Khamis, 21 September 2017

20 minit cipta logo Hari Merdeka



 
ARKIB : 06/03/2007
CERIA... Nor Azian A. Hasan bersama logo Hari Kemerdekaan ciptaannya serta sijil penghargaan selepas diumumkan sebagai pemenang pada majlis pelancaran logo dan slogan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia di Putrajaya, semalam. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

PUTRAJAYA 5 Mac – Seorang pereka grafik, Nor Azian A. Hasan tidak menyangka logo ciptaannya yang disiapkan dalam tempoh 20 minit berjaya memenangi tempat pertama Pertandingan Mencipta Logo Perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50.

Kemenangan itu membolehkan Nor Azian, 36, yang berasal dari Negeri Sembilan, membawa pulang wang tunai RM10,000.

‘‘Walaupun tidak semahal harga sebuah rumah yang pernah dimenangi dalam satu pertandingan lain, ia tetap menggembirakan saya kerana dapat memberikan sumbangan sempena ulang tahun kemerdekaan negara,’’ katanya.

Nor Azian berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran logo dan slogan perayaan sambutan Kemerdekaan Ke-50 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di sini hari ini.

Menurut Nor Azian yang berkelulusan bidang grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), logo tersebut menampilkan reka bentuk berombak seperti kibaran bendera.

‘‘Ia bertujuan mewujudkan suasana hidup dan pergerakan memandang negara ini sudah mencapai usia 50 tahun,’’ jelasnya.

Nor Azian sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang pengiklanan, rekaan korporat, penerbitan dan multimedia serta mempunyai syarikat grafik sendiri di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Rais pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan berkata, kementeriannya akan mewujudkan Sekretariat Media bagi memastikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 dan mesej-mesej kemerdekaan diberi liputan lebih menyeluruh.

Bagi tujuan itu, katanya, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan membantu sekretariat tersebut supaya setiap stesen televisyen, radio, akhbar dan majalah memainkan peranan secara maksimum.

‘‘Sekretariat ini akan membantu Kementerian Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), akhbar-akhbar dan majalah menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan kepada seluruh masyarakat.

‘‘Pada tahun lalu terdapat media yang tidak memainkan peranan membantu mempromosikan sambutan kemerdekaan dan kita harap tahun ini liputannya lebih besar lagi,” katanya.

Slogan ‘Malaysiaku Gemilang’ dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini bagi menggantikan ‘Keranamu Malaysia’ yang sudah digunakan selama tujuh tahun.

Pemilihan itu dibuat berasaskan ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu ‘Malaysia Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.

Persiapan

Rais berkata, bagi memastikan persiapan sambutan kemerdekaan yang berkonsep mencetuskan minda baru kepada masyarakat berjalan lancar, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pandu Perayaan (JPP) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

‘‘Bagi tahun ini, JPP bersetuju agar konsep berasaskan bersyukur dengan kejayaan hasil perjuangan bersama dalam pelbagai bidang dan pengertian diketengahkan,” katanya.

Menurutnya, lima tonggak sambutan kemerdekaan tahun ini ialah pelancaran sambutan ulang tahun merdeka dan kempen Jalur Gemilang pada 17 Ogos di Melaka; program keagamaan pada 24 Ogos di seluruh negara dan sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Stadium Merdeka.

Turut diadakan ialah perbarisan merdeka pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan penutup perayaan pada 16 September di Kuching, Sarawak.

Rais menambah, para waris tokoh sejarah negara seperti Sir Henry Gurney, Sir Jeneral Gerald Templer dan J.M Garlic akan dijemput bagi menghargai sumbangan mereka dalam membantu kemerdekaan negara.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4tMdJvbee
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 19 September 2017

Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

Ahad, 14 Mei 2017 | 7:42am
Oleh Datuk Wan Mohd Mahyiddin
 
ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.

Usahanya yang gigih meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa terulung di negara kita tatkala penjajahan British cuba menghalang pelaksanaannya. Beliau menulis buku karang-mengarang Melayu untuk diketengahkan kepada masyarakat dan menjadi rujukan pelajar dan pendidik.

Beliau bukan sahaja tokoh sarjana tetapi seorang penganalisis mengenai peradaban orang Melayu dalam semua aspek iaitu perkembangan agama, kemiskinan ekonomi, ancaman politik dan unsur yang menyebabkan kemunduran. Beliau adalah penterjemah buku bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di samping menulis rencana dalam akhbar.

Dalam keadaan negara berada di bawah penjajahan, beliau seorang nasionalis yang mendedahkan tindakan penjajah yang bakal melemahkan orang Melayu. Beliau seorang tokoh bangsa Melayu yang berusaha menjadi bangsanya lebih baik. Zaaba adalah keturunan Bugis-Minangkabau yang lahir pada 1895 di Batu Kikir, berhampiran Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bercorak nasional, persatuan Melayu yang lain adalah bersifat negeri. Zaaba menyertai Pergerakan Melayu Selangor pada 1935 dan memegang jawatan Yang Dipertua selepas Tengku Ismail Tengku Muhammad Yassin meninggal.

Buka fikiran Melayu

Zaaba didapati amat radikal dengan kefahaman kebangsaan dan fahaman agama seperti tersiar dalam Hadiah Kebangsaan yang diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi. Ia memperkenalkan kemiskinan dalam masyarakat Melayu disebabkan adat lama seperti fahaman tahyul yang mereka warisi. Beliau mahu membuka fikiran orang Melayu untuk mencari kemajuan, yakni mengubah nilai budaya ke arah lebih baik.

Tujuan Zaaba adalah untuk memperbaiki keadaan orang Melayu selepas mendedahkan kekurangan mereka. Beliau sendiri tidak menyenangi tulisan Abdullah Munshi, yang terlalu mengagungkan orang Inggeris seolah-olah tiada cacat-cela mereka itu. Beliau adalah pelopor dalam bahasa dan persuratan Melayu, teori karang mengarang, tata bahasa serta kae-dah ejaan Jawi dan Rumi. Sekiranya tiada Zaaba, kita tidak akan bersua dengan ejaan moden dalam tulisan Jawi dan Rumi.

Selepas tamat Perang Jepun, Harold MacMichael datang untuk mengambil tandatangan Raja-Raja Melayu bagi menyerahkan negeri mereka di bawah rancangan Malayan Union. Orang bukan Melayu akan diberi kerakyatan melalui dasar yang liberal. Kepada orang Melayu, ini adalah 'pukulan maut' yang dibawa British. Malah ada bekas pentadbir British di Tanah Melayu yang bangun menentang rancangan ini. Ini adalah satu volte-face (keterbalikkan sepenuhnya) yang akan menguburkan orang Melayu sebagai satu bangsa.

Daripada sifat kenegerian masing-masing, orang Melayu mula bersatu. Zaaba menghubungi Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung, Datuk Onn Jaafar dan Yang Dipertua Ikatan Melayu, Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang, bagi memulakan penentangan terhadap Malayan Union. Tetapi usaha beliau tidak mendapat sambutan, kata Tan Sri Abdul Samad Idris, dalam bukunya 25 Tahun Merdeka.

Zaaba melalui pergerakannya menghantar telegram kepada Setiausaha Tanah Jajahan British menyatakan bantahan terhadap Malayan Union. Zaaba berjaya mendapatkan kedua-dua tokoh berkenaan untuk bangun menentang gagasan ini. Dalam jiwa raganya Zaaba sudah berfikir akan membuat sesuatu bagi menggagalkan Malayan Union. Pergerakan dan kesatuan orang Melayu berhimpun di Kongres di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada 1 hingga 4 Mac 1946. Di hadapan wakil, Datuk Onn dipilih sebagai pengerusi, manakala Zaaba menjadi setiausahanya tetapi tiada nama Zaaba tercatat walaupun beliau mewakili Pergerakan Melayu Selangor.

Penubuhan UMNO

Di hadapan wakil, Datuk Onn mencadangkan penubuhan United Malay Organization (UMO) tetapi Zaaba membuat pindaan dengan menambah perkataan 'kebangsaan' untuk menjadi pertubuhan ini 'United Malays National Organisation' (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menunjukkan ia bersifat nasional (bukan negeri). Dalam kongres ini, ia mengambil ketetapan untuk memulaukan istiadat melantik Gabenor Malayan Union dan memohon Raja-Raja Melayu supaya tidak menghadirinya.

