Selasa, 21 Ogos 2018

Nyawa Pak Din hampir melayang

 MUHAMMAD NORDIN TUAH menunjukkan gambar kenangan ketika menyertai tentera serta kad pesara tentera m
 MUHAMMAD NORDIN TUAH menunjukkan gambar kenangan ketika menyertai tentera serta kad pesara tentera miliknya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak, Teluk Intan, Perak, semalam.
21 Ogos 2018 3:00 AM

TELUK INTAN 20 Ogos – Hari Kebangsaan yang disambut pada setiap 31 Ogos mungkin tidak begitu membawa makna bagi sesetengah rakyat khususnya golongan muda.

Namun, bagi pesara tentera, Muhammad Nordin Tuah, 78, atau lebih mesra dipanggil Pak Din, nyawanya hampir mela­yang ketika menentang komunis pada 8 Mac 1979 demi mempertahankan kedaulatan negara yang dibentuk pada tarikh keramat tersebut.

Bagi Muhammad Nordin, bukan mudah untuk negara mencapai kemerdekaan, namun lebih payah untuk mempertahankan kemerdekaan itu selepas pelbagai ancaman termasuk komunis masih bermaharajalela.

Menurut bekas Sarjan Bata­lion ke-14 Rejimen Askar Me­layu Diraja (RAMD) ini, dia tidak pernah melupakan detik cemas berhadapan komunis di Kroh, Perak yang kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu itu.

“Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi ketika kami berkonvoi dengan menaiki tiga buah kenderaan dari Pekan Kroh menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan makanan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, saya tidak sempat beri amaran kepada rakan lain yang berada di belakang kami dan saya lihat mereka sudah ter­kena tembakan. Saya juga turut terkena tembakan di tangan, perut dan peha,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Tambah Muhmamad Nordin, tanpa berasa takut dan gentar beliau kemudiannya mencapai senapang dan terus berdiri dan menjerit Allahuakbar beberapa kali sambil melepaskan tembakan.

“Ketika itu saya sudah tidak fikirkan nyawa sendiri, apa yang penting komunis perlu dihapuskan dan bekalan makanan perlu selamat daripada dirampas mereka.

“Saya sendiri tidak tahu mana datang semangat untuk berdiri dalam keadaan cedera parah dan melawan musuh ketika itu,” katanya yang terkena lima das tembakan tepat selain serpihan peluru dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, selepas pihak musuh melihat dia menjerit Allahuakbar sambil melepaskan tembakan mereka terus melarikan diri ke dalam hutan.

Tambah Muhammad Nordin, dua rakannya terkorban dalam pertempuran itu, manakala lima lagi termasuk dirinya ce­dera dan diterbangkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

Kata beliau, meskipun peluru di tangan, perut dan peha telah dibuang melalui beberapa pembedahan selepas kejadian itu, namun masih terdapat sebutir lagi peluru di pehanya yang masih boleh dirasai jika ditekan menggunakan jari.

Ditanya sama ada beliau trauma atau tidak selepas serangan itu, Muhammad Nordin berkata, perkataan trauma tiada dalam kamus hidupnya malah dirinya cukup bersyukur kerana diberi peluang untuk bertempur de­ngan komunis demi tanah air.

“Bukan senang untuk kita mencapai kemerdekaan malah banyak nyawa yang telah terkorban demi mempertahankannya. Kemakmuran dan keamanan yang negara kecapi sekarang bukan datang de­ngan sendiri, Jadi hargailah dan berusahalah untuk terus mempertahankannya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/nyawa-pak-din-hampir-melayang-1.733049#ixzz5OoYzOaZR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 4 Disember 2017

MENJELANG MERDEKA...

ARKIB : 30/08/2008
 
TUANKU Mizan Zainal Abidin membaca surah yasin bersama Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak pada majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara, malam tadi. – Gambar HAFIZH KHOSMAT

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-51 Ahad ini, satu majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat diadakan di Masjid Negara malam tadi.

Majlis itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz50LL6fEdH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 14 Oktober 2017

Akhbar peniup nasionalisme

ARKIB : 30/08/2007
Oleh AZMAN IBRAHIM (WARTAWAN UTUSAN)
Shaharom Hussain.

PERTEMUAN singkat iaitu hampir dua jam dengan tokoh pendidik, sejarah, dan budaya Johor, Dr. Shaharom Hussain di kediaman anaknya di Taman Berlian, Batu Caves, Selangor baru-baru ini banyak memberi pengalaman baru dan menerjah pandangan terhadap beberapa peristiwa perjuangan kemerdekaan negara pada 50 tahun yang lalu.

Sepanjang perbualan dengannya yang masih kuat dan berpenampilan kemas, beliau ternyata tidak pernah lupa mengenai perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan.

Malah, beliau turut memuji peranan akhbar Utusan Melayu yang dikatakan menjadi perintis kepada usaha untuk memerdekakan negara.

Dr. Shaharom bukan sahaja tokoh pendidik, malah beliau merupakan sejarawan dan pernah aktif membabitkan diri dalam bidang penulisan sejak tahun 1920-an lagi.

Anak jati Batu Pahat, Johor ini juga tidak lokek berkongsi pandangan dan pengalamannya tentang kemerdekaan negara, apatah lagi mengenai Utusan Melayu.

Pada usia 88 tahun itu, beliau masih jelas mengingati detik-detik sejarah perjuangan menuntut sehingga membawa kepada kemerdekaan negara.

Dr. Shaharom pernah menempuh pahit maung bersama-sama dengan pejuang negara sebelum merdeka. Beliau merupakan bekas penuntut dan tenaga pengajar di Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.

Akhbar Utusan Melayu, katanya, banyak jasa kepada negara. Selain menjadi penyebar fikiran rakyat, akhbar ini juga menjadi ‘lidah’ perjuangan kepada para pemimpin untuk menuntut kemerdekaan negara sehingga ia berjaya direalisasikan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Menurutnya, akhbar Utusan Melayu paling lantang memainkan isu kemerdekaan selain isu perpaduan kaum dan menuntut hak-hak rakyat pada awal tahun 1950-an.

Beliau memberitahu, pada waktu itu, isu yang paling hangat dan sering dipaparkan di muka depan akhbar berkenaan adalah mengenai usaha-usaha menuntut kemerdekaan dan penentangan terhadap penjajah.

Katanya, Utusan Melayu pada waktu itu satu-satunya akhbar Melayu beridentitikan jati Melayu yang mewakili suara bangsa Melayu bagi menentang penjajahan dan menuntut kebebasan.

“Sejujurnya saya katakan, Utusan Melayu dulu amat berjasa dan perjuangannya sedikit berbeza dengan sekarang. Dulu perjuangannya lebih ikhlas, lantang dan berani, tetapi sekarang Utusan Melayu bersifat komersial, sudah melalui perubahan sejajar dengan perkembangan dunia masa kini,” katanya.

Diingati

Utusan Melayu jelas Dr. Shaharom banyak melahirkan penulis agung yang banyak meninggalkan bakti dan hadirnya golongan ini memberi kesan kepada negara.

Salah seorang penulis Utusan Melayu yang paling diingati oleh Dr. Shaharom ialah Tan Sri A. Samad Ismail.

Katanya, penulisan A. Samad Ismail cemerlang, ikhlas dan lantang menyuarakan pandangan terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan maruah bangsa dan rakyat.

Mengikut sejarah, akhbar Utusan Melayu ditubuhkan di Singapura pada 29 Mei 1939. Salah satu matlamat penubuhan Utusan Melayu adalah untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyat.

Selepas penubuhan akhbar dalam tulisan jawi ini, ia berjaya menumbangkan Malayan Union dan pada waktu itu, pengasas Utusan Melayu adalah Yusof Ishak.

