Khamis, 31 Ogos 2017

WAN RAHIMI WAN MOKHTAR DARI TANJUNG LUMPUR BERJIWA PATRIOTIK

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

      Menurut Kamus Dewan, patriotisme bermaksud perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Seseorang yang mempunyai  semangat patriotik sanggup mempertahankan kedaulatan negaranya dari ancaman musuh.[1] Mereka yang digelar pembela negara ini akan menyambut kemerdekaan dengan penuh bersemangat serta tidak berkira untuk menghias premis kediaman dengan bendera, replika, pintu gerbang dan hiasan kereta dan rumah kediaman secara keatif untuk menzahirkan semangat cintakan negara.

      Setiap tahun sejak tahun 2008 Wan Rahimi akan menghias kedai makannya dengan pelbagai saiz bendera. Ini kerana  Ogos adalah bulan yang sangat sinonim dengan upacara atau aktiviti yang bertemakan patriotisme atau kenegaraan. Kibaran jalur gemilang di rumah, premis perniagaan, pejabat kerajaan dan kenderaan sudah pasti kelihatan meriah ketika ini mengikut kreativiti masing-masing bagi mewujudkan suasana kemerdekaan negara tercinta.[2]

      Wan Rahimi tidak bekelulusan tinggi, tetapi mempunyai jiwa patriotik yang kental. Beliau sanggup menghabiskan RM3000.00 untuk menghias kenderaan dan Kedai Makannya yang terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan.[3]Pada tahun ini beliau turut menjadi peserta Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan Negeri Pahang. Menurut beliau semangat cintakan negara telah tersemai di dalam dirinnya sejak kecil lagi apabila  sering didedahkan dengan semangat patriotisme oleh kedua ibu bapanya.[4]





[1] Kamus Dewan Edisi Ketiga, (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka,1994),987.
[3] http://m.utusan.com.my/rencana/utama/ilmu-patriotisme-benteng-pertahanan-negara-1.521083
[3] Temubual dengan Wan Rahimi Wan Mokhtar pada 30 Ogos 2017.
[4] Ibid.

BERSATULAH MELAYU

 
Mohd. Yussof Latiff
KEDUDUKAN Islam sebagai agama rasmi dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang tercabar akibat perpecahan orang Melayu yang ghairah berpolitik. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
 
31 Ogos 2017 12:00 PM
SALAM sejahtera dan salam merdeka. Tarikh 31 Ogos 2017 adalah hari yang penuh bersejarah dan adalah hari keramat yang hendaklah dikenang dan dirayakan oleh rakyat Malaysia berbilang kaum yang cintakan negara ini dan khasnya bangsa Melayu sebagai hari yang memerdekakan negara yang tercinta ini daripada cengkaman penjajah.

Sempena menyambut Hari Kebangsaan 2017 ini saya terpanggil untuk memberi pendapat menerusi pengalaman dan penglibatan saya dalam gerakan ­menuntut kemerdekaan negara sejak 1946 lagi khasnya mengenai kehebatan yang diperjuangkan oleh bangsa Melayu.

Hakikatnya, pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu bermula daripada hasil penyatuan bangsa Melayu.

Dengan penyatuan bangsa Melayu, kita telah memerdekakan negara ini, yakni Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia.Dengan teras penyatuan bangsa Melayu, kita telah membina negara ini dengan jayanya.

Dengan penyatuan bangsa Melayu juga, ia tidak berniat dan tidak akan menafikan hak semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia seperti mana yang dipersetujui dalam perjanjian kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum yang mengakui taat setia yang tidak ber­belah-bahagi kepada negara ini.

Dengan berpegang teguh kepada konsep penyatuan bangsa Melayu juga, seterusnya adalah asas kekuatan perpaduan, kestabilan politik dan kemakmuran negara untuk semua kaum yang tinggal di negara tercinta ini.

Bangsa Melayu telah banyak bertolak ansur dan mengorbankan hak-hak mereka kepada kaum-kaum lain di negara ini demi mencapai kemerdekaan negara.

Kebahagiaan negara, kestabilan politik dan kemakmuran rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum berteraskan kepada penyatuan bangsa Melayu.

Kini, bukan sahaja negara yang tercinta ini teruji dan tercabar, bahkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang teruji dan tercabar akibat dari perpecahan orang Melayu yang ghairah berpolitik

Menerusi perayaan ulang tahun ke-60 pada 2017, marilah kita menyambut Hari Kebangsaan yang tercinta ini dengan hasrat dan niat serta berdoa ke hadrat Allah SWT supaya orang-orang Melayu bersatu semula tanpa mengira fahaman pegangan ideo­logi dan latar belakang politik bagi mewujudkan semula simbol ketuanan bangsa Melayu di negara ini.

Ini sebagaimana seruan “Bersatulah kita orang Melayu seperti mana kita pernah bersatu.

Sebagaimana kita berjaya mencapai kemerdekaan negara kita.”

Apalah sangat untuk me­mentingkan kedudukan, martabat, pangkat, jawatan dan fahaman kerana semuanya ini hanya sementara.

Kembalilah ke pangkal untuk kita bangsa Melayu bersama-sama membuktikan bahawa kita adalah suatu bangsa yang bermaruah, bermartabat dan bersatu padu.

Justeru, akan terbina suatu benteng kekuatan bangsa yang kukuh yang tidak boleh diganggu dan digugat oleh sesiapa pun.

Untuk mengenang sejarah dan erti kemerdekaan, generasi muda masa ini perlu dan wajib diberi pengertian bahawa pencapaian kemerdekaan negara ini bukan datang secara bergolek.

Banyak pengorbanan dari segi tenaga, harta benda, wang ringgit mahupun nyawa yang telah dilakukan dan telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan pembela tanah air termasuklah angkatan bersenjata dan polis untuk menentang musuh dari dalam dan luar negara.

Atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu khas­nya pe­mim­pin tersohor, Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan dibantu secara jujur dan ikhlas oleh pemimpin-pemimpin lain seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Cheng Lock, mendiang Tun Kolonel H.S. Lee, mendiang Tun Tan Siew Sin, mendiang K.L Devaser dan mendiang Tun Sambanthan telah membawa kemerdekaan negara ini menerusi perundingan dengan penjajah Inggeris.

Namun di antara Almarhum Tunku, terdapat ramai lagi tokoh besar dan kecil sebagai pejuang dan pembebas tanah air ini daripada cengkaman penjajah dan anasir-anasir jahat, dengan nama-nama mereka tertinggal dalam catatan tinta emas lipatan sejarah.

Kita hanya berserah kepada Allah SWT Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui dan semoga Allah merahmati perjuangan dan roh-roh mereka sebagai ­pembela watan dan dihimpun bersama para syuhada dan solihin. Amin.

TAN SRI MOHD. YUSSOF LATIFF ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).
SUMBER- http://m.utusan.com.my/rencana/utama/bersatulah-melayu-1.521081

Jumaat, 4 Ogos 2017

Mencanai jiwa merdeka ulul-albab

ARKIB : 27/08/2006
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Khamis ini kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-49. Dalam usia kemerdekaan yang masih boleh dianggap terlalu muda ini, pastilah memerlukan setiap warga untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai secara objektif akan makna kemerdekaan sebenar.

Yang pasti hari kemerdekaan yang disambut saban tahun bukan sekadar rutin tahunan tanpa makna dan haluan. Ia juga bukan setakat upacara riuh-rendah pengibaran Jalur Gemilang tanpa tujuan. Lebih malang lagi jika hari penuh bersejarah ini hanya dipenuhi dengan gegak-gempita pesta-pestaan yang tercabut akar budaya dan nilai-nilai keagamaan.

Persoalannya apakah selepas 49 tahun merdeka, rakyat benar-benar bebas daripada belenggu kongkongan dan penjajahan? Apakah kemerdekaan yang ditebus daripada penjajah Barat benar-benar telah membenamkan saki-baki jiwa hamba dalam diri setiap warganegara?

Dari satu sudut, masyarakat hari ini boleh dianggap bebas daripada belenggu penjajahan fizikal, namun jiwa dan pemikiran mungkin masih lagi terbelenggu dan terjajah. Penjajahan Barat yang berlangsung lebih 400 tahun rupa-rupanya telah berjaya membiakkan sejenis penyakit jiwa hamba di kalangan sebahagian umat kita.

Jiwa hamba yang masih mencengkam inilah yang membuka jalan kepada proses penjajahan budaya hingga lahirnya generasi pengagum budaya bekas tuannya. Ketaksuban mendaulatkan budaya asing telah merubah keperibadian mereka kepada gaya hidup hedonistik melampau, keseronokan rakus, hiburan melulu hingga mengakar sikap materialistik dan individualistik dalam diri.

Natijahnya lahirlah manusia-manusia sintetik (tiruan) yang terhakis jati diri dan terputus akar budaya Melayu-Islam. Pemikiran dan perawakan lebih bercitrakan Barat hingga membudaya gaya hidup sintetik dalam pelbagai bidang - muzik, filem, fesyen dan lain-lain. Apa sahaja yang didatangkan dari Barat dianggap memenuhi citra kemodenan sebaliknya budaya sendiri diremehkan.

Tidak hairanlah jika hari ini wujud sikap memperlekehkan budaya hatta bahasa sendiri lantaran terlalu taksub pada pemikiran, gaya hidup dan cita rasa keinggerisan. Budaya yang tidak lagi berakar kepada akidah turut menatijahkan pelbagai gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang serius di kalangan muda-mudi.

*Membunuh

Anak tidak lagi menghormati orang tua, pelajar mengugut guru, malah ada remaja yang sanggup membunuh atau mencederakan sesiapa sahaja yang didendami demi memuaskan gelodak nafsu yang tidak terbimbing dengan norma tauhid dan nilai-nilai keislaman sejati.

Menyedari kegawatan inilah maka usaha mencanai jiwa merdeka harus disemarakkan di kalangan generasi muda kini. Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu mahalnya harga maruah dan martabat hingga sanggup mempertahankannya. Bangsa berjiwa merdeka juga adalah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah, tanpa diperintah.

Pembentukan jiwa merdeka harus dimulai dengan pembentukan generasi berteraskan doktrin tauhid yang luhur. Umat Islam yang telah menjalani indoktrinasi tauhid pasti bebas daripada belenggu jiwa hamba. Ini kerana pengesaan kepada Tuhan bererti secara sedar ia telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Ia sekaligus melahirkan sebuah generasi berorientasikan keilmuan yang cukup dinamik yang bukan sahaja memiliki ketajaman fikiran malah hati mereka sentiasa terpaut pada ingatan akan kebesaran Allah (zikrullah).

Integrasi antara unsur fikir dan zikir inilah yang merangsang jiwa merdeka dalam diri setiap individu. Generasi ini diistilahkan al-Quran sebagai generasi ulul-albab iaitu generasi yang terbina di atas asas keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis. Allah turut menukilkan sifat generasi ini di dalam al-Quran: Mereka itu yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191).

Pembentukan generasi ulul-albab yang menyepadukan unsur-unsur ketuhanan dan nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran ini jugalah yang pernah meletakkan umat Islam dalam lembaran sejarah sebagai pelopor kemajuan sains dan pelbagai cabang ilmu selama beratus-ratus tahun lamanya.

Justeru dalam era globalisasi yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai pengaruh budaya luar kini, usaha bersepadu harus disasarkan ke arah penjanaan modal insan berjiwa merdeka dan berorientasi ulul-albab. Tanpa jiwa merdeka, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Tanpa ciri-ciri ulul-albab pula, negara tidak akan mampu menjelmakan sebuah bangsa berdaya juang dan berdaya saing bagi mendepani cabaran semasa.

Akhirnya yang tinggal hanyalah sebuah bangsa berkualiti buih yang rapuh dan tidak kekal lama sebagaimana terungkap dalam al-Quran: Ada pun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; ada pun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (Ar-Ra’d: 17)
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4olx418M8

© Utusan Melayu (M) Bhd