Dengan pelaksanaan Malayan Union, hak Raja-Raja Melayu akan hilang dan taraf bangsa Melayu dikurangkan. Sebagai anak watan, Zaaba dalam ucapannya meminta kuasa lebih diberikan kepada orang Melayu. Jika perundingan gagal, kata Zaaba alamat berperanglah. Ini satu bayangan ancaman akan berlaku di antara kedua-dua pihak.

Kongres mengambil ketetapan satu badan menggubal undang-undang tubuh UMNO terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang dan Datuk Nik Ahmed Kamil. Bagi meneruskan perjuangan, satu mesyuarat diadakan di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946 dan UMNO tertubuh dengan rasminya dengan mesyuarat menerima piagam atau undang-undang tubuh UMNO.

Datuk Onn dipilih sebagai Yang Dipertua dan Datuk Panglima Bukit Gantang sebagai setiausaha agung yang pertama dalam parti ini. Berikutnya satu jawatankuasa terdiri daripada pemimpin UMNO, wakil Raja Melayu dan British berbincang bagi menukarkan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Raja-Raja Melayu akan kembali ke kedudukan asal mereka dan hak istimewa orang Melayu dikekalkan.

Tanah Melayu tidak menjadi koloni British dan digantikan dengan nama 'Persekutuan'. Sebuah jawatankuasa mengenai kerakyatan untuk penduduk Tanah Melayu, ditubuhkan. Sebagai pejuang nasionalisme, tugas Zaaba menentang Malayan Union selesai dan tidak perlu lagi berada di hadapan. Sebenarnya Zaaba lebih minat menulis mengenai pelbagai aspek kehidupan dan peradaban orang Melayu. Ia lebih sebagai penulis daripada seorang pemimpin. Mungkin tidak ada karya besar jika beliau menumpukan masa sebagai pemimpin.

Lagipun Zaaba bukan seorang pemidato, beliau akui dan kesihatannya tidak berapa baik. Pada 1947 beliau dihantar ke London sebagai pensyarah bahasa Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Timur dan Afrika. Zaaba selaku orang yang gigih mencari ilmu ketika di London, belajar dan mendalami bahasa Arab, Belanda dan Sejarah. Beliau mengambil peperiksaan akhir dalam ilmu ini selepas kembali ke tanah air pada 1950.

Zaaba dilantik menjadi pensyarah kanan di Jabatan Universiti Malaya di Singapura pada November 1952 (sebelum mendapat Ijazah dari Universiti London). Atas usahanya dalam bahasa dan persuratan, Zaaba digelar Raja Bahasa Melayu Moden. Dalam Kongres Bahasa Persuratan Melayu Ketiga pada 1956 di Johor Bahru, beliau diberi gelaran 'Pendeta' dan kemudiannya Doktor Kehormat dianugerahkan oleh Universiti Malaya.

Zaaba sangat merendah diri dan tidak mahu gelaran seperti ini tetapi masyarakat Melayu mengiktiraf seorang sarjana yang wujud dalam kalangan mereka.

Profil: Zainal Abidin Ahmad

Lahir pada 16 September 1895

Anugerah diterima

- 1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga

- 1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya

-1962: Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri

-1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti

Kebangsaan Malaysia

*Penulis adalah Bekas Ketua Pegawai Penyelidik UMNO
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 14 Mei 2017 | 7:42am

Menghayati tarikh keramat kemerdekaan

Selasa, 19 September 2017 | 10:28am
 
TUNKU Abdul Rahman ketika mencapai kemerdekaan. - Foto NSTP.
Menghayati tarikh keramat kemerdekaan
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Kongsi artikel
Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Dakwaan bahawa Tanah Melayu terjajah melalui kejatuhan Kota Melaka pada tahun 1511 dan pelaksanaan doktrin nasihat seawal pengenalan Perjanjian Pangkor 1874 mudah diketepikan.

Ini kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu sudah disahkan dalam beberapa kes sebelum pendudukan Jepun pada 1941, selain perbahasan yang dikemukakan dalam Kanun Melaka Perlembagaan Tanah Melayu (Berita Harian 25 Februari 2017), Takrifan Kedaulatan Negara (Berita Harian 5 Julai 2017) dan Perkara 181(1) Perkukuh Kedaulatan Raja (Berita Harian 13 Julai 2017).

Malah, pendudukan Jepun itu sendiri tidak melucutkan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebaliknya merampas kedudukan British dalam hal-ehwal Tanah Melayu. Ramai dalam kalangan warga Malaysia percaya bahawa Tanah Melayu terjajah apabila sembilan Raja-Raja Melayu menandatangani perjanjian dengan Sir Harold MacMichael pada 1945 ('Perjanjian MacMichael').

Justeru Hari Kebangsaan diraikan sejak 1957 itu dianggap tarikh keramat kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British, walaupun dalam laporan British-Malaya dan banyak kajian lalu, menunjukkan pendudukan British itu hanya bersifat satu campur tangan.

Menurut Porter dan Stockwell (1987-89), Perjanjian MacMichael itu dilaksanakan hasil rundingan semula dasar British bagi Tanah Melayu bermula seawal 1942.

Dasar sebelum Perang Dunia Kedua dilihat menyulitkan British untuk mengukuhkan pertahanan luar dan menyatukan penduduk Tanah Melayu yang tidak lagi didiami oleh orang Melayu sahaja. Justeru, Malayan Planning Unit ditubuhkan untuk merangka sebuah perlembagaan masa depan bagi Tanah Melayu yang menimbangkan pelbagai pandangan berbeza daripada pegawai British-Malaya.

Bidang kuasa British adalah terhad

Akhirnya, pada 31 Mei 1944, dasar baharu British bagi Tanah Melayu diluluskan dan Harold Mac Michael dilantik pada akhir 1944 untuk melaksanakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu.

Rundingan itu berjaya mendapatkan bidang kuasa terhad British daripada Raja-Raja Melayu bagi membolehkan British menggubal sebuah perlembagaan Tanah Melayu melalui paksaan Harold Mac Michael yang berunsur ugutan.

Matlamat utama Perjanjian Mac Michael yang menjadi punca kuasa kepada British dalam hal ehwal Tanah Melayu terkandung dalam perjanjian 'preamble' itu sendiri, iaitu, Whereas it is expedient to provide for the constitutional development of the Malay States under the protection of His Majesty and for the future government of the State. Ia jelas tidak menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu kerana status 'Negeri-negeri Melayu di bawah perlindungan British' masih kekal.

Kerajaan British, shall have full power and jurisdiction within the State dalam ruang lingkup yang dinyatakan oleh perjanjian 'preamble' MacMichael.

Keperluan itu timbul kerana Kerajaan British mendapati perjanjian yang lalu dengan Raja-Raja Melayu tidak pernah memberi bidang kuasa kepada pihak British dalam hal ehwal kerajaan-kerajaan Melayu seperti terkandung dalam Plans for Constitutional Reconstruction in the Far East 1943.

Tidak serah kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam

Kenyataan-kenyataan di atas secara tuntas menafikan berlakunya penjajahan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874.

Selain itu, Perjanjian MacMichael itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu atas sebab berikut:

Perjanjian MacMichael itu tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan kerajaan-kerajaan Melayu yang menetapkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.

Justeru, baginda-baginda ditegah dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyerahkan kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam, atau secara alternatifnya orang bukan Islam.

Perjanjian MacMichael itu tidak sah kerana terdapat unsur-unsur paksaan (duress).

Perjanjian MacMichael ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, sebahagian mereka tanpa kelulusan pembesar kerajaan-kerajaan Melayu yang dipanggil sebagai 'ahlul hilli wal 'aqdi.'

Bahkan, dari sudut bentuk kerajaan Malayan Union itu sendiri, ia didapati bercanggah dengan Perjanjian MacMichael.

'Preamble' Perjanjian MacMichael adalah asas persetujuan antara Raja-Raja Melayu dengan Raja England untuk menggubal sebuah perlembagaan moden bagi persekutuan kerajaan-kerajaan Melayu secara interim (sementara) di bawah perlindungan British sehingga bebas sepenuhnya daripada nasihat British tanpa melucutkan kedaulatan raja-raja di dalam negeri baginda.

Susulan daripada Perjanjian MacMichael, maka pentadbiran Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946.

Oleh kerana Malayan Union dilihat oleh orang Melayu sebagai satu bentuk pemerintahan baharu yang melucutkan kuasa raja-raja dan menggugat hak keistimewaan orang Melayu, maka bantahan besar-besaran di seluruh Tanah Melayu dibuat sehinggalah Malayan Union dibatalkan.

Malayan Union ditentang oleh raja-raja dan orang Melayu kerana bentuk kerajaan Malayan Union yang diluluskan oleh Parlimen British adalah bercanggah dengan perjanjian tempatan dengan pihak British.

Perjanjian MacMichael juga disifatkan sendiri oleh sebahagian bekas pegawai-pegawai tinggi British-Malaya di Tanah Melayu sebagai memperkecilkan kedudukan istimewa orang Melayu yang sekian lama dilindungi sebelum tercetusnya peperangan.

Atas fakta sejarah perundangan Tanah air, kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 sewajarnya dihayati dan dirakam sebagai kelahiran sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang bebas daripada campur tangan British-Malaya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 19 September 2017 | 10:28am

Jumaat, 8 September 2017

Menyorot Perjanjian Pangkor 1874

Sabtu, 9 September 2017 | 5:58am
 
GAMBAR yang dirakam pada tahun 1875 menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois (duduk tengah) merupakan Gabenar Baharu menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri; Dr. Anderson, Kapten Innes, Mejar F McNair, Lt. Henry Mc Callum, J.W.W. Birch, W. Knaggs (memakai suit terang), Kapten Speedy dan Frank Sweethenham. (Sumber: Akib Negara Malaysia)
Menyorot Perjanjian Pangkor 1874
Oleh Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
bhrencana@bh.com.my         

Dalam suasana kegembiraan kita menyambut Ulang Tahun Ke-60 Hari Kemerdekaan, barangkali satu kewajaran untuk kita menyoroti isu yang dekat dengan maksud Hari Kemerdekaan. Pandangan popular ada mendakwa Kerajaan Melayu mula terjajah apabila doktrin nasihat diperkenalkan seawal Perjanjian Pangkor 1874. Doktrin nasihat bermaksud Raja Melayu dikehendaki mendapatkan nasihat pegawai British dan bertindak di atas nasihat berkenaan.

Justeru, ada pandangan merumuskan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat, kedaulatan Raja-Raja Melayu berubah menjadi satu fiksyen, bersifat budaya yang melambangkan identiti politik semata-mata tanpa kekuasaan sebenar. Neraca yang diguna adalah kedaulatan pada pemikiran Barat, iaitu kuasa agung bersifat mutlak, bebas, merdeka tanpa kawalan pihak yang lebih tinggi daripadanya.

Perbahasan doktrin nasihat dalam rencana ini adalah bersumberkan Fasal 6 Perjanjian Pangkor. Ia menyatakan bahawa Sultan Perak hendaklah menerima seorang Residen British yang nasihatnya hendaklah diminta, dan Sultan perlu bertindak menurut nasihat dalam semua persoalan melainkan perkara menyentuh agama Islam dan adat. Kebenaran dakwaan Fasal 6 Perjanjian Pangkor 1874 melucutkan kedaulatan Sultan Perak dan prinsip yang sama terkesan ke atas Raja-Raja Melayu, perlulah dirujuk pada peruntukan perjanjian antara Kerajaan Melayu Perak dan Kerajaan Melayu dengan Kerajaan British.

Demografi hubungan antara Kerajaan Melayu dengan Kerajaan British ditakrif melalui perjanjian, bukan akibat selepas peperangan. Satu aspek penting yang sehingga kini diabaikan apabila membahaskan implikasi Perjanjian Pangkor, Kerajaan Melayu Perak sudah memiliki perlembagaan, seawal Hukum Kanun Melaka dan diperkukuhkan lagi dengan Undang-Undang 99 Perak.

Perjanjian Pangkor sekiranya diperhatikan secara tersurat pada hakikatnya membuktikan wujudnya perhubungan diplomatik antarabangsa dan pengiktirafan bahawa Sultan Perak adalah seorang pemerintah yang berdaulat. Dari sisi prinsip undang-undang yang sudah mantap, Perjanjian Pangkor tidak boleh mengatasi Perlembagaan Kerajaan Perak sebagai undang-undang tertinggi. Apatah lagi prinsip yang dikembangkan sejak Perjanjian Keamanan Westphalia 1648 tidak membenarkan pencerobohan ke atas kedaulatan negara lain.

Komitmen British lindungi Kerajaan Melayu Perak

Dari sudut objektif Perjanjian Pangkor, ia terkandung dengan jelas seperti berikut:

Keadaan huru-hara dan kacau bilau mengakibatkan keperluan kepada: pertama, sistem politik mantap dalam Kerajaan Melayu Perak. Kedua, kuasa berkesan bagi perlindungan rakyat dan jaminan keberhasilan perusahaan.

Angka besar keturunan Cina dan jumlah pelaburan besar oleh rakyat British juga lain-lain pemastautin wilayah milik Kerajaan British yang terbabit dengan perusahaan perlombongan timah: situasi kawasan lombong dan harta yang tidak dilindungi sepenuhnya, berlakunya aktiviti pelanunan, kes pembunuhan dan jenayah pembakaran secara berleluasa di dalam negeri mengakibatkan kerugian kepada perdagangan dan kepentingan British, begitu juga ancaman kepada keamanan Negeri-Negeri Selat.

Pengakuan sebahagian pembesar yang tidak berupaya lagi untuk menangani masalah semasa dan permintaan bantuan daripada pihak berkepentingan dalam perusahaan di dalam negeri.

Komitmen Kerajaan British dalam perjanjian dimeterai untuk melindungi Kerajaan Melayu Perak dan membantu pemerintah.

Penyataan di atas amat penting dan perlu dilihat dalam konteks konsep dan prinsip pelaksanaan doktrin nasihat dalam Perjanjian Pangkor. Bahkan, sekiranya dilihat daripada tradisi pemerintahan kerajaan Melayu, pemerintahan atas nasihat atau rulers in council bukan baharu. Malah, Islam sendiri menuntut amalan syura dalam pemerintahan negara.

Jelasnya, Perjanjian Pangkor tidak memberi kuasa mutlak kepada Residen British untuk mengenakan paksaan sehingga boleh menghilangkan kedaulatan Sultan Perak atau kerajaan baginda. Ini adalah kerana pengenalan doktrin nasihat bertujuan untuk menguruskan sebab dan objektif yang dinyatakan dengan tersurat, dan ia mendahului semua terma lain dalam Perjanjian Pangkor.

Had bidang nasihat residen

Selain itu, Fasal 6 Perjanjian Pangkor mengehadkan bidang nasihat residen selain daripada perkara yang menyentuh agama Islam dan adat Melayu. Pengecualian itu memberi satu signifikan besar kerana takrifan Islam dan adat Melayu itu amat luas.

Dari sudut lain, suatu nasihat yang dipaksakan demi keselamatan dan keuntungan bersama, tidak wajar ditakrifkan sebagai satu penjajahan walaupun ada unsur indirect rule. Campur tangan British di Perak adalah tertakluk pada Perjanjian Pangkor dan Perjanjian Pangkor itu tertakluk pada Perlembagaan Kerajaan Melayu Perak.

Ringkasnya, walaupun Sultan Perak dikehendaki bertindak atas nasihat residen namun tugas asasi residen adalah untuk memberikan nasihat, bukannya memerintah. Posisi itu adalah dasar British yang dinyatakan dengan jelas kepada residen di Tanah Melayu.

Atas landasan sama, pelaksanaan dasar-dasar British, termasuk 'common law' sewajarnya dibataskan pada sumber kuasanya, iaitu Perjanjian Pangkor. Akhirnya, konsep kedaulatan Sultan Perak itu juga hendaklah disoroti menurut kerangka watan, bukanlah prinsip asing seperti ditegaskan dalam keputusan Kes Re: Yap Kwan Seng's Will (1924).

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 9 September 2017 | 5:58am