Menurut Dr. Shaharom, peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah dipaparkan di akhbar Utusan Melayu sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan negara adalah mengenai Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan aktivis komunis, Chin Peng di Baling, rusuhan terhadap Natrah pada 12 Disember 1950 dan yang paling besar pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, semuanya ada dalam lipatan sejarah Utusan Melayu. Beliau turut menyebut tentang Peristiwa 13 Mei 1969.

Tambahnya, beberapa tokoh penulis dan sasterawan yang dikenali dan menjadi idolanya selain A. Samad Ismail ialah pelopor akhbar Suara Rakyat di Ipoh, Perak iaitu Ahmad Boestamam (Abdullah Thani bin Raja Kechil), Zainal Abidin Ahmad (pendeta Za’ba) dan tokoh sasterawan, Harun Aminurashid.

Kalangan ini katanya, banyak memberi ilham kepadanya untuk terus berkarya dan menulis sehingga ke hujung nyawa.

“Saya akan terus menulis dan berkarya, malah, sekarang, saya sudah siap menulis mengenai tingkah laku dan peribadi manusia yang berjudul Gila Saya.

“Buku ini belum diterbitkan lagi dan ia merupakan salah satu karya saya yang terbaik untuk dikongsi bersama dengan semua,” ujar Dr. Shaharom.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4vXKmEmy9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pesanan Tunku 25 tahun lalu

ARKIB : 30/08/2007
 
BAPA Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

KETIKA negara meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, renung pesanan daripada Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang diluahkannya 25 tahun lalu melalui wawancara dengan wartawan Bernama, Zakaria A. Wahab (kini Datuk) sempena sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara. Kami siarkan kembali wawancara bertajuk ‘Kenangan Seorang Negarawan’ yang dirakam pada Ogos 1982.

– Pengarang

GENAPLAH 25 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sudah suku abad ia bebas daripada belenggu penjajahan. Sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara tentu disambut megah, bermakna dan secara besar-besaran.

Tetapi bagi seorang anak pribumi yang lahir dalam negara merdeka sambutan itu tidak ubah seperti perayaan lain jua. Tidak ada bezanya. Rasa kemerdekaan mungkin tidak pernah bertapak dalam hatinya.

Sebaliknya, pada yang pernah melalui detik-detik perjuangan untuk mengembalikan maruah negara, bangsa dan agama akan tercuit perasaannya, betapa besar dan berharganya nilai kemerdekaan negara.

Padanya segala peristiwa pahit getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air akan terus tersemat dalam sanubarinya dan menjadi kenangan selagi hayat dikandung badan.

Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berusia 80 tahun (ketika itu) adalah orang yang paling bahagia. Dalam dirinyalah tercatat segala sejarah kelahiran sebuah negara merdeka, maju, bebas dan bahagia.

Bapa Kemerdekaan inilah yang dapat menceritakan segalanya mengenai negara, dari sebelum, pada dan selepas Hari Kemerdekaan yang kini sudah menjadi sejarah tanah air. Untuk ini, beliau telah sudi diwawancara di kediamannya di Pulau Pinang.

Dalam wawancara tersebut Tunku secara terbuka mengeluarkan pendapat dan pandangannya terhadap soal-soal yang menyentuh kemerdekaan dan betapa besar ertinya kepada beliau dan rakyat negara ini.

Beliau menyorot segala perubahan yang dialami negara seperti mengenai perpaduan kaum, keselamatan, dasar memandang ke timur, hubungannya dengan British, agama, raja-raja Melayu, bangsa dan berbagai-bagai peristiwa suka duka yang kini menjadi kenangannya.

Apakah perasaan Tunku setelah 25 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sambutannya hari ini?

TUNKU: Hari Kemerdekaan adalah hari yang bermakna kepada kita kerana negara kita amat berlainan dengan negara-negara lain yang ada di dunia.

Sejarah Tanah Melayu telah menunjukkan bangsa kita sentiasa dijajah sejak dari zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun serta Siam yang menjajah negeri-negeri di utara Semenanjung.

Pihak Inggeris (British) memandang negara kita sebagai sebuah “negara yang dilimpahi susu dan madu” yang bermakna kita selama- lamanya sudah tentu akan dijajah.

Dalam keadaan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, pihak Inggeris telah pernah berkata selagi rakyat Tanah Melayu tidak boleh bersatu dan bekerjasama sesama sendiri selagi itulah kamu dijajah.

Kemerdekaan yang kamu tuntut tidak akan tercapai. Hinggakan pintu UMNO hendak dibukakan kepada kaum lain yang sudah tentu berlanggar dengan perlembagaannya.

Dengan keadaan demikian, siapa yang jadi pemimpin sudah tentu berperasaan yang negaranya, yang dipimpinnya tidak akan boleh mencapai kemerdekaan. Tetapi dengan berkat usaha dan kegigihan perjuangan rakyat yang bersatu menuntut kemerdekaan semasa itu dikabulkan juga oleh Tuhan.

Semuanya kini menjadi sejarah, sebab itu saya nampak sambutan yang dibuat bagi mengingati hari tersebut menunjukkan betapa kerajaan dan rakyat telah memulakan Hari Kemerdekaan, hari kebesaran negara kita itu.

Satu perkara yang saya hendak timbulkan di sini ialah masih belum terdapat catatan sejarah yang lengkap menunjukkan peringkat-peringkat perjuangan kita hingga mencapai kemerdekaan.

Atas kekurangan itulah saya telah meluangkan masa untuk menulis apa yang saya ingat semasa berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan supaya rakyat sendiri dapat membaca dan memahaminya dengan sebenar walaupun tidak sepenuhnya.

Apakah pencapaian yang paling penting atau yang meninggalkan kesan selama 25 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan?

TUNKU: Pencapaian yang paling penting pertamanya ialah sekarang sudah wujudnya persefahaman yang baik di antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Keduanya ialah rancangan-rancangan pembangunan yang telah kerajaan jalankan untuk memberi kesenangan kepada rakyat jelata, yang ketiganya ialah dengan tercapainya kemajuan pembangunan itu keadaan keamanan dan keselamatan negara turut tercapai dengan gilang-gemilang hingga dikagumi oleh negara-negara lain, ini yang utamanya.

Bagaimana pandangan Tunku terhadap soal perpaduan kaum, apakah ia sudah mencapai tahap yang memuaskan atau boleh dibaiki lagi?

TUNKU: Apa yang telah kita capai sekarang sudah begitu baik, tetapi hendak mencapai perpaduan sepenuhnya agak sukar. Tetapi kalau kita buat secara beransur-ansur memang boleh, asalkan niat hendak berbaik- baik di kalangan kita itu ada. Kalau tidak ada, kacau.

Perasaan kebimbangan antara kaum itu memanglah ada, sebab itulah saya kata kita mesti jujur dan bertimbang rasa semasa pemerintahan saya.

Saya dapati ramai orang Cina begitu juga orang India berbelah bagi taat setia mereka iaitu antara negeri asal mereka dan Tanah Melayu, tetapi saya menarik hati mereka supaya taat dan memberi keyakinan bahawa mereka akan selamanya di negara ini walaupun kuasa politiknya dikuasai oleh orang Melayu.

Menimbulkan

Jadi memanglah ada selalu kebimbangan itu bahawa kaum-kaum dalam negara ini boleh berpecah, tetapi asalkan kita tidak membuat perkara-perkara yang boleh menimbulkan pergaduhan, negara kita sudah tentu akan selamat. Saya masih teringat semasa peristiwa 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur dulu bukan main dahsyatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu.

Kalau timbulnya pergaduhan dari Perlis, Kedah hingga Johor sampai ke negeri-negeri sebelah Pantai Timur itu, apa hendak jadi pada negara ini saya tidak tahulah, macam saya ni bolehlah melarikan diri tetapi rakyat miskin dalam kampung hendak selamatkan diri di mana? Yang duduk di pekan hendak lari ke mana?

Siapa yang boleh menjaga setiap orang atau mereka semua? Jadi apa yang saya perhatikan selama 25 tahun merdeka ini, saya dapati perasaan terutama orang-orang muda atau generasi baru dan lebih-lebih lagi mereka yang keluar dari sekolah-sekolah yang dibantu oleh kerajaan, mereka ini sudah banyak memandang ke Malaysia sebagai tanah ibu pertiwi mereka.

Malah, mereka sudah belajar bahasa Melayu dan pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

Sampai dalam taman didikan kanak-kanak sendiri saya dapati kanak-kanak kaum lain begitu juga keadaannya, pernah anak saudara Adikong (Aide De Camp) yang belajar di tadika membaca al-Fatihah di depan saya, dari mula sampai habis. Jadi saya tanyalah tidakkah ibu bapa mereka marah kerana tadika itu bukan sekolah agama dan mengajar mereka membaca al-Quran pula.

Mereka memberitahu saya sebenarnya mereka tidak pernah mengajar membaca al-Quran kepada kanak-kanak bukan Islam.

Hanya kanak-kanak Melayu sahaja yang diajar membaca al-Quran, manakala kanak-kanak keturunan lain diajar mengenai adat dan tatatertib sahaja mungkin mereka pandai membaca al-Quran kerana banyak bergaul dengan kanak-kanak Melayu serta selalu mendengar mereka membaca kitab dan turut membaca bersama.

Jadi sampai begitu sekali keadaannya sekarang. Itulah saya berpegang kepada satu iaitu kita hidup dengan persefahaman yang baik, di antara satu sama lain dan harus bersyukur kepada hadrat Ilahi.

Tetapi kita mesti jaga keamanan itu agar tidak berlaku huru-hara atau perpecahan. Kalau sudah berpecah memanglah akan berpecah terus.

Kita dapat lihat sendiri seperti di Lebanon, penduduknya yang terdiri daripada satu bangsa tetapi kerana berlainan agama telah bergaduh sesama sendiri dari satu masa ke satu masa dan tidak pernah dapat hidup senang kecuali menanggung penderitaan akibat perbuatan sendiri.

Inilah perkara yang kita mesti awasi, saya pasti memang ada orang Melayu yang cuba hendak gunakan agama untuk memecahbelahkan antara satu sama lain.

Mereka tahu kalau digunakan cara lain sudah tentu agak sukar bagi mereka hendak mempengaruhi orang Melayu. Sebaliknya dengan menggunakan Islam orang Melayu akan lebih cepat tertarik hati. Kerana itu timbullah peristiwa sembahyang sampai dua imam dalam satu masjid. Inilah yang kita mesti jaga.

Agama Islam sebenarnya bertujuan memberi kebahagiaan kepada hambanya bukan untuk berpecah belah dan bergaduh antara satu sama lain. Sebab itu saya berusaha ‘simpangkan’ Perkim daripada kejadian seperti itu. Allah tidak melarang kita berbaik-baik dengan kaum lain. Inilah yang membimbangkan.

Bagaimana pula dengan ancaman komunis?

TUNKU: Ancamannya tidak begitu besar lagi seperti di zaman darurat dulu. Mereka sekarang tidak punya haluan lagi, mereka sudah tahu negara China tidak begitu memberi sokongan kepada perjuangan mereka, mereka pula sentiasa diburu oleh pasukan keselamatan baik di hutan Malaysia mahupun di Thailand.

Saya rasa seelok-eloknya lebih baik mereka menyerahkan diri sahaja kepada kerajaan daripada meneruskan perjuangan yang sia-sia itu. Sekiranya mereka menyerah diri dengan rela hati bolehlah kita berikan kebebasan kepada mereka setelah nyata mereka telah insaf dan sedar.

Apa pula pandangan Tunku tentang perubahan-perubahan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin dulu kepada negara dalam tempoh 25 tahun lalu?

TUNKU: Memang ada banyak perubahan, tetapi pembaharuan yang dibawa oleh para pemimpin itu tidak lari daripada dasar-dasar yang sedia ada. Dasar-dasarnya sama sahaja dari mula hingga hari ini. Perubahan-perubahan yang dibawa itu dibuat dalam rangka Perlembagaan negara, jadi dalam tempoh 25 tahun itu banyak perubahan telah berlaku tetapi ia didasarkan kepada asas-asas kemerdekaan seperti rancangan kemajuan tanah, pembangunan ekonomi dan pelajaran.

Para penduduk diberi tanah beberapa ekar untuk dimajukan. Pada masa itu sedikit sangat orang Melayu yang ada kerja dan miskin pula. Orang Melayu yang bekerja pada masa itu ialah kalangan pegawai kerajaan yang makan gaji. Kerajaan juga ada memberi peluang untuk orang Melayu berniaga.

Sekarang siapa saja, sama ada dia anak orang kaya atau pegawai besar atau pekerja rendah sama saja, masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk belajar.

Saya tengok mereka yang belajar di universiti dan yang sudah bekerja sekarang bukan lagi anak-anak orang besar atau anak-anak raja macam saya, itulah kemajuan yang kita dapat lihat sendiri.

Malaysia telah dianggap dan selalu disebut sebagai sebuah negara yang lebih maju dari negara-negara yang sudah merdeka. Jadi adakah betul anggapan itu?

TUNKU: Ya, memang betul sungguh anggapan itu, mana ada negara yang boleh dibandingkan dengan Malaysia? Bukan di rantau ini atau Asia Barat sahaja malah dalam dunia. Singapura tidak boleh dibandingkan dengan kita kerana ia merupakan sebuah “negeri bandar raya”.

Mencapai

Tidak pernah saya melihat negara yang maju seperti Malaysia semasa saya membuat lawatan-lawatan ke luar negeri. Cuba saudara tanya mana-mana orang Cina sekalipun yang pernah ke luar negara sama ada untuk makan angin atau sebagainya, tanya mereka negara manakah yang telah mencapai kemerdekaan yang lebih maju daripada negara kita.

Kalau kita tengok negeri-negeri di benua Afrika, lemah segala badan kita dibuatnya. Kesusahan dan penderitaan rakyat di negara-negara itu hanya Allah s.w.t. saja yang tahu. Kita lihat sahaja orang Islam yang terpaksa lari dari negara mereka.

Betapa deritanya mereka. Saya tahu perkara ini semua kerana saya sendiri yang bela pelarian Kampuchea. Siapa pun tidak ambil tahu, cuba kita dengar cerita penderitaan mereka. Mendengar sahaja sudah tidak tertahan.

Sekarang saya sedang cuba hendak mengambil kira-kira 20,000 orang Islam dari Vietnam. Sebab itulah sekarang saya masih lagi mengambil berat terhadap kerajaan, agama dan perkembangan politik dalam negara. Seboleh-bolehnya saya hendak memelihara keamanan dan kesenangan yang dinikmati oleh rakyat dan negara ini.

Bagaimana soal Singapura?

TUNKU: Soal Singapura, saya yang bagi kemerdekaan kepada negara itu bukannya orang lain, saya menghadapi berbagai tentangan, kritikan mahupun daripada kawan atau lawan kerana itu. Tetapi saya tahu kalau kita tidak lepas Singapura sudah tentu akan berlaku perkara yang tidak diingini. Jadi apabila ia diberi kemerdekaan keluar dari Malaysia, Singapura menjalankan halnya dan negara kita dengan urusannya, ramai orang kata saya penakut.

Bagaimana pula dengan perkembangan kepimpinan terutama dalam UMNO?

TUNKU: Masa Datuk Onn Jaafar meninggalkan UMNO dulu tidak ada siapa pun yang mahu pegang jawatan ketua UMNO itu. Jawatan itu ditawarkan pula kepada ahli-ahli UMNO lain tetapi seorang pun tidak mahu menerimanya kecuali Tun Sardon Jubir (bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang) dulu.

Tetapi mereka minta saya jadi ketuanya. Saya kata tidak mengapalah saya boleh jadi ketua UMNO. Pendek kata tidak ada siapa yang mahu jadi ketua pada masa itu. Semuanya menyuruh saya. Tetapi selepas saya berhenti memegang jawatan itu ramai pula yang hendak berebut tempat itu hingga sekarang. Ini menunjukkan perkembangan dan kejayaan kepimpinan semasa saya jadi ketua.

Bagaimana pula dengan kedudukan raja- raja Melayu?

TUNKU: Kedudukan raja-raja Melayu kita dalam negara memang tidak ada tolok bandingnya dengan raja-raja di lain-lain negara mereka.

Apakah pandangan Tunku terhadap masa depan negara?

TUNKU: Itu serah kepada Allah s.w.t., tidak ada siapa pun yang pandai dan boleh meramalkan masa depan mereka. Cuma apa yang dapat kita lihat sekarang negara berada dalam selamat.

Rakyat dapat hidup bersama dengan baik. Alhamdulillah... anak cucu cicit kita dapatlah hidup aman sikit, tetapi apa yang akan terjadi pada negara hanya Allah s.w.t. saja yang tahu.

Bagaimanapun kalau kita ini jujur, baik hati dan sentiasa berikhtiar mencari kebahagiaan Tuhan akan selamatkan kita, sebab itu saya tidak bimbang. Saya percaya sangat kepada kuasa Allah s.w.t.

Apakah sikap yang perlu ada pada rakyat untuk mencapai kemajuan negara dengan keadaan yang ada sekarang?

TUNKU: Selain daripada yang telah dibuat oleh kerajaan, kita sendiri mesti tumpukan usaha untuk memajukan negara, bangsa, keluarga dan diri sendiri. Rebutlah segala peluang yang disediakan kerajaan.

Adakah rakyat Malaysia akan mencapai tahap bangsa yang boleh dimegah dan dihormati oleh orang lain seperti yang diidamkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir?

TUNKU: Ya, sekarang pun kalau kita pergi mana-mana negara seperti negara Arab bila disebut saja dari Malaysia, mereka terus memuliakan kita, mereka akan layan kita dengan baik dan penuh hormat.

Apa nasihat Tunku kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara?

TUNKU: Saya berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik antara satu sama lain. Letakkan taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun, Malaysia tetap negara kita.

Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita. Jadi kita harus bersatu padu.

Berdoalah kepada Allah s.w.t. supaya dilimpah kurnia-Nya harapan kita untuk hidup dan berada dalam keadaan selamat selama-lamanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vX5SjYyL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

Laungan merdeka bergema -- Imbas kembali peristiwa kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London pada 1956

ARKIB : 18/08/2007
Oleh: LUKMAN ISMAIL dan SAIFULIZAM MOHAMAD
 
NOSTALGIA...Abdullah Ahmad Badawi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kanan) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (terlindung) mengibarkan Jalur Gemilang diarak menuju ke Dataran Pahlawan untuk merasmikan Bulan Kemerdekaan 2007 di Melaka, malam tadi. – Gambar ABDUL RAZAK LATIF.

MELAKA 17 Ogos – Laungan “Merdeka!" sekali lagi bergema di Padang Pahlawan, Banda Hilir di sini malam ini, mengimbas kembali peristiwa kepulangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dari London, 51 tahun lalu.

Gema merdeka yang disambut lebih 50,000 orang ramai yang membanjiri Padang Pahlawan sambil mengibarkan Jalur Gemilang menyemarakkan lagi semangat sambutan kemerdekaan itu.

Pada masa sama, gema merdeka telah menyebabkan 50 orang veteran kemerdekaan yang hadir pada majlis itu hiba dan ada antaranya mengesat air mata.

Di padang inilah, tepat pada 20 Februari 1956, ribuan rakyat daripada pelbagai kaum menyambut ketibaan Allahyarham Tunku yang baru tiba selepas mengadakan rundingan kemerdekaan di London.

Pada majlis malam ini, ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menaiki kereta Nash Rambler Custom Convertible 1951 disambut oleh ribuan orang ramai dari Jalan Bendahara ke Dataran Pahlawan.

Kereta merdeka dