Selasa, 25 April 2017

Kentalnya patriotisme - Bersabung nyawa menentang komunis

ARKIB : 01/09/2004

KEMERDEKAAN membawa seribu satu makna kepada setiap insan. Ada yang menyifatkan ia sebagai berakhirnya episod penjajahan dan penghinaan kepada bangsa.
Ada juga yang menyifatkan sebagai saat pembebasan kepada apa yang telah membelenggu kehidupan mereka sebelum ini.
Bagi mereka yang cetek semangat dan pengetahuan, kemerdekaan hanyalah satu hari bercuti dan berehat, sama seperti hari cuti lain.
Itu antara makna yang diketahui umum tentang kemerdekaan.
Namun bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam memastikan saat yang diraikan itu menjadi kenyataan, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan semata-mata.
Makna yang tersirat di sebalik kemerdekaan itu terlalu besar dan bermakna.
Kemerdekaan bagi mereka adalah satu pengorbanan dan maruah bangsa. Kerana merdeka, nyawa sanggup dipertaruhkan. Kerana merdeka keluarga dan harta sanggup ditinggalkan.
Oleh itu, tidak menghairankan bagi mereka yang menyaksikan keperitan memperjuangkan kemerdekaan, makna hari keramat itu cukup besar dan bermakna buat mereka.
Bagi bekas anggota tentera, Lans Koperal Mohd. Isman Jumingan, 55, Hari Kemerdekaan akan mengingatkan beliau kepada satu peristiwa yang hampir meragut nyawanya.
Peristiwa yang berlaku pada 27 Julai 1969 di sebuah kawasan berhampiran Sungai Badak dalam wilayah Sintok, meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
Peristiwa
``Selagi parut di perut ini masih kelihatan, selagi itulah keperitan dalam memerdekakan tanah air daripada ancaman pengganas komunis tidak akan luput dari ingatan,'' tegasnya ketika ditemui di kediamannya di Padang Balang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau mempunyai alasan tersendiri untuk berasa marah dan geram terhadap insiden itu.
Selain dirinya cedera, beliau juga kehilangan enam rakan sepasukan yang gugur ketika dalam serang hendap itu.
Menyorot kembali peristiwa itu, Mohd. Isman berkata, kejadian berlaku semasa beliau berkhidmat dengan Batalion Ke-4, Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).
Beliau bersama tujuh anggota yang diketuai oleh Koperal Ahmad Hussain (Allahyarham) dari Kompeni A ditugaskan membuat rondaan menjejaki pengganas komunis di kawasan lombong bijih Sungai Badak, Sintok, Kedah.
``Kami yang bertugas di Bukit Kayu Hitam ketika itu telah diarah menyusuri gerak pengganas pada kira-kira pukul 7 pagi di hutan Sintok selepas mendapat laporan seorang wanita Cina mati dibunuh,'' kata Mohd. Isman.
Kira-kira pukul 2 petang, pasukan itu bergerak kembali ke markas sementara yang terletak tidak jauh dari perkampungan Sungai Badak.
Merasai ada sesuatu yang tidak kena, ketua platun, Ahmad Husin mengarahkan mereka bergerak dalam posisi berjaga-jaga dan menjarakkan kedudukan di antara satu sama lain.
Setibanya di jambatan yang merintangi Sungai Badak, suasana menjadi senyap secara tiba-tiba.
Sebaik dua anggota (Allahyarham Prebet Khalid dan Mohd. Isman) melintasi jambatan itu, satu das tembakan kedengaran memecah kedamaian petang itu.
Ia kemudiannya disusuli tembakan bertalu-talu dari arah depan dan belakang tebing bukit termasuk di seberang sungai.
Menurut Mohd. Isman, tembakan pertama mengena Khalid.
``Saya melihat Khalid jatuh sambil cuba membalas tembakan. Pada masa sama kami juga cuba membalas tembakan itu. Tetapi tembakan dari atas bukit itu terlalu banyak dan semuanya berlaku dengan pantas,'' ceritanya.
Menurut Mohd. Isman, tidak lama selepas melihat Khalid jatuh, satu das tembakan terasa menembusi perut sebelah kirinya.
Terbujur
``Terasa pedih yang amat sekali. Tembakan itu juga menyebabkan saya terpelanting ke belakang. Oleh kerana saya berada di tepi tebing sungai maka saya terus terjatuh dalam sungai.
``Selepas itu saya tidak nampak apa yang berlaku di atas jambatan. Saya berselindung di tebing sungai sepanjang malam sebelum keluar pada keesokan paginya.
``Apabila saya keluar dan merangkak naik semula ke atas tebing saya melihat empat mayat terbujur atas jalan.
``Dua rakan lain yang masih hidup cuba untuk mengalihkan mayat tersebut namun sebaik sahaja mayat itu diangkat satu letupan kuat berlaku sehingga mengorbankan kedua-duanya,'' cerita Mohd. Isman lagi.
Pasukan bantuan sampai pada pukul 12 tengah hari dan Mohd. Isman kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau kembali ke Kem Majidee, Johor Bahru apabila unit 4 RAMD yang ditugaskan di utara Semenanjung diarah kembali ke markas pusat batalion berkenaan di Johor.
Perasaan Mohd. Isman bertambah terharu apabila beliau berkesempatan melawat semula ke Sungai Badak baru-baru ini, tempat beliau dan rakannya diserang hendap oleh pengganas komunis.
Lawatan itu dianjurkan sempena sambutan Hari Patriotik Universiti Utara Malaysia.
Sementara itu seorang lagi bekas anggota tentera, Pegawai Waran II, S. Rajagopal mempunyai pengalaman tersendiri dalam menyahut seruan menentang ancaman pengganas komunis.
Beliau tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila kehilangan beberapa rakan dalam pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja 8.
Ini termasuklah dua sahabat karib yang bertindak sebagai `buddy' beliau dalam operasi itu.
``Kematian berpuluh-puluh pengganas komunis hanya perkara `kecil' jika dibandingkan dengan kehilangan walaupun seorang anggota tentera,'' ujarnya.
Mejar (B) Kamaruddin Mohd. Jamal pula pernah menyaksikan seorang anggota menghembus nafas terakhir ketika dalam pangkuannya.
Kejadian di hutan Pradin, Pontian, Johor itu berlaku selepas platun yang diketuai Kamaruddin diserang hendap Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1964-1966.

Laungan merdeka diiringi air mata

ARKIB : 01/09/2004
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menerima replika kunci dari pejuang-pejuang kemerdekaan di majlis Perayaan Bulan Kemerdekaan dan Mengibar Jalur Gemilang di Padang Ipoh, Perak baru-baru ini.



LAUNGAN kemerdekaan di Padang Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta menaburkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih terngiang-ngiang di ingatan seorang guru Sekolah Melayu di Melaka.
Guru berkenaan, Datuk Wira Borhan Md. Yaman yang kini berusia 75 tahun berkata, peristiwa kaum ibu melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang menaburkan wang di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun 1954 begitu menyayatkan hati beliau.
Katanya, semua itu dilakukan kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan kepada pemimpin mereka iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, mereka bergantung harap agar mesej tersebut dibawa ke London.
``Peristiwa itu berlaku ketika Tunku Abdul Rahman datang ke Melaka untuk menghadiri mesyuarat tergempar UMNO Malaya bagi memaklumkan kegagalan rundingannya dengan Inggeris bagi mendapatkan persetujuan agar diadakan pilihan raya pada tahun 1955,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di Kelebang, Melaka baru-baru ini.
Menurutnya, pilihan raya itu perlu diadakan bagi menunjukkan kepada Inggeris bahawa rakyat negara ini mampu mentadbir sendiri negara mereka dan Tunku Abdul Rahman memerlukan mandat daripada rakyat untuk menyatakan pendirian itu kepada Inggeris.
Tambahnya, Tunku Abdul Rahman juga memberitahu ketika berada di London sebelum itu, beliau dan rakan-rakan seperjuangan tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada Inggeris.
Bagaimanapun Tunku Abdul Rahman dan pemimpin UMNO lain tetap bertekad untuk mendapatkan persetujuan Inggeris bagi mengadakan pilihan raya kerana hanya dengan cara itu tuntutan kemerdekaan dapat diperkukuhkan lagi, ujarnya.
Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu juga menyatakan bahawa mereka amat memerlukan bantuan daripada seluruh rakyat kerana mereka juga kekurangan wang untuk pergi ke London bagi berbincang dengan Inggeris tentang penubuhan kerajaan sendiri.
``Jika seseorang pemimpin itu bercakap dengan hati yang ikhlas, ia akan disambut dengan hati juga,'' katanya bagi menggambarkan keinsafan rakyat terhadap keikhlasan perjuangan pemimpin mereka ketika itu.
Katanya, terdapat kira-kira 300 orang di dalam Dewan Meng Seng termasuk para pemimpin UMNO negeri-negeri lain serta orang ramai yang memerhati dari tingkat dua dewan tersebut dan apabila mendengar ucapan Tunku Abdul Rahman, rata-ratanya berasa sedih dan terhina kerana pemimpin mereka tidak mendapat layanan daripada Inggeris.
Ketika itu juga katanya, secara spontan bendera UMNO telah dihamparkan di tengah-tengah dewan dan orang ramai mula menaburkan wang dan sesetengahnya pula melucutkan barang kemas mereka untuk membantu menampung perjalanan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misinya mendapatkan pilihan raya dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan negara.
Borhan yang ketika itu menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Melaka berkata, usaha mengumpulkan dana bagi membantu misi kemerdekaan terus berjalan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan di seluruh pelosok negeri.
Menurutnya, beliau dan rakan-rakan menjalankan kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian termasuk pada pertunjukan bangsawan.
``Derma Merdeka mendapat sokongan rakyat. Orang kampung dan yang miskin juga menderma dengan memberi padi, buah pisang, buah-buahan, pakaian dan ada penoreh getah yang memberi sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi mengisi tabung itu,'' katanya.
Borhan memberitahu, semangat mahukan merdeka begitu membuak-buak di kalangan orang Melayu bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana mereka hidup dalam serba kekurangan dan dicengkam kemiskinan serta menerima tekanan daripada penjajah.
``Usaha membangkitkan semangat orang Melayu di Melaka agar berjuang menuntut kemerdekaan juga bukanlah mudah kerana kebanyakan mereka masih mempunyai rasa rendah diri yang menebal ekoran negeri mereka yang pernah dijajah lebih empat abad,'' katanya.
Beliau memberitahu, usaha berterusan pemimpin Melayu telah berjaya membuka fikiran orang ramai ketika itu tentang erti kemerdekaan dan perlunya mereka bebas daripada penjajahan.
Katanya, kemerdekaan India, Filipina dan Indonesia sering dijadikan contoh dalam membakar semangat kemerdekaan di kalangan orang Melayu agar mereka bersama-sama bangun menuntut kemerdekaan.
Tunku Abdul Rahman akhirnya berjaya juga mendapatkan persetujuan Inggeris untuk mengadakan pilihan raya pada 27 Julai 1955 dan hasilnya parti Perikatan pimpinan beliau menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Kemenangan itu membolehkan Tunku Abdul Rahman dan para pemimpin yang lain memperjuangkan pula kemerdekaan negara secara lebih tersusun dan melalui `Rombongan Kemerdekaan' yang berunding dengan Inggeris pada Januari 1956, kemerdekaan tercapai juga akhirnya.
Sekembali dari London, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah singgah di Melaka pada 20 Februari 1956 untuk menyatakan bahawa Inggeris bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
``Kira-kira 100,000 orang dari seluruh negara termasuk yang datang dari Singapura berkumpul di Padang Pahlawan untuk mendengar perisytiharan kemerdekaan daripada Tunku Abdul Rahman,'' katanya yang ketika itu menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dan terlibat dalam menyambut Rombongan Kemerdekaan itu.
Sebaik sahaja mendengar perisytiharan daripada Tunku Abdul Rahman itu, rakyat menangis dan menyorak kegembiraan sambil melaungkan jeritan merdeka.
Beliau memberitahu, Tunku Abdul Rahman sering kali memilih Melaka untuk mengadakan acara-acara yang besar kerana Melaka dikaitkan dengan kegemilangan bangsa Melayu dan juga kepahlawanan Hang Tuah dan rakan-rakannya.
``Mereka mahukan acara-acara bersejarah dilakukan di tempat jatuhnya zaman kegemilangan Melayu agar empayar Melayu dapat dibangunkan semula,'' katanya.

Kemerdekaan - Hadiah pejuang dulu

ARKIB : 01/09/2004

TANPA kemerdekaan karyawan filem hari ini tidak mungkin dapat berkarya dengan baik. Filem-filem berunsur sejarah seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Paloh dan Embun tentu tidak akan dapat kita tonton. Kala pun dibenarkan pembikinannya, tentu sekali ia akan ditapis oleh penjajah negara.
Malah golongan pelakon dan penyanyi hari ini pun tidak mungkin bebas berkarya dan menikmati hasil semewah hari ini.
Kalau dulu jika mahu buat filem mengenai perjuangan siang-siang sudah ditapis oleh penjajah. Jika ditayangkan pun filem itu ia mempunyai unsur-unsur pemerintahan ala penjajah. Jangan mimpi dapat melahirkan sebuah filem perjuangan seperti Bukit Kepong atau apa saja yang memperlihatkan perjuangan orang Melayu menentang penjajah.
Hari ini 31 Ogos, setelah 47 tahun mengecap kemerdekaan, bukan sahaja kita dapat hidup dengan aman makmur dan tenang malah para karyawan dapat melahirkan filem-filem perjuangan yang memaparkan keperitan para pejuang dalam menuntut kemerdekaan.
Benarlah kata pepatah Melayu kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya, begitulah perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan yang mana hasilnya dapat dinikmati bersama hingga ke hari ini.
Seniman
Bagi seniman veteran, Datuk Jins Samsuddin setiap tahun datangnya 31 Ogos ia bukan sahaja menyentuh hatinya mengingatkan segala peristiwa lalu malah ia juga membuatkan beliau bangga kerana menjadi karyawan filem Malaysia yang bebas berkarya tanpa disekat.
``Kalau dulu nak buat filem mengenai perjuangan, jangan mimpi kita akan dapat laksanakan. Awal-awal lagi pihak penjajah sudah tapis maka jadilah filem perjuangan beracuankan mereka.
``Tetapi hari ini saya bersyukur hidup di sebuah negara yang merdeka dan makmur hingga dapat melahirkan filem-filem bermutu mengenai perjuangan kita dalam menuntut kemerdekaan,'' kata Jins yang pernah mengarahkan filem Bukit Kepong dan menjadi salah satu koleksi filem sejarah negara ini.
Menurut Jins, sebagai karyawan filem mereka bukan sahaja boleh melahirkan filem-filem berunsur sejarah malah penglibatan para karyawan filem dalam menyedarkan dan memberi penjelasan mengenai kemerdekaan kepada remaja juga amat penting.
Beliau yang begitu sibuk sepanjang bulan kemerdekaan dengan memberi ceramah kepada 20 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur berkata:
``Banyak cara boleh dilakukan oleh seniman untuk mengingati hari kemerdekaan. Salah satu daripadanya dengan memberi ceramah kepada anak-anak muda dan para pelajar melalui perjumpaan dan pertemuan di bulan patriotik.
``Sepanjang bulan patriotik saya memberi ceramah kepada 20 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur mengenai kemerdekaan dan apa ertinya serta bagaimana mengisi kemerdekaan.
``Bukan itu sahaja melalui ceramah itu saya mengajak mereka sama-sama menghayati kemerdekaan kerana mereka semua lahir selepas merdeka.
``Saya harap dengan mendengar ceramah itu mereka akan mengerti kemerdekaan di samping membaca buku serta bahan-bahan yang sedia ada di Arkib Negara, Filem Negara Malaysia, RTM dan Perpustakaan Negara.
``Bagi saya memberi penjelasan kepada remaja betapa pentingnya kemerdekaan itu amatlah penting kerana disebabkan kemerdekaan itulah kita dapat hidup aman makmur dan mewah. Tanpa kemerdekaan kita bukan sahaja akan menjadi masyarakat yang tidak berjaya malah tidak ada kemuliaan,'' katanya.
Menurut beliau, sebagai seniman yang pernah melalui kehidupan di zaman-zaman pemerintahan British, Bintang Tiga dan Jepun, kemerdekaan yang dicapai negara sejak 31 Ogos 1957 hingga hari ini begitu bermakna bagi dirinya.
Jins salah seorang pengasas UMNO di London ketika belajar di sana pada tahun 1971 berkata;
``Bagi saya kemerdekaan yang kita capai adalah sebuah hadiah terbaik daripada para pejuang di masa lalu. Generasi hari ini harus mempunyai jati diri dan berbangga kerana dapat menduduki sebuah negara merdeka,'' kata Jins yang merupakan AJK UMNO bahagian Bukti Gantang.
Bagi Norman KRU, sebagai artis mereka harus memainkan peranan dengan meguar-uarkan mesej-mesej kerajaan kepada rakyat.
Bukan itu sahaja malah pada waktu yang sama artis harus memberi inspirasi kepada rakyat untuk memahami erti kemerdekaan dan memajukan diri untuk menaikkan nama negara di mata dunia.
Akhbar
``Walaupun peranan kami dianggap kecil tetapi bagi saya mesej yang kita sampaikan melalui program hiburan dan persembahan tv serta di akhbar-akhbar memainkan peranan yang besar kepada masyarakat.
``Bagi artis yang cukup prihatin dengan aspirasi negara kita boleh membantu dengan menerapkan nilai-nilai yang murni dan patriotik di jiwa masyarakat.
``Kita harus faham orang dewasa cukup prihatin apa yang negara kita lalui dan bersyukur dengan kejayaan kita nikmati. Sementara golongan muda pula dalam menghayati kemerdekaan kita perlu faham makna kemerdekaan sebenarnya.
``Saya sendiri tidak tahu bagaimana susah payahnya untuk mencapai kemerdekaan tetapi apa yang ingin saya lakukan mengisi kemerdekaan itu dengan memajukan diri, masyarakat dan negara.
``Tidak guna merdeka kalau ekonomi kita masih dijajah,'' kata Norman KRU.
Bagi Datuk Yusof Haslam pula, sebagai artis mereka harus memperjuangkan karier sendiri yang dinikmati hasil daripada kemerdekaan.
``Di samping itu mereka juga harus memainkan peranan menonjolkan sesuatu yang positif sama ada dalam lagu atau filem untuk membawa masyarakat ke arah hidup yang lebih bermakna.
``Apa gunanya negara merdeka kalau kita terkongkong dengan benda-benda yang tidak elok,'' kata Yusof Haslam.

Usia 47 tahun - Kian matang dan dicemburui

ARKIB : 01/09/2004
Abdullah Ahmad Badawi (tengah) dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengibarkan bendera pada majlis Perhimpunan Patriotik Pemimpin Pelajar di Melaka.



PADA 31 Ogos 2004, genaplah 47 tahun usia kemerdekaan negara tercinta, Malaysia dan seperti mana amalan terdahulu setiap kali tiba hari bersejarah itu, bergemalah laungan `merdeka' dan semangat rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.
Jika direnungi, rakyat Malaysia sebenarnya terlalu bertuah kerana sambutan hari kemerdekaan saban tahun, tidak diwarnai dengan suasana menakutkan seperti yang berlaku di banyak negara luar.
Pada ketika bunyi bunga api sahut-sahutan dan memercikkan cahaya indah mewarnai detik ketibaan 31 Ogos, rakyat Iraq dan sesetengah negara lain mungkin hidup dalam ketakutan dengan bunyi letupan dari senjata pemusnah termasuk yang dilepaskan oleh pesawat tentera penjajah besar dunia iaitu Amerika Syarikat.
Apa yang menarik, sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana perayaan ini adalah yang pertama membabitkan Abdullah selaku Perdana Menteri.
Ekonomi
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih teraju kepimpinan negara pada Oktober tahun lalu telah meneruskan kecemerlangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam meletakkan ekonomi negara pada tahap membanggakan.
Walaupun belum sampai setahun menerajui tampuk pemerintahan, Abdullah terbukti berjaya membawa rakyat menempuh cabaran-cabaran besar seperti dalam menangani pasang surut ekonomi dunia, peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa dan pilihan raya umum pada Mac lalu.
Perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini mencatatkan pertumbuhan lapan peratus iaitu meningkat berbanding 7.6 peratus pada suku pertama dan Abdullah sendiri melahirkan keyakinan bahawa prestasi ekonomi negara akan bertambah baik pada suku tahun ketiga dan keempat kelak.
Namun begitu, semua cerita kejayaan dan kecemerlangan negara itu tidak wajar meletakkan rakyat dalam kelegaan dan keseronokkan kerana cabaran-cabaran mendatang sukar diramalkan.
Bagi orang Melayu yang mewakili kaum pribumi terbesar di negara ini, misalnya, adakah mereka sudah berpuas hati dengan tahap pencapaian mereka ketika usia kemerdekaan negara telah mence-cah 47 tahun kini?
Adakah orang Melayu sudah merdeka dalam erti kata dapat mengimbangi kehebatan kaum lain khususnya dalam bidang perniagaan sama ada di bandar raya, bandar dan pekan?
Sekiranya orang Melayu berbangga kerana muncul banyak syarikat korporat dan ketua pegawai eksekutif di kalangan mereka sekarang, tetapi kemerdekaan sebenar terletak kepada berapa banyak premis kedai milik Melayu mewarnai bandar dan pekan.
Sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini dan pada tahun-tahun seterusnya, perlu dijadikan `titik tanda' kepada semua kaum untuk merapatkan jurang sesama mereka agar tidak ada kaum yang terlalu terpinggir dan ada kaum pula yang terlalu dominan.
Sesuatu yang menarik pada sikap rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah slogan `Malaysia Boleh' sudah semakin meluas dihayati oleh rakyat dari segenap lapisan, usia dan kaum.
Banyak pihak seolah-olah mahu muncul sebagai rakyat cemerlang melalui pembabitan mereka dalam pelbagai kegiatan mencabar seperti berenang merentasi Laut Inggeris, mendaki Gunung Everest, menjelajah benua salji di Antartika, tinggal berminggu-minggu bersama ribuan jengking dan banyak lagi. Semua itu dilakukan untuk mengangkat imej negara tercinta.
Di sektor swasta, banyak korporat tempatan berjaya mengangkat imej negara dengan berusaha bersaing dan menembusi pasaran dunia seperti mana yang berjaya dibuktikan oleh Petronas - yang baru-baru ini berjaya memasuki pasaran gas di Britain.
Industri kereta nasional Proton semakin berkembang dan kereta kebanggaan negara itu kini semakin mendapat kedudukan di banyak lagi negara luar.
Sektor pertanian turut mendapat kedudukan penting pada era sekarang dalam usaha kerajaan mengangkat martabat para petani, nelayan, peneroka dan pekebun kecil ke tahap yang lebih baik setelah golongan itu sudah begitu lama dikaitkan dengan masalah kemiskinan.
Apa yang membanggakan, kerajaan telah memilih pertanian sebagai unsur penting dalam sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini selain mengekalkan slogan keramat ``Keranamu Malaysia.''
Dengan sebegitu banyak pencapaian yang dirintis oleh negara dan rakyat selama ini, marilah kita tanpa mengira kaum, agama dan budaya sama-sama mendekatkan barisan dan bersatu di bawah prinsip `satu negara, satu bangsa.'
Jika prinsip itu dihayati, negara tercinta ini akan terus menjanjikan kemakmuran dan keamanan kepada kita semua serta Malaysia terus diberkati oleh Yang Maha Esa. Selamat Hari Kebangsaan.

Raptai Hari Kemerdekaan bangkit keceriaan Kuantan

ARKIB : 30/08/2004
KUANTAN 29 Ogos - Dengan hanya tinggal dua hari negara akan menyambut Hari Kebangsaan ke-47, suasana di Padang Kamunting di sini sudah bertukar rupa menjadi lebih ceria dan berwarna warni dengan kehadiran kira-kira 20,000 peserta dari 73 kontinjen mengadakan raptai terakhir sebelum perarakan sebenar berlangsung Selasa ini.
Kawasan berkenaan sudah mula sesak seawal pukul 7 pagi ini, masing-masing peserta dengan wajah ceria dan bersemangat untuk menyambut kehadiran Hari Kebangsaan, yang julung-julung kalinya diadakan di Pahang.
Rakyat Pahang yang turut berkumpul ramai untuk menyaksikan raptai hari ini, jelas nampak bersemangat dan berbesar hati kerana menjadi tuan rumah kepada satu acara tahunan yang amat bermakna buat negara.
Seorang peniaga yang ditemui dekat padang berkenaan, Mohd. Rustam Abu, 43, memberitahu Bernama, semangat seperti ini dirasai hampir semua penduduk Kuantan apabila bandar ini terpilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
``Mungkin sebab dekat, jadi rasa cintakan tanah air itu naik. Selama ini duduk tengok (sambutan) di televisyen, itu pun kadang-kadang miss,'' katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai hari ini yang turut disaksikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Beliau turut menyuarakan rasa gembira menjadi antara kalangan mereka yang paling awal mendengar lagu bertajuk Cemerlang, Gemilang dan Terbilang hasil ciptaan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mukhzani Ismail, lirik oleh Syed Indra Syed Omar (Siso) dan turut mendapat sentuhan Abdul Kadir sendiri.
Raptai hari ini turut membabitkan perarakan 14 buah kereta berhias, 312 kenderaan keselamatan dan jentera pertanian, juga lintas hormat 14 buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.
Perarakan kali ini juga akan mempamerkan sebahagian daripada peralatan moden Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti meriam terbaru G5, sistem pelancar roket berganda Astros II serta penerbangan lintas helikopter Super Lynx dan Fennec dari tentera laut.
Bagaimanapun, penerbangan lintas yang turut disertai oleh pesawat pejuang MIG-29 dan Hawk hari ini, tidak membabitkan pesawat pejuang F-18 Hornet, mahupun helikopter Nuri.
Seorang pelajar universiti yang ditemui, Roslan Salleh, 19, turut menyuarakan kekagumannya dengan kehebatan dan kecanggihan jentera-jentera pasukan keselamatan negara yang dipamerkan pada raptai itu.
Menurutnya keupayaan pertahanan negara yang dipertontonkan itu, menyerlahkan kemampuan pelbagai pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
``Semangat habis, saya tak dapat nafikan, rasa bangga bila tengok kecanggihan peralatan pasukan tentera, polis dan bomba. Saya datang singgah sini pun sebab nak tengok (peralatan) ini,'' katanya lagi.
Suasana ceria sambutan Hari Kebangsaan itu tidak hanya terhad kepada kawasan sekitar Padang Kamunting dan bandar Kuantan sahaja, malah turut berlarutan sehingga ke segenap pelosok negara.
Di sana sini di setiap bandar, bendera Jalur Gemilang sudah dikibarkan dengan megah, dan Kuantan yang menjadi tuan rumah sambutan tahun ini sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam memenangi `perang bendera' tahun ini. - Bernama

Sambutan Kemerdekaan - Semua IPTA perlu ada penghayatan

ARKIB : 26/08/2004
SEMUA pelajar pelbagai kaum di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu menghayati sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang telah dirancang oleh universiti masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh berkata, penglibatan para pelajar semua kaum akan dapat membina dan menggalakkan persefahaman dan perpaduan yang lebih kukuh.
``Perpaduan dengan jalinan persefahaman yang sama adalah paksi kekuatan utama dalam mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara,'' katanya.
Menurut beliau, negara tidak mahu universiti yang melahirkan para graduan yang pasif, tidak hidup bermasyarakat dan cuma mahir dari segi idealisme berbanding dengan nilai realisme dalam menghadapi dunia yang sebenar.
``Oleh itu penglibatan aktif para pelajar dalam aktiviti berkenaan adalah salah satu usaha universiti mewujudkan pelajar yang berdaya kepimpinan dan menguatkan jati diri masing-masing,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd Nasir Mohd Asraf pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-47 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, baru-baru ini.
Dalam pada itu Shafie menyeru para pelajar memenuhi harapan aspirasi serta tanggungjawab yang diamanahkan untuk memaju dan mengekalkan kemerdekaan negara ini.
``Pada masa ini kita masih mengekalkan kedaulatan negara dari dijajah oleh anasir-anasir luar dengan kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan dan teknologi maklumat serta kemahiran,'' katanya.
Bagi meneruskan kesinambungan itu Shafie mahu semua pelajar meningkatkan penguasaan ilmu.
``Mereka yang lemah akan ketinggalan dan dihina serta ditindas, inilah yang harus dielakkan bagi memastikan kita dapat hidup dalam kesejahteraan,'' katanya.
Beliau berkata, penglibatan para pelajar dalam mengekalkan kemerdekaan negara amat penting kerana mereka merupakan aset utama dan tulang belakang dalam usaha memajukan lagi negara.
``Untuk itu juga para pelajar harus mempunyai pemikiran yang jauh ke hadapan, maju dan matang dengan menilai keperluan hari ini,'' katanya.
Sementara itu Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Mohd Salleh Mohd Yasin berkata, semua program yang diatur oleh universiti itu mempunyai visi untuk membina satu identiti kenegaraan yang utuh dan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.
``Matlamat program adalah untuk mendedahkan kepada golongan masyarakat pasca kemerdekaan terutama para pelajar UKM mengenai semangat cintakan tanah air dan menanam semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kampus,'' katanya.
Program Kemerdekaan yang diaturkan juga adalah untuk mempersiapkan diri para pelajar berhadapan dengan era globalisasi agar lebih berdaya saing.
Melalui program itu, semua warga UKM mendapat pendedahan tentang pentingnya nilai-nilai semangat kemerdekaan dan patriotik untuk diperturunkan dan dihayati oleh generasi akan datang.

Identiti negara merdeka

ARKIB : 20/08/2004
DI AMBANG 31 Ogos, rakyat Malaysia digalak memasang bendera sebagai lambang kemegahan dan kebanggaan terhadap negara tercinta yang bebas dan merdeka. Anak-anak kecil merengek minta dibelikan bendera tanpa mengerti maksud jalur dan warnanya, belia dan remaja tidak sabar memeriahkan Dataran Merdeka menjelang detik `count down', apatah lagi konsert merdeka yang pastinya dimeriahkan dengan selingan lagu Merdeka yang tidak cuba difahami maknanya.
Jika ditanya sudah berapa lama negara kita merdeka, tidak ramai yang boleh menjawab dengan spontan. Amat jelik sekali bila mana pernah tersiar dalam televisyen, temu ramah dibuat terhadap artis dan orang awam, mereka cuma tergelak bila ditanya soalan demikian, malah dengan tidak segan silu bertanya balik soalan yang sama kepada wartawan, tanpa mengetahui satu Malaysia melihat kejahilan mereka itu.
Sesungguhnya sendaan mereka itu tidak pernah dilihat sebagai suatu yang sihat. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa tiada gunanya mengingat ulang tahun Malaysia, cukuplah sekadar merasai kemeriahannya, apatah lagi kita bercuti di Hari Kebangsaan. Lagipun, mustahil kita dijajah lagi, kenapa perlu mengimbau berapa tahun kita sudah merdeka, yang pasti sudah lama, sejak dilahirkan!
Biarpun ramai golongan dewasa yang kurang memberi perhatian terhadap sejarah perkembangan negara, politik, ekonomi mahupun multibudaya, tetapi generasi muda tidak boleh berlapang dada. Belia hari ini tidak boleh pasrah mengikut budaya dan cara hidup yang tidak gemilang. Sekadar meniru kitaran hidup yang sedia ada tidak akan sesekali menjadikan mereka perkasa.
Banyak jenis mata pelajaran Sejarah diperkenalkan sama ada di peringkat menengah mahupun universiti. Malah ada universiti-universiti awam mewajibkan pelajarnya mengambil subjek Sejarah Perundangan Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia yang amat menekankan aspek perkembangan negara Malaysia sejak zaman Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.
Walaupun terdapat pengulangan dalam subjek yang diajar di peringkat menengah, pelajar universiti yang rata-ratanya adalah generasi muda dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh memahami peristiwa-peristiwa penting, mengingat tarikh-tarikh dan sejarah asas perkembangan negara Malaysia.
Ini dilihat sebagai salah satu punca golongan muda tidak menghargai keamanan negara. Mereka cuba melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat, tidak boleh berfikir dengan waras, tidak menggunakan kuasa intelek sepenuhnya, malah seolah-olah cuba melabelkan diri sebagai golongan yang paling menyusahkan negara. Sekiranya mereka celik sejarah, sudah pasti mereka cuba memainkan watak yang sewajarnya dalam mengglobalkan peranan kepada negara.
Sudah pasti mereka insaf, betapa sukarnya menghirup keamanan ini yang sekian lama diperjuangkan sedangkan mereka lahir dalam dulang emas, tanpa korban keringat, darah dan nyawa!
Perdana Menteri menggesa agar belia yang dibiar lena dikejutkan segera. Mereka ini perlu dipantau dengan program-program dan persatuan yang boleh melayakkan mereka sama-sama dibawa dalam arus pembangunan negara. Ini harus dilakukan segera sebelum mereka `bertukar' menjadi dewasa. Dewasa yang tidak mengetahui dan mengingat sejarah pasti tidak akan menghargai keamanan Malaysia dan menyusahkan banyak pihak.
Penyertaan belia dalam persatuan atau program belia sedikit sebanyak membuka mata dan minda mereka untuk turut serta menyumbang ke arah pembangunan negara. Dengan menjadi belia yang baik, beragama, berketerampilan, bijak, berhemah dan mampu memimpin, mereka pasti tidak akan terpinggir di negara sendiri dan bakal menjadi dewasa yang dihargai.
Masalah sosial yang membabitkan golongan belia amat membimbangkan. Kejadian dua orang belia yang sedang berasmara dirompak dan dibunuh (mungkin dirogol?) oleh tiga penjenayah termasuk dua juvenil membuktikan bahawa ada segelintir golongan yang tidak gerun kepada undang-undang dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang ringgit yang tidak seberapa.
Pengenalan Program Latihan Khidmat Negara di kalangan belia dianggap tepat walaupun terdapat beberapa kekurangan yang harus diperbaiki. Ini adalah salah satu program yang dianjurkan untuk melibatkan belia secara langsung dalam memperkasakan aset negara sebagai penggerak pembangunan negara pada hari ini dan akan datang.
Program motivasi yang sebelum ini banyak dianjurkan oleh Biro Tata Negara (BTN) juga berjaya melahirkan belia yang mudah dibentuk. Modul kepimpinan, keagamaan dan toleransi dipantau oleh fasilitator yang berkaliber tanpa mengharapkan wang ringgit demi kecemerlangan akhlak mereka. Belia yang pernah melalui program seperti ini pasti tidak mudah dipengaruhi pemikiran yang sempit dan statik, bahkan mereka boleh mempertingkatkan kecemerlangan akademik ke tahap yang lebih baik.
Amat jarang belia yang rela hati menyertai mana-mana persatuan atau melibatkan diri dalam mana-mana program kerohanian, kepimpinan, sukan atau sebagainya. Pelan Tindakan Belia Nasional yang mengandungi 11 teras pembangunan diharap dapat mewujudkan sahsiah yang tinggi di kalangan belia, menjadikan mereka lebih fleksibel tanpa mengekang kebolehan menerajui diri dan orang lain dan dalam masa yang sama tidak keliru dalam identiti yang dicorakkan.
Bagaimanapun, pelan jangka panjang dan jangka pendek yang dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia kepada generasi pascamerdeka ini disaran agar tidak mengetepikan pengisian pembangunan jati diri manusia.
Sambutan Bulan Kemerdekaan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat meriah dengan kehadiran rakyat yang multiusia. Ia cukup mengharukan, betapa rakyat Malaysia sanggup bersekang mata dan berhimpit di tengah padang yang luas. Kibaran Jalur Gemilang adalah tanda kemegahan rakyat yang tiada taranya. Bukan berpura-pura, tapi itulah yang lahir dari hati. Jeritan merdeka menggegarkan malam yang masih muda. Semuanya bersemangat, malah ada yang mengeluarkan air mata!
Generasi muda yang berpelajaran pasti tidak akan membiarkan rakan sebaya hanyut dalam arus hidup tanpa pegangan hingga mengganggu-gugat keamanan negara.
Mereka pasti tahu tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam membantu kerajaan membina sahsiah golongan ini. Oleh itu, inilah masanya belia yang profesional, berpendidikan tinggi dan berperibadi mulia harus turun padang menyempurnakan peranan menguatkan sifat patriotik demi keagungan agama, bangsa dan negara.
- NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH adalah Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Hargai Bulan Kemerdekaan

ARKIB : 19/08/2004
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru generasi muda serta rakyat di negara ini supaya bersedia dan sanggup berkorban bagi mengatasi segala cabaran untuk membolehkan Malaysia terus maju dan membangun.
Pelancaran perayaan Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang di Ipoh baru-baru ini wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak tentang pentingnya kita menanam semangat patriotik.
Kedua-duanya wajar dijadikan medan untuk memupuk semangat cintakan negara kepada semua rakyat Malaysia.
Generasi muda perlu diasuh dengan teladan yang baik dan diberikan penghayatan untuk menjadi warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Generasi muda perlu disedarkan akan peranan mereka sebagai penggerak negara.
Walaupun generasi muda tidak dilahirkan semasa suasana kemerdekaan tahun 1957 namun semangat patriotik boleh dipupuk tanpa menumpahkan darah.
Generasi muda boleh membuktikan bahawa mereka juga patriotik dengan kaedah dan cara mereka sendiri mengikut keadaan semasa.
Generasi lama seharusnya tidak mempertikaikan status patriotik yang dimiliki oleh generasi muda kerana ia hanya akan menimbulkan perselisihan faham.
Generasi muda juga seharusnya mengucapkan terima kasih kepada generasi terdahulu yang sanggup berkorban nyawa untuk negara.
Tugas generasi muda pada masa ini lebih tertumpu kepada memberi sumbangan menjadikan negara Malaysia cemerlang.
Apa yang perlu dilakukan oleh generasi muda ialah menghayati nilai-nilai positif dengan menjauhi penagihan dadah, tidak terlibat dengan gejala sosial, menjauhi kegiatan militan dan juga menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.
Generasi muda akan mewarisi negara ini pada suatu hari nanti dan mereka ini adalah zuriat kepada negara Malaysia.
Semua rakyat Malaysia perlu mempertahankan kedaulatan negara ini tanpa sebarang ketakutan.
Semangat keberanian sudah pastinya akan mengatasi segala masalah dan cabaran. Tugas generasi muda adalah untuk bantu negara ke arah yang lebih cemerlang.
Generasi muda perlu mewujudkan satu bentuk pemikiran yang sanggup meneroka dan memperluaskan kemampuan kita keluar daripada paradigma yang sedia ada.
Sikap sedemikian akan memberanikan kita memasuki bidang-bidang yang dahulu dianggap sebagai di luar kemampuan kita.
Sesiapa sahaja yang sayangkan negara seharusnya mengetepikan kepentingan sendiri termasuk kefahaman ideologinya.
Ini bukan gelanggangnya kita mencari persengketaan sesama sendiri kerana maruah negara perlu diutamakan.
Kita perlu bermuafakat apabila kepentingan negara menjadi pokok persoalannya, seperti kata pepatah `bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul'.
Semua rakyat harus bersyukur kerana mampu menikmati suasana aman, harmorni, sejahtera dan makmur.
Semua pihak perlu menjadikan bulan Ogos ini sebagai tanda penghargaan, kesyukuran dan menebalkan semangat patriotik. Sambutan ulang tahun kemerdekaan seharusnya diraikan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.
Jika Hari Raya, Tahun Baru Cina, Depavali disambut dengan kemeriahan apa salahnya kita bersatu hati menyambut Hari Kebangsaan kita dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersemangat.
Inilah masanya kita mempamerkan semangat patriotik dan sayangkan negara tanpa mengira bangsa dan agama.
Liku perjuangan kita masih jauh dan jalan yang ingin dirintis bukanlah dialas dengan bunga-bungaan. Ia dipenuhi ranjau dan duri.
Semua rakyat Malaysia perlu bersedia untuk mara dan sampai ke hujungnya sebagai wira dengan kejayaan sejati.
Semua pihak perlu mempunyai cita-cita untuk membanggakan negara dengan cara yang tersendiri.
Kejayaan rakyat Malaysia menakluki puncak tertinggi dunia dan merentasi lautan yang penuh bergelora adalah salah satu cara untuk menzahirkan kebanggaan Malaysia.
Dunia yang luas menuntut setiap warganegara Malaysia berperanan untuk memartabatkan negara di persada dunia. Malaysia mudah dikenali kerana memiliki rakyat berbilang kaum dan bersatu padu.
Sesungguhnya banyak yang perlu kita lakukan untuk negara ini kerana Malaysia adalah milik kita semua. Setiap orang tidak seharusnya menyisihkan diri dalam sambutan Bulan Kemerdekaan ini.
Sambutan ini adalah medan menguji kesetiaan rakyat kepada negara Malaysia yang tercinta.
Kita harus menyaluti hati kita dengan semangat cintakan negara dengan mempamerkan kesungguhan untuk memeriahkan perayaan ini.
Semua rakyat Malaysia perlu mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja termasuk di kenderaan tanpa mengira tempat. Menerusi cara ini sambutan Bulan Kemerdekaan akan mencapai objektifnya.
Setiap orang perlu mengambil inisiatif dengan cara tersendiri untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Janganlah hanya menanti bendera percuma baru kita ingin mengibarkan Jalur Gemilang, ini bukanya semangat yang dimahukan.
Marilah semua rakyat Malaysia bergembira dan bersyukur dengan kedatangan Bulan Kemerdekaan ini. - EZARUDDIN ABD RAHMAN, Seri Kembangan Selangor.
Kirim pendapat anda melalui emel: pendapat@utusan.com.my

Khamis, 6 April 2017

Patriotisme - Mengasah semangat yang tumpul

ARKIB : 02/09/2003
Patriotisme - Mengasah semangat yang tumpul
Oleh ROHANA MAN
SEMANGAT patriotik yang tinggi di kalangan seluruh bangsa Malaysia perlu wujud bagi memastikan kedaulatan yang dimiliki hasil kemerdekaan yang dicapai 46 tahun lalu kekal, selama-lamanya.

Hanya berbekalkan semangat itulah maka warga Malaysia akan bersedia dan sanggup berkorban harta dan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Pelajar tahun tiga, program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azril Ghuzlan, 22, berkata, kesukaran hidup pada zaman pendudukan Jepun dan tahun-tahun sebelum kemerdekaan boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi cabaran hidup hari ini.

``Malangnya generasi yang lahir selepas tahun 1957 kurang menghayati kesukaran yang dilalui generasi terdahulu bagi mencapai kemerdekaan,'' katanya.

Menurutnya, punca utama majoriti generasi muda terlupa kesusahan masa lalu ialah mereka kini hidup dalam keadaan penuh selesa.

Sehubungan itu, katanya, program yang boleh meningkatkan penghayatan generasi muda terhadap pentingnya memiliki semangat patriotik yang tinggi perlu diadakan.

Azril juga berkata, program itu sepatutnya diadakan sepanjang tahun dan bukannya pada bulan Ogos sahaja.

Pelajar program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, UIAM, Aslynda Mohd Dahlan, 21, pula berkata, keselesaan hidup yang dinikmati generasi muda hari ini menjadikan mereka leka.

``Mereka perlu disedarkan bahawa keselesaan yang dinikmati ini boleh hilang dalam sekelip mata jika kedaulatan negara tidak dijaga.

``Untuk memastikan kedaulatan negara kekal maka setiap rakyat perlu memiliki semangat patriotik yang tinggi,'' katanya.

Pelajar tahun satu, program Ijazah Sarjana Muda Bioperubatan, Kulliyyah Sains, UIAM, Sarah Maisha Rasid, 20, mengakui patriotisme di kalangan remaja semakin berkurangan.

``Ia berlaku kerana mereka kurang kesedaran betapa pentingnya memiliki semangat patriotik yang tinggi,'' katanya.

Selain itu, katanya, perbezaan pendapat kaum Melayu memburukkan keadaan sehingga muncul golongan yang tidak berterima kasih terhadap apa yang telah kerajaan lakukan dalam mengisi pembangunan.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan program yang boleh menerapkan semangat patriotik kepada pelajar sekolah dan universiti.

``Mungkin perlu diwajibkan setiap lapisan rakyat mengikuti program anjuran Biro Tata Negara yang diadakan khusus untuk tujuan ini,'' katanya.

Pelajar tahun tiga, program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sains Politik), Kulliyyah Sains Kemanusiaan, UIAM, Jusri Anuar Jamarudin, 22, berkata, setiap warga Malaysia perlu merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat.

Antara program itu katanya ialah kempen Cintai Negara Kita dan Kibar Jalur Gemilang.

``Program lain yang boleh mengingatkan kita betapa peritnya perjuangan generasi lama menuntut kemerdekaan juga boleh diadakan,'' katanya.

Selain itu, katanya, faktor kesatuan bangsa Malaysia yang sejati penting dalam memastikan kedaulatan negara terus dipelihara.

``Slogan satu bangsa, satu negara perlu dihebahkan dan ditanam dalam jiwa rakyat Malaysia yang merdeka,'' ujarnya.

Pelajar tahun dua, program Sarjana Muda Ekonomi Syariah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM, Afif Farhi Othman, 20, berkata, generasi muda tidak berasa pahit getir dan susah payah generasi lama memperjuangkan kemerdekaan.

Katanya, ini menyebabkan mereka tidak kisah jika tidak mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

``Apabila kita tidak menghayati kesusahan maka kita anggap patriotisme adalah satu perkara yang remeh dan tidak ada nilai,'' ujarnya.

Keadaan itu katanya menyebabkan kebanyakan generasi muda tidak dapat mengisi kemerdekaan dengan perkara berfaedah.

Pelajar tahun tiga, program Ijazah Sains Kemanusiaan (Sains Politik), Kulliyyah Sains Kemanusiaan, UIAM, Syahril Azwar Zakaria, 22, berkata, antara sebab kenapa semangat patriotik di kalangan generasi muda kian luntur ialah generasi hari ini kurang mengambil tahu perkembangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka.

``Kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia dan Filipina, hari ini.

``Sungguhpun kedua-duanya telah lama merdeka dan bebas daripada penjajah, hakikatnya negara berkenaan masih dibelenggu oleh penjajahan bentuk baru.

``Campur tangan pihak luar tidak setakat dalam hal ehwal politik malah turut melibatkan ekonomi negara berkenaan,'' katanya.

Pergolakan itu katanya telah meletakkan kedua-dua negara itu dalam masalah yang berpanjangan.

Pelajar tahun tiga, program Ijazah Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, UIAM, Mohd Farid Mohd Nor, 22, berkata, faktor kurang penghayatan dan pengetahuan Sejarah menyebabkan generasi hari ini mengambil sikap tidak peduli terhadap patriotisme.

``Lebih teruk apabila ada di kalangan mereka tidak kenal siapakah tokoh kemerdekaan negara dan kisah di sebalik kejayaan mereka membebaskan Malaysia daripada penjajahan Inggeris,'' katanya.

Menurutnya, tanggungjawab generasi hari ini ialah mengisi kemerdekaan bagi memastikan kedaulatan, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai hari ini berkekalan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm#ixzz4dSyk2rc0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 5 April 2017

Kemerdekaan negara - Mengekalkannya lebih penting dan sukar



ARKIB : 01/09/2003
Oleh MOHTAR MOHAMAD

Setiap bangsa di dunia inginkan kebebasan dalam mentadbir negara. Bangsa yang merdeka boleh melaksanakan dasar-dasar dan matlamat yang diimpikan oleh mereka. Bagi negara-negara Islam pula, kemerdekaan membolehkan pemimpin-pemimpin negara melaksanakan dasar-dasar yang boleh membawa keuntungan umat Islam dengan meninggikan syiar agama, melaksanakan program-program dakwah, menjalankan sistem pendidikan Islam dan sebagainya.

Malaysia telah mencapai kemerdekaan semenjak 46 tahun lalu. Banyak perubahan telah dilakukan di dalam sistem pentadbiran negara dan dasar-dasar pembangunannya. Mencapai kemerdekaan bukanlah berakhirnya suatu perjuangan kerana usaha-usaha untuk mengekalkan kemerdekaan adalah lebih penting dan perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan sesebuah negara lebih sukar daripada perjuangan menuntut kemerdekaan.

Banyak negara yang telah merdeka gagal mengekalkan kemerdekaannya disebabkan beberapa faktor seperti tidak ada perpaduan di kalangan rakyat, pemimpinnya tamakkan kuasa dan harta, tidak menumpukan usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan, tidak membangunkan prasarana-prasarana yang utama kepada rakyat seperti pendidikan, kemudahan asas, peluang pekerjaan dan sebagainya. Akhirnya, negara menjadi huru-hara dan sekali lagi mengundang penjajah yang terdiri daripada kuasa-kuasa besar untuk menguasai mereka semula.

Rakyat negara Malaysia, khasnya umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada negara-negara berkenaan. Kemerdekaan mestilah dihargai dengan sepenuhnya oleh seluruh rakyat. Generasi muda yang lahir selepas tarikh kemerdekaan seharusnya menghayati kemerdekaan dengan erti kata yang sebenar. Kemerdekaan merupakan suatu nikmat yang patut disyukuri dengan cara melaksanakan pengisian-pengisiannya.

Perkara utama yang perlu dipelihara ialah mengekalkan perpaduan di kalangan semua rakyat tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Perpaduan di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum perlu dititikberatkan supaya negara ini sentiasa aman dan damai. Seluruh rakyat akan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti dengan selamat dan ekonomi negara dapat dimajukan. Persefahaman dan semangat toleransi perlu ada kepada semua bangsa supaya masing-masing dapat menjalankan aktiviti agama tanpa ada perasaan benci-membenci dan permusuhan.

Islam mengajar kita supaya memberi kebebasan kepada penganut agama lain untuk beribadat. Umat Islam dilarang sama sekali mengganggu atau memusnahkan tempat ibadat agama lain atau melakukan serangan kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.

Kita perlu meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu dunia mahupun akhirat agar boleh menjadi bangsa yang maju dan bertakwa. Penguasaan ilmu menjadikan sesebuah negara mencapai martabat yang tinggi dan dihormati oleh seluruh manusia. Inilah matlamat utama kemerdekaan yang diperjuangkan oleh semua bangsa kerana kebebasan dapat memberikan ruang yang sangat luas untuk mengembangkan ilmu pengetahuan di dalam berbagai-bagai bidang di sesebuah negara. Ia memerlukan perancangan yang teliti dari pihak atasan supaya bidang-bidang tertentu diberi keutamaan sesuai dengan peredaran zaman. Tambahan pula penguasaan ilmu dan teknologi terkini menjadi ukuran kepada kekuatan sesebuah negara.

Islam amat menekankan budaya ilmu dan penyelidikan kepada penganutnya supaya memperolehi manfaat untuk kehidupan dunia dan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Melalui ilmu pengetahuan manusia dapat mencipta bermacam-macam kemudahan seperti pengangkutan moden, jentera-jentera pengilangan, teknologi maklumat, teknologi komunikasi dan sebagainya. Ini boleh meningkatkan pengeluaran dan membina kekuatan ekonomi. Seterusnya ia boleh menghapuskan kemiskinan atau merapatkan jurang perbezaan di antara yang kaya dan yang miskin.

Mencapai tahap kemajuan yang tinggi belum cukup untuk sesebuah negara yang merdeka jika tidak disertakan dengan pembinaan insan yang bertakwa. Manusia yang tidak mementingkan agama akan menjadi tamak dan rakus setelah menjadi kaya raya. Ada pula yang mengambil jalan mudah untuk memperoleh harta dengan mengamalkan rasuah. Sikap sebeginilah yang telah menghancurkan kerajaan Islam yang besar suatu ketika dahulu seperti Kerajaan Abbasiah dan Sepanyol. Setelah mencapai kemajuan yang unggul, kebanyakan pemimpin dan rakyat menjadi lalai dan leka sehingga pihak musuh dapat mengambil kesempatan daripada kelekaan ini dan mereka dihancurkan sehingga hanya tinggal sejarah.

Akhirnya umat Islam ketinggalan kebelakang dan menjadi umat yang hina di mata masyarakat dunia. Inilah akibatnya pembangunan yang tidak disertakan dengan ketakwaan kepada Allah. Kita yang hidup pada zaman ini haruslah mengambil pengajaran daripada sejarah silam. Kita mesti memulakan langkah untuk kembali menjadi bangsa yang disegani di dalam negara yang telah merdeka ini. Kesempatan ini janganlah dipersia-siakan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4dO6PQsoM
© Utusan Melayu (M) Bhd