ARKIB : 26/08/2005
Saudara Pengarang,
SEKALI lagi seperti tahun-tahun
yang sudah, sambutan Hari Kemerdekaan datang lagi pada 31 Ogos ini. Di
mana-mana bendera negara dikibarkan dengan megah, ada yang besar, ada yang
panjang, terpanjang, terbesar, kecil, terkecil dan pelbagai lagi rupa bentuk.
Tetapi adakah ini benar-benar
merupakan erti kemerdekaan bagi negara ini. Personaliti yang dikatakan
menyumbang khusus kepada kemerdekaan negara secara retorik diulang-ulang dan
dilaungkan nama mereka saban hari menjelang hari dan tarikh bertuah 31 Ogos
setiap tahun.
Pada realitinya adakah
benar-benar rakyat negara ini khususnya orang Melayu telah merdeka sepenuhnya?
Inilah persoalannya yang berlegar dan bermain di benak kepala saya, seorang
bekas tentera yang akan menjangkau usia emas tidak lama lagi.
Adakah pengorbanan saya kepada
negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan
kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi. Jawapannya saya rasa TIDAK.
Nama-nama pahlawan negara yang
telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap.
Lenyap ditelan masa dan dilupakan.
Nama yang kerap diulang-ulang
tayang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus sahaja, yang dikenang
digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sahaja
hero merdeka. Bukan saya dengki tetapi inilah realiti hidup di negara bertuah
ini.
Nasib bekas-bekas tentera amat
malang sekali kalau dinilai, diteliti dan diperinci sumbangan mereka kepada
kemerdekaan negara ini. Jangan mimpilah kalau bekas tentera itu boleh dapat AP,
permit itu dan ini, anugerah tanah, lesen balak, projek berbilion ringgit dan
sebagainya.
Dulu dapat juga tanah Felda 10
ekar seorang, sekarang tunggu sahajalah tanah kekal enam kaki kali empat kaki
dan dalam tujuh kaki, itu sahajalah bahagian yang tinggal. Lainnya jadi impian
kosong sahaja.
Dari segi ekonomi pula negara
ini didominasi oleh satu kaum sahaja yang telah mewujudkan kartel dan blok
dengan tidak secara langsung disebabkan oleh sistem pentadbiran negara yang
mempermudahkan perkara ini berlaku.
Bagi saya politikus telah gagal
untuk mengawal ketidakseimbangan ini. Apa erti merdeka kalau kita rakyat
terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut
segala-galanya, ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa...
inilah realitinya.
Apakah Perlembagaan dibuat oleh
mendiang Lord Reed itu tidak boleh dipinda, diubahsuai untuk mengubah keadaan,
untuk kebaikan, kemakmuran dan kesejahteraan orang Melayu sejagat demi menjaga
anak cucu Melayu akan datang yang merdeka dan berdaulat.
Bagi saya Lord Reed sepatutnya
tinggal nama sahaja sebab negara-negara Komanwel lain yang telah merdeka
daripada British telah pun melupakan buku perlembagaan nukilan beliau dan
meminda buku ini mengikut cita rasa semasa, lihatlah Pakistan dan India sebagai
contoh.
Apakah askar akan terus mati
katak dan Melayu tetap tidak merdeka dari segi ekonomi? Insya-Allah nasib kaum
Melayu di Malaysia ini akan bangkit menuju kemerdekaan yang sebenar, menyeluruh
dan berwibawa dengan adanya pucuk pimpinan yang berdedikasi, berintegriti dan
amanah yang harus disokong, didukung aspirasi dan wawasan mereka. - LT. KOL.
(B) JALIL ITHNIN, TUDM, Ampang, Selangor.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz4ivYb3vH3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan