Jumaat, 2 Jun 2017

Perluas makna patriotisme



ARKIB : 23/08/2005

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (Wartawan Utusan)

TINGGAL tidak sampai 10 hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-48 pada 31 Ogos ini.

Seperti biasa pelbagai acara diadakan bagi menyambut hari yang maknanya kita telah terlepas dan bebas daripada cengkaman penjajah itu.

Dan setiap tahun sejak tiga tahun sudah, bermula 17 Ogos hingga 16 September negara turut menyambut Bulan Kemerdekaan dengan antara lain seluruh rakyat diajak bersama-sama menyemarakkan bulan penuh dengan makna itu.

Antara lambang kita menyemarakkan tempoh sebulan sehingga pertengahan September itu ialah dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang, melaungkan Hari Kemerdekaan dan menyanyikan lagu Hari Kemerdekaan.

Ia sekali gus membangkitkan semangat patriotisme atau maknanya mencintai negara dengan segala macam bentuk sekalipun.

Sama ada disedari atau sebaliknya, kempen Bulan Kemerdekaan telah berlalu kira-kira seminggu lalu.

Tetapi malangnya, kelihatan masih tidak meluas bendera Jalur Gemilang dikibarkan di kenderaan, di rumah atau di pejabat.

Jawapan `barangkali masih terlalu awal untuk berbuat begitu' bukan perdebatan di sini.

Meskipun begitu di media cetak dan elektronik, semangat Hari Kemerdekaan mula `membakar' menerusi iklan dan tulisan selain alunan lagu `Bahtera Merdeka' walaupun ia juga bukan begitu kerap.

Hal ini memungkinkan ia menjurus kepada satu perkara iaitu kebimbangan mengenai tahap patriotisme generasi muda zaman sains dan teknologi yang terdedah kepada arus pemodenan, langit terbuka dan unsur-unsur luar semakin merosot.

Golongan muda merupakan elemen terpenting dalam formula Malaysia untuk memacu kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa depan.

Justeru isu patriotisme di kalangan golongan ini sentiasa dan terus menjadi persoalan perbincangan yang menarik.

Kalau demikian keadaannya, persoalan lain ialah apakah semangat kecintaan itu nipis, dipinggirkan atau jika ada sekalipun bagaimana golongan tersebut menterjemahkan perasaan terbabit.

Dalam memperkatakan hal ini, profesor dalam bidang sejarah, Prof. Datuk Ramlah Adam berkata: ``Patriotisme amat luas ertinya, ia bukan isu politik atau gimik selain tidak sekadar semangat.

``Ia melibatkan seluruh rakyat dan menjadi persoalan kewarganegaraan, kemerdekaan dan kedaulatan serta merangkumi aspek-aspek keyakinan, keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan,'' jelas beliau, yang juga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Ditanya satu soalan, beliau yakin generasi muda masih patriotik cuma tumpuannya mungkin berbeza walaupun pada hakikatnya ia tetap bertunjang pada makna yang sama, iaitu cintakan secara mendalam kepada tanah air.

Dalam satu tulisannya, Allahyarham Kamaluddin Muhamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas ada menyebut bahawa bagi generasi yang hidup pada zaman penjajahan, fokus patriotisme ialah memperjuangkan kemerdekaan dan generasi selepas itu menumpukan patriotisme ke arah mengisi kemerdekaan.

``Di zaman konfrontasi, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan negara yang baru dibentuk dan mereka yang melalui pengalaman peristiwa rusuhan kaum 13 Mei misalnya matlamat ialah memperkukuh dan meningkatkan perpaduan rakyat,'' kata Ramlah.

Kini dalam memacu negara dalam arus pembangunan pesat, fokus patriotisme ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara pula, tambah beliau.

Begitu halnya soal patriotisme yang diterjemahkan oleh generasi muda. Ia pasti tidak sama walaupun bukan berbeza.

Sebagai contoh, mereka terlibat dalam larian, ekspedisi, bacaan puisi, deklamasi sajak, lukisan, konsert, teater atau mencari harta karun atas nama patriotisme, tambah beliau.

``Itu adalah terjemahan mereka yang tersendiri dengan makna cinta kepada negara.''

Perbezaan matlamat atau fokus patriotisme di kalangan golongan muda-mudi ini pernah disuarakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Saifuddin Abdullah, tiga tahun lalu.

Katanya, disebabkan `kelainan' fokus ini MBM mengambil pendekatan baru yang lebih mesra belia, lebih segar dan lebih berkesan.

``Kita tidak mahu wujud semacam satu stereotaip mengenai patriotisme, seolah-olah patriotisme ialah mengibarkan bendera, laungan, slogan, perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos sahaja,'' katanya sebelum ini.

Ramlah turut bersetuju dengan kenyataan Saifuddin itu.

Katanya, kita perlu keluar daripada lingkungan tersebut. ``Jika berceramah, isi ceramah tidak sekadar kisah perjuangan kemerdekaan. Ia perlu diadunkan dengan tafsiran penjajahan bentuk baru, misalnya bagaimana negara yang merdeka boleh tergugat kedaulatannya. Jika tidak dijaga kemerdekaan ini boleh diragut pada bila-bila masa sahaja.''

Namun begitu, beliau mengakui contoh-contoh klasik seperti kisah perjuangan golongan sebelum ini yang berhempas-pulas, bersusah payah sebelum mencapai kejayaan adalah penting.

Tetapi perlu diingatkan bahawa generasi muda hari ini tidak dapat menjiwainya kerana mereka tidak melaluinya secara langsung.

``Untuk membolehkan mereka menjiwai semangat patriotisme, contoh-contoh yang diberikan dalam ceramah perlu pernah dilalui atau setidak-tidaknya akrab dengan mereka.

``Bagi menyemarakkan patriotisme, nilai-nilai patriotisme `bentuk baru' perlu diterapkan, antaranya ialah tanamkan sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia, bersemangat setia negara, bersemangat jati diri, berdisiplin serta berusaha selain produktif,'' komen seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) mengenai hal sama.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff pula berpendapat kesenangan hidup dalam sebuah negara yang sudah merdeka tanpa melalui susah payah di zaman penjajahan melekakan generasi muda hari ini sehingga mereka kurang menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi sejak 48 tahun lepas.

``Mereka mungkin leka sahaja. Hari Kemerdekaan atau tidak, bukan persoalannya. Yang penting mereka berada di sebuah negara yang mereka tidak merasai pahit perjuangan generasi terdahulu,'' jelas beliau.

``Remaja sekarang sebenarnya tidak melihat penjajahan. Mereka hanya melihat kebebasan yang ada pada sesebuah negara merdeka. Sudah tentu dari segi penghayatannya terhadap kemerdekaan negara, ia tidak begitu ketara.''

Kata beliau, sepatutnya generasi muda harus melihat Hari Kemerdekaan sebagai hari `keramat' yang harus diraikan dengan penuh kesedaran, semangat bersatu padu, perasaan kasih sayang kepada negara.

Dalam pada itu, sebagai mewakili generasi muda, seorang pelajar universiti, Amira Asmidar Hassan, 20, berpendapat patriotisme akan berkembang secara semula jadi jika negara mampu melahirkan individu-individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang hingga mencapai kelas dunia, misalnya bidang penyelidikan perubatan dan kajian lain.

Pelajar itu juga percaya bahawa negara yang tidak mempunyai individu-individu cemerlang yang mampu bersaing di peringkat dunia gagal menawarkan kegembiraan kepada rakyatnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4is8UVGHG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan