secara umum peratus rakyat yang
boleh membaca agak rendah iaitu 83.5 peratus berbanding dengan Indonesia (83.8
peratus), Thailand (93.8 peratus), Vietnam (93 peratus), hakikatnya sistem
pendidikan negara adalah antara yang terbaik di Asia.
Sejak pengenalan Dasar Pendidikan
Negara hampir dua dekad lalu, sistem pendidikan negara telah memperlihatkan
peningkatan. Penubuhan universiti dan kolej telah menjadi agenda kerajaan
bertujuan untuk mengurangkan penghantaran penuntut ke luar negara.
Dalam aspek pertanian dan tingkat
guna tanah, Malaysia turut mencatat prestasi yang sangat baik. Di bawah
agensi-agensi pertanian seperti Risda, Felda, Mardi dan Fama, negara merupakan
antara pengeluar produk getah dan sawit utama dunia.
Malah, bidang pertanian turut
membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100,000 pekerja asing terutamanya dalam
sektor perladangan, penternakan dan pemprosesan hasil pertanian pada tahun
2002.
Melihat perkembangan ini, banyak
yang dicapai oleh negara dalam tempoh 46 tahun mengecapi kemerdekaan. Negara
tidak hanya gah dalam pencapaian serantau, sebaliknya turut menempa nama di
peringkat antarabangsa.
Dr. Mahathir misalnya turut
diberi kepercayaan untuk menjadi wakil bagi negara-negara membangun, Pergerakan
Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan juga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pada persidangan negara-negara G8
di Evian, Perancis, beliau diundang sebagai wakil negara-negara membangun
dengan mengutarakan seluruh gagasan, aspirasi dan perjuangan mereka.
Sesungguhnya, usia kemerdekaan
yang terlalu muda tidak menjadi batu penghalang kepada cita-cita negara untuk
mengisi segenap nadi kemerdekaan dengan 1,001 kejayaan dan pencapaian.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4dINixGIR©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan