Sabtu, 3 Jun 2017

Kepayahan lawan Inggeris

ARKIB : 31/08/2005
Oleh ROSNI HASSAN (Wartawan Utusan) Melaka mencatat banyak peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara. Paling penting tarikh 20 Februari 1956 yang menyaksikan rakyat bersama-sama pejuang kemerdekaan meraikan kejayaan negara bebas daripada kuasa penjajah Inggeris.

Pada tarikh itu di tempat yang paling bermakna yang kini dikenali sebagai Padang Pahlawan rakyat berkumpul menyambut kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London untuk berunding dengan Inggeris mengenai kemerdekaan negara.

Kepulangan bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang membawa bersama dokumen kemerdekaan tanah Melayu dari London ditunggu-tunggu oleh rakyat yang tidak sabar untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Lebih 100,000 orang dikatakan berkumpul di Padang Pahlawan dan melaungkan merdeka berulang-ulang kali sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara dan mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Kebangkitan semangat rakyat ketika itu menjadikan Padang Pahlawan dibanjiri lautan manusia yang ingin menyaksikan peristiwa terpenting yang kini menjadi catatan penting dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.

Pelbagai reaksi dapat dilihat ketika itu, ada yang menangis dan bersorak kegembiraan sambil melaungkan merdeka. Kini Padang Pahlawan yang terletak di Bandar Hilir, dianggap sebagai monumen penting dalam sejarah kebangkitan bangsa yang merdeka kerana di sinilah perisytiharan kemerdekaan negara diumumkan.

``Ribuan manusia dari seluruh negara berhimpun di Padang Pahlawan menunggu ketibaan Tunku Abdul Rahman dengan penuh semangat umpama kata pepatah `yang patah datang bertongkat, yang buta datang berpimpin,'' kata budayawan negara yang juga veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 77, kepada Utusan Malaysia.

Suasana pada masa itu, jelas beliau, sukar digambarkan dengan perkataan, terutama apabila Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Ada yang menitiskan air mata kerana terlalu gembira, kerana kemerdekaan bermakna kita tidak lagi menjadi bangsa yang dijajah.

Aziz memberitahu, kemerdekaan negara tidak diperoleh dengan mudah walaupun ia tidak melalui pertumpahan darah, justeru ulang tahun kemerdekaan bukan sekadar mesti disambut setiap tahun oleh semua pihak.

Sebaliknya generasi hari ini juga perlu dididik supaya menghayati semangat kemerdekaan agar mereka menghargai nikmat yang diperoleh sekarang adalah hasil perjuangan dan susah payah generasi terdahulu yang `melawan' Inggeris dengan cara mereka sendiri - tanpa menghunus senjata.

Menurutnya, sesetengah negara memperoleh kemerdekaan menerusi peperangan tetapi negara bernasib baik kerana kemerdekaan diperoleh tanpa pertumpahan darah sebaliknya menerusi kebijaksanaan pemimpin kita yang berjaya meyakinkan Inggeris.

``Ramai yang bertanya macam mana Tunku Abdul Rahman meyakinkan Inggeris supaya memberi kemerdekaan kepada kita, ini sesuatu yang perlu dikaji secara mendalam. Yang saya tahu Tunku memang bijak, sebelum menemui Inggeris beliau dapatkan pandangan pelbagai pihak dan membawa kaum-kaum lain menyertai perjumpaan yang diadakan di London itu.

``Ini kerana Almarhum mahu pihak Inggeris melihat bahawa semua kaum di negara ini bersatu dan mahukan kemerdekaan,'' katanya sambil mengakui kepayahan yang dialami oleh Tunku dan rombongannya sebelum ke London adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dihargai oleh generasi sekarang.

Menurut Aziz, generasi sekarang ada yang menghargai kemerdekaan tetapi masih ramai yang tidak tahu menjaga dan memelihara nikmat yang diperoleh apabila dengan mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif.

``Dulu mana ada orang buang anak dalam plastik, tidak amanah dan rasuah, semua ini nilai-nilai yang tidak baik. Jika amalan seperti ini tidak ditangani negara pun boleh jual,'' katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, adalah penting anak-anak sekarang bermula di peringkat sekolah rendah lagi hingga ke peringkat pengajian tinggi dididik supaya menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Mereka perlu mengetahui betapa peritnya perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan kemerdekaan negara, dalam serba kekurangan terutama dari segi kewangan.

Selain itu mereka juga perlu merenung kembali bagaimana pemimpin terdahulu mengangkat kedudukan orang Melayu menerusi UMNO. Yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan kesedaran untuk membela nasib orang Melayu bukannya kepentingan peribadi atau mengharapkan sesuatu habuan. ``Saya masih ingat sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kami sewa bilik hotel di ibu negara, RM4 satu malam, kami kongsi lapan orang iaitu seorang 50 sen, tak termasuk belanja makan dan minum. Berbeza dengan sekarang semuanya disediakan, hotel bagus dan mewah.

``Tak apalah sebab sekarang kita sudah maju, tetapi pada masa yang sama jangan lupa perjuangan pemimpin terdahulu.

Kita perlu mengisi kemerdekaan yang diperoleh dengan perkara yang berfaedah dan boleh dibanggakan, jangan jadi orang yang menyusahkan negara,'' katanya yang pernah menjadi Bendahari UMNO Melaka selama 18 tahun.

Pengalaman beliau itu turut dipersetujui oleh seorang lagi veteran UMNO, Datuk Wira Borhan Md. Yaman, 76, yang melahirkan rasa syukur berikutan kejayaan negara mengisi kemerdekaan dengan membina kemajuan untuk faedah rakyat.

Begitupun yang menjadi kebimbangan beliau ialah jika generasi sekarang alpa dengan nikmat kemerdekaan yang diperoleh kerana mudah terpengaruh dengan budaya luar.

``Kewajipan generasi sekarang ialah memelihara kemerdekaan dengan membina kemajuan dan mewujudkan lebih ramai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang,'' katanya yang mula menyertai UMNO dalam tahun 1951, ketika berusia 22 tahun sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri pada tahun 1954.

Mengimbas semula detik tarikh kemerdekaan diisytiharkan, beliau berkata, laungan kemerdekaan di Padang Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta menyerahkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih segar dalam ingatannya.

Kata, peristiwa kaum ibu melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang meletakkan wang di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun 1954 begitu menyayatkan hati beliau.

Semua itu jelas beliau, dilakukan dengan rela hati kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan mesej tersebut kepada Inggeris di London.

Usaha mengumpulkan dana bagi membantu misi kemerdekaan menurutnya, dilakukan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan di seluruh pelosok negeri yang mana beliau bersama rakan-rakan menjalankan kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian termasuk pertunjukan bangsawan.

Derma Merdeka jelas beliau, mendapat sokongan rakyat apabila orang kampung dan yang miskin sanggup menderma dengan memberi padi, buah-buahan, pakaian malah penoreh getah yang memberi sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi mengisi tabung itu.

``Semangat mahukan kemerdekaan pada masa itu begitu terasa sekali bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana mereka hidup dalam serba kekurangan selain menerima tekanan daripada penjajah,'' ujarnya.

Beliau berkata, sebagai generasi selepas merdeka, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang berprinsip dan jangan sesekali membenarkan jiwa serta minda mereka dijajah walau dalam apa bentuk sekalipun. Kerana kemerdekaan yang diperoleh tidak memberi apa-apa makna jika orang Melayu membenarkan pihak luar mempengaruhi pemikiran mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4ivj5xqa1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Apa erti merdeka kalau ekonomi masih dijajah


 ARKIB : 26/08/2005

Saudara Pengarang,
SEKALI lagi seperti tahun-tahun yang sudah, sambutan Hari Kemerdekaan datang lagi pada 31 Ogos ini. Di mana-mana bendera negara dikibarkan dengan megah, ada yang besar, ada yang panjang, terpanjang, terbesar, kecil, terkecil dan pelbagai lagi rupa bentuk.

Tetapi adakah ini benar-benar merupakan erti kemerdekaan bagi negara ini. Personaliti yang dikatakan menyumbang khusus kepada kemerdekaan negara secara retorik diulang-ulang dan dilaungkan nama mereka saban hari menjelang hari dan tarikh bertuah 31 Ogos setiap tahun.

Pada realitinya adakah benar-benar rakyat negara ini khususnya orang Melayu telah merdeka sepenuhnya? Inilah persoalannya yang berlegar dan bermain di benak kepala saya, seorang bekas tentera yang akan menjangkau usia emas tidak lama lagi.

Adakah pengorbanan saya kepada negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi. Jawapannya saya rasa TIDAK.

Nama-nama pahlawan negara yang telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap. Lenyap ditelan masa dan dilupakan.

Nama yang kerap diulang-ulang tayang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus sahaja, yang dikenang digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sahaja hero merdeka. Bukan saya dengki tetapi inilah realiti hidup di negara bertuah ini.

Nasib bekas-bekas tentera amat malang sekali kalau dinilai, diteliti dan diperinci sumbangan mereka kepada kemerdekaan negara ini. Jangan mimpilah kalau bekas tentera itu boleh dapat AP, permit itu dan ini, anugerah tanah, lesen balak, projek berbilion ringgit dan sebagainya.

Dulu dapat juga tanah Felda 10 ekar seorang, sekarang tunggu sahajalah tanah kekal enam kaki kali empat kaki dan dalam tujuh kaki, itu sahajalah bahagian yang tinggal. Lainnya jadi impian kosong sahaja.

Dari segi ekonomi pula negara ini didominasi oleh satu kaum sahaja yang telah mewujudkan kartel dan blok dengan tidak secara langsung disebabkan oleh sistem pentadbiran negara yang mempermudahkan perkara ini berlaku.

Bagi saya politikus telah gagal untuk mengawal ketidakseimbangan ini. Apa erti merdeka kalau kita rakyat terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut segala-galanya, ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa... inilah realitinya.

Apakah Perlembagaan dibuat oleh mendiang Lord Reed itu tidak boleh dipinda, diubahsuai untuk mengubah keadaan, untuk kebaikan, kemakmuran dan kesejahteraan orang Melayu sejagat demi menjaga anak cucu Melayu akan datang yang merdeka dan berdaulat.

Bagi saya Lord Reed sepatutnya tinggal nama sahaja sebab negara-negara Komanwel lain yang telah merdeka daripada British telah pun melupakan buku perlembagaan nukilan beliau dan meminda buku ini mengikut cita rasa semasa, lihatlah Pakistan dan India sebagai contoh.

Apakah askar akan terus mati katak dan Melayu tetap tidak merdeka dari segi ekonomi? Insya-Allah nasib kaum Melayu di Malaysia ini akan bangkit menuju kemerdekaan yang sebenar, menyeluruh dan berwibawa dengan adanya pucuk pimpinan yang berdedikasi, berintegriti dan amanah yang harus disokong, didukung aspirasi dan wawasan mereka. - LT. KOL. (B) JALIL ITHNIN, TUDM, Ampang, Selangor.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz4ivYb3vH3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Jun 2017

Perluas makna patriotisme



ARKIB : 23/08/2005

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (Wartawan Utusan)

TINGGAL tidak sampai 10 hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-48 pada 31 Ogos ini.

Seperti biasa pelbagai acara diadakan bagi menyambut hari yang maknanya kita telah terlepas dan bebas daripada cengkaman penjajah itu.

Dan setiap tahun sejak tiga tahun sudah, bermula 17 Ogos hingga 16 September negara turut menyambut Bulan Kemerdekaan dengan antara lain seluruh rakyat diajak bersama-sama menyemarakkan bulan penuh dengan makna itu.

Antara lambang kita menyemarakkan tempoh sebulan sehingga pertengahan September itu ialah dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang, melaungkan Hari Kemerdekaan dan menyanyikan lagu Hari Kemerdekaan.

Ia sekali gus membangkitkan semangat patriotisme atau maknanya mencintai negara dengan segala macam bentuk sekalipun.

Sama ada disedari atau sebaliknya, kempen Bulan Kemerdekaan telah berlalu kira-kira seminggu lalu.

Tetapi malangnya, kelihatan masih tidak meluas bendera Jalur Gemilang dikibarkan di kenderaan, di rumah atau di pejabat.

Jawapan `barangkali masih terlalu awal untuk berbuat begitu' bukan perdebatan di sini.

Meskipun begitu di media cetak dan elektronik, semangat Hari Kemerdekaan mula `membakar' menerusi iklan dan tulisan selain alunan lagu `Bahtera Merdeka' walaupun ia juga bukan begitu kerap.

Hal ini memungkinkan ia menjurus kepada satu perkara iaitu kebimbangan mengenai tahap patriotisme generasi muda zaman sains dan teknologi yang terdedah kepada arus pemodenan, langit terbuka dan unsur-unsur luar semakin merosot.

Golongan muda merupakan elemen terpenting dalam formula Malaysia untuk memacu kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa depan.

Justeru isu patriotisme di kalangan golongan ini sentiasa dan terus menjadi persoalan perbincangan yang menarik.

Kalau demikian keadaannya, persoalan lain ialah apakah semangat kecintaan itu nipis, dipinggirkan atau jika ada sekalipun bagaimana golongan tersebut menterjemahkan perasaan terbabit.

Dalam memperkatakan hal ini, profesor dalam bidang sejarah, Prof. Datuk Ramlah Adam berkata: ``Patriotisme amat luas ertinya, ia bukan isu politik atau gimik selain tidak sekadar semangat.

``Ia melibatkan seluruh rakyat dan menjadi persoalan kewarganegaraan, kemerdekaan dan kedaulatan serta merangkumi aspek-aspek keyakinan, keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan,'' jelas beliau, yang juga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Ditanya satu soalan, beliau yakin generasi muda masih patriotik cuma tumpuannya mungkin berbeza walaupun pada hakikatnya ia tetap bertunjang pada makna yang sama, iaitu cintakan secara mendalam kepada tanah air.

Dalam satu tulisannya, Allahyarham Kamaluddin Muhamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas ada menyebut bahawa bagi generasi yang hidup pada zaman penjajahan, fokus patriotisme ialah memperjuangkan kemerdekaan dan generasi selepas itu menumpukan patriotisme ke arah mengisi kemerdekaan.

``Di zaman konfrontasi, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan negara yang baru dibentuk dan mereka yang melalui pengalaman peristiwa rusuhan kaum 13 Mei misalnya matlamat ialah memperkukuh dan meningkatkan perpaduan rakyat,'' kata Ramlah.

Kini dalam memacu negara dalam arus pembangunan pesat, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara pula, tambah beliau.

Begitu halnya soal patriotisme yang diterjemahkan oleh generasi muda. Ia pasti tidak sama walaupun bukan berbeza.

Sebagai contoh, mereka terlibat dalam larian, ekspedisi, bacaan puisi, deklamasi sajak, lukisan, konsert, teater atau mencari harta karun atas nama patriotisme, tambah beliau.

``Itu adalah terjemahan mereka yang tersendiri dengan makna cinta kepada negara.''

Perbezaan matlamat atau fokus patriotisme di kalangan golongan muda-mudi ini pernah disuarakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Saifuddin Abdullah, tiga tahun lalu.

Katanya, disebabkan `kelainan' fokus ini MBM mengambil pendekatan baru yang lebih mesra belia, lebih segar dan lebih berkesan.

``Kita tidak mahu wujud semacam satu stereotaip mengenai patriotisme, seolah-olah patriotisme ialah mengibarkan bendera, laungan, slogan, perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos sahaja,'' katanya sebelum ini.

Ramlah turut bersetuju dengan kenyataan Saifuddin itu.

Katanya, kita perlu keluar daripada lingkungan tersebut. ``Jika berceramah, isi ceramah tidak sekadar kisah perjuangan kemerdekaan. Ia perlu diadunkan dengan tafsiran penjajahan bentuk baru, misalnya bagaimana negara yang merdeka boleh tergugat kedaulatannya. Jika tidak dijaga kemerdekaan ini boleh diragut pada bila-bila masa sahaja.''

Namun begitu, beliau mengakui contoh-contoh klasik seperti kisah perjuangan golongan sebelum ini yang berhempas-pulas, bersusah payah sebelum mencapai kejayaan adalah penting.

Tetapi perlu diingatkan bahawa generasi muda hari ini tidak dapat menjiwainya kerana mereka tidak melaluinya secara langsung.

``Untuk membolehkan mereka menjiwai semangat patriotisme, contoh-contoh yang diberikan dalam ceramah perlu pernah dilalui atau setidak-tidaknya akrab dengan mereka.

``Bagi menyemarakkan patriotisme, nilai-nilai patriotisme `bentuk baru' perlu diterapkan, antaranya ialah tanamkan sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia, bersemangat setia negara, bersemangat jati diri, berdisiplin serta berusaha selain produktif,'' komen seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) mengenai hal sama.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff pula berpendapat kesenangan hidup dalam sebuah negara yang sudah merdeka tanpa melalui susah payah di zaman penjajahan melekakan generasi muda hari ini sehingga mereka kurang menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi sejak 48 tahun lepas.

``Mereka mungkin leka sahaja. Hari Kemerdekaan atau tidak, bukan persoalannya. Yang penting mereka berada di sebuah negara yang mereka tidak merasai pahit perjuangan generasi terdahulu,'' jelas beliau.

``Remaja sekarang sebenarnya tidak melihat penjajahan. Mereka hanya melihat kebebasan yang ada pada sesebuah negara merdeka. Sudah tentu dari segi penghayatannya terhadap kemerdekaan negara, ia tidak begitu ketara.''

Kata beliau, sepatutnya generasi muda harus melihat Hari Kemerdekaan sebagai hari `keramat' yang harus diraikan dengan penuh kesedaran, semangat bersatu padu, perasaan kasih sayang kepada negara.

Dalam pada itu, sebagai mewakili generasi muda, seorang pelajar universiti, Amira Asmidar Hassan, 20, berpendapat patriotisme akan berkembang secara semula jadi jika negara mampu melahirkan individu-individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang hingga mencapai kelas dunia, misalnya bidang penyelidikan perubatan dan kajian lain.

Pelajar itu juga percaya bahawa negara yang tidak mempunyai individu-individu cemerlang yang mampu bersaing di peringkat dunia gagal menawarkan kegembiraan kepada rakyatnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4is8UVGHG
© Utusan Melayu (M) Bhd