Rabu, 5 April 2017

Selepas 46 tahun, kita sudah menjadi negara yang memberi bantuan -- Tidak perlu lagi merendah diri



ARKIB : 31/08/2003 
Oleh ZAINI MOHD. SAID 
KETIKA bendera Inggeris diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan sebagai ganti pada tengah malam 30 Ogos tahun 1957, saya baru berumur 11 tahun. Bapa seorang anggota polis. Kami enam beradik bersama ibu tinggal di kuarters dalam bangunan batu bata dua tingkat di Polis Depot, (sekarang Pulapol), Gurney Road (Jalan Semarak). Setiap kuarters mempunyai satu bilik duduk dan bilik tidur kecil. Bilik dapurnya sempit, tetapi mempunyai paip air, sinki dan dua tungku dapur simen jika hendak memasak menggunakan kayu api.

Bangunan kuarters ini berlampu elektrik dan setiap keluarga mempunyai bilik mandi dan tandasnya sendiri. Ini lebih baik berbanding kuarters rumah panjang atau lebih dikenali sebagai berek papan, yang pernah kami diami buat beberapa tahun sebelum itu yang hanya berbilik satu tanpa ruang legar. Bilik mandinya pula dalam satu bangunan untuk kegunaan bersama beberapa keluarga yang lain. Dua paip air bagi kegunaan memasak dan minum untuk semua terletak di antara bangunan bilik tinggal dan bangunan dapur yang berasingan.

Kuarters bangunan batu memanglah lebih baru dan baik. Namun begitu, suasana dan keadaan kehidupan sebelum merdeka sentiasa dirasakan susah dan sempit. Terasa sangat nasib diri malah bangsa sendiri berada dalam tangan orang lain. Bapa pada waktu itu masih berpangkat rendah, gagah dan kacak orangnya, tetapi bergaji kecil. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh beliau untuk menyara hidup termasuklah berkebun dan membela ayam di luar pagar. Tetapi tidak juga mencukupi. Sungguhpun demikian bapa dan ibu tidak pernah berputus asa malah menerima segala-galanya dengan penuh sabar sebagai pemberian Ilahi. Kadang-kadang kami berserta kawan-kawan lain, terpaksa juga menjaja kuih dan teh panas pada waktu malam di berek bujang dan anggota retraining untuk mendapat belanja tambahan.

Sebagai budak kecil, saya memang tidak memahami akan keperitan dan kesukaran yang dihadapi oleh kedua-dua orang tua untuk membesarkan kami. Hanya yang diketahui adalah kesusahan dan kekurangan yang dialami oleh diri sendiri sahaja. Satu pengalaman yang tidak disukai hingga kerap membuat diri berasa hiba dan marah sambil sentiasa memimpikan keadaan hidup yang lebih senang dan selesa lagi.

Pada malam hari itu, saya dan beberapa kawan sebaya menaiki bukit berhampiran bangunan kuarters yang di atasnya ada tangki besar simpanan air dan kini juga tugu peringatan polis. Kami ingin melihat pertunjukan bunga api yang dikatakan akan ditembak di atas kawasan Lake Gardens beberapa batu dari situ. Beberapa orang dewasa turut naik bersama. Kehadiran mereka amat melegakan kerana kami sentiasa menganggap tempat itu berhantu.

Agaknya, tepat pada tengah malam, ternampaklah beberapa pancaran dan percikan seperti bunga api di kaki langit jauh ke arah kawasan Lake Gardens. Bagaimanapun apa yang dapat dilihat hanya sekejap. Ini telah membuat kami berasa hampa, kerana mengharapkan dapat melihat satu pertunjukan yang lebih menarik. Pemandangan bandar Kuala Lumpur pada waktu malam dari atas bukit itu pun tidaklah seberapa, menambahkan lagi kepada perasaan hambar di hati. Tiada banyak yang boleh dilihat kawasan ibu negara pada masa itu kerana diselubungi kegelapan malam dan dilindungi oleh banyak kawasan yang berpokok. Malah kawasan yang kini Taman Tasik Titiwangsa dan padang golf PDRM masih kawasan bekas lombong-lombong bijih dan berbelukar. Hanya jauh di sana sini terlihatlah kerlipan malap beberapa lampu jalan raya dan bangunan-bangunan yang rendah sahaja.

Biar apa pun, kami tetap pulang ke kuarters masing-masing dalam keadaan gembira. Sebelum malam itu kami memang heboh memperkatakan Malaya akan merdeka. Kata-kata dan celoteh kanak-kanak mentah yang kurang berpengetahuan dan berpengalaman, membuatkan perbualan kami lebih banyak disulami dengan gurauan dan jenaka nakal apa ertinya kemerdekaan itu. Seorang dua ada juga menyuarakan keraguan akan kebolehan kita untuk benar-benar merdeka dan berdikari.

``Bolehkah kita memerintah dan memajukan diri sedangkan membikin basikal dan mesin jahit pun kita belum mengerti,'' kata mereka. Tetapi segala perasaan ragu ini akhirnya ditenggelami juga oleh rasa seronok di hati kerana tuan orang putih akan balik negeri dan anak Melayu akan menjadi Perdana Menteri.

Kami juga ghairah memperkatakan nasib orang putih yang akan balik itu. Persekutuan Tanah Melayu akan menjadi hak kita. Kita akan menjadi raja dalam negara sendiri dan mengambil balik semua kekayaan yang ada di dalam tangan mereka untuk dibahagikan kepada rakyat sendiri. Oleh itu sudah semestinya kita akan hidup lebih senang, menjadi mewah dan bebas dari cengkaman penjajah yang menyakitkan. Kami berjenaka dan mentertawakan mereka yang akan pulang. Tentunya tidak ada kerja yang menanti dan ada yang terpaksa menjadi pemandu teksi. Ada juga yang melepaskan kata bahawa mungkin kita pula yang menjadi tuan kepada mereka yang masih tinggal di sini.

Begitulah kami mengarut tanpa mengerti dan memahami apa yang akan ditempuhi pada hari-hari kemudiannya. Sungguh berharapan dan berangan-angan tinggi dan sangat percaya yang kesenangan dan kemewahan akan melimpahi hidup kami. Oleh kerana cakap-cakap dan angan-angan yang begitu meninggi, tersentaklah perasaan di hati apabila beberapa tahun selepas itu, kesenangan dan kemewahan yang diharapkan tidak juga kunjung tiba.

Kehidupan harian berterusan dirasakan susah dan sempit juga. Saya tetap berpenat berjalan kaki jauh dan berebut untuk menaiki bas ke sekolah primary di Batu Road dan kemudiannya ke sekolah menengah di High Street (Jalan Bandar). Apabila lalu di hadapan pasar raya Robinsons di Mountbatten Road, sekarang Jalan Tun Perak, masih juga dilihat ramai berkulit putih dan yang tidak berapa putih, membeli-belah. Mereka nampak mewah dan senang sedangkan saya, sungguhpun sudah bersekolah menengah, kadang-kadang terpaksa juga mengecilkan badan sendiri semasa di dalam bas, berpura-pura sebagai budak sekolah rendah supaya membayar tambang 10 sen dan tidak 20 sen kerana telah melebihi umur 12 tahun. Ada ketika-ketikanya saya dikasihani dan dibenarkan berbuat demikian. Tetapi apabila bus inspector naik untuk memeriksa tiket, saya akan cepat-cepat turun dan berjalan kaki pulang kerana takut dimarahi.

Melalui radio terpakai yang dibeli oleh bapa, saya terdengar juga berita kejadian-kejadian anggota pasukan keselamatan terkorban bertempur dengan pengganas komunis di sana sini. Banyak kawasan dikatakan masih kawasan hitam sungguhpun sekali-sekala terdengar juga berita ada kawasan yang diisytiharkan putih. Hanya pada kemudiannya baru saya mengerti apakah maksud hitam dan putih itu. Kami memang membesar dalam keadaan negara sudah merdeka tetapi menyedari wujudnya ancaman pengganas bersenjata Parti Komunis Malaya dalam kawasan yang belum diputihkan. Hanya apabila menaiki bas dari Semenyih untuk pulang ke kampung di Lenggeng semasa cuti sekolah, saya tidak lagi menempuh dan diperiksa di check point oleh askar orang putih dan polis di Beroga dan Beranang seperti semasa anak kecil dahulu. Namun demikian, perasaan takut telah tertanam di dalam ingatan, membuatkan diri cemas setiap kali menghadapi apa sahaja sekatan jalan raya hingga ke hari ini.

Pengalaman hidup dan membesar di Kuala Lumpur hanya dirasakan seronok mulai awal tahun 1960-an. Pembentukan Malaysia pada 1963 betul-betul membuat hati berasa bangga dan gembira kerana kita menjadi satu masyarakat dan negara yang lebih besar dan merdeka. Selepas itu dan setelah melihat kemajuan yang diperoleh masyarakat dan negara, barulah diketahui bahawa kemajuan dan pembangunan buat diri, keluarga dan negara, sudah semestinya perjuangan yang amat perit, mencabar dan memerlukan masa untuk menjadi kenyataan. Perjuangan yang berterusan dan mereka yang mempunyai visi, ketekunan dan keberanian sahaja dapat melaluinya dan mengecap kejayaan. Tidak ada jalan mudah dan cepat untuk sampai ke mana-mana destinasi sekalipun.

Kesemuanya menjadi lebih jelas apabila saya berkhidmat lama di dalam angkatan tentera. Kesedaran dan penemuan yang sama pasti diperoleh oleh mereka yang berjuang di dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan angan-angan dan cita-cita yang mungkin telah dicoretkan semasa kecil lagi. Rupa-rupanya, dengan cara yang betul, semua yang dikatakan mengarut dan khayalan itu memang boleh diusahakan hingga menjadi kenyataan. Segala kesusahan, kekurangan dan keperitan yang dialami bukanlah kezaliman takdir tetapi sebenarnya jalan pembelajaran yang unik dan amat berharga buat pembentukan diri dan kesemuanya sekali. Ilmu pengetahuan dan pengalaman adalah kunci buat segala-galanya.

Kini kita tidak perlu lagi menaiki bukit tinggi untuk melihat pancaran bunga api. Kita boleh melihatnya, malah lebih dari itu pun, pada sebilang masa, jika kita mengingininya. Sementara itu bandar raya Kuala Lumpur pada waktu siang dan malam tidak seperti dahulu lagi. Kini ibu negara terus membangun dan maju hari demi hari. Begitu pesat kemajuannya hingga berbagai-bagai tempat, peristiwa dan cara dahulu telah banyak berubah atau berganti. Seperti pengalaman berjalan kaki ke sekolah melalui berbagai-bagai lorong kecil, mencelah rumah-rumah orang, menghidu berbagai-bagai bau dan mengalami pelbagai emosi. Seperti mengenang keadaan berek papan atau batu, banyak yang tiada lagi. Seperti merenungkan gunung, lurah dan hutan yang dirempuh semasa memburu pengganas komunis dahulu, kini sudah tidak sunyi dan berbahaya lagi. Landskap negara tidak hanya hitam dan putih tetapi sudah berwarna-warni.

Kita tidak patut mengharapkan belas ihsan sesiapa pun lagi. Tidak perlu untuk melayani perasaan sempit, takut dan terlalu merendah diri. Memang tidak semua orang mendapat kemewahan dan bersenang hati, tetapi peluang dan kesempatan untuk memajukan diri sebesar lautan luasnya dan memang berada di sisi. Mereka yang mengambilnya akan maju dan bergaya dan mereka yang tidak, akan rugi. Berusaha sedikit sudah cukup untuk menyara diri. Berusaha banyak, ke langitlah sampainya nanti. Begitu menakjubkan Malaysia hingga berduyun-duyun yang datang mengunjung, melawat, mempelajari dan mencari rezeki. Malahan kita sudah pun menjadi negara yang memberi bantuan.

Semuanya bermula dengan menaikkan satu bendera dan satu semangat merdeka pada satu detik tanda bermulanya satu hari bertanggal 31 Ogos 1957, empat puluh enam tahun dahulu. Kita bersyukur kerana dapat menjadi saksi kepada keseluruhan perjalanan kemerdekaan mulai tarikh itu hingga ke hari ini. Kita berterima kasih kepada mereka yang telah berkorban untuk membolehkan cakap-cakap karut dan khayalan budak-budak kecil dahulu menjadi realiti. Berbangga kita mendapat pelajaran bahawa apa sahaja boleh diperoleh jika benar-benar kita menghendaki. Terima kasih Malaysia dan bersatu kita bertambah maju lagi. Merdeka!

- LT. JENERAL (B) DATUK SERI panglima ZAINI MOHD. SAID ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4dO1nHicO
© Utusan Melayu (M) Bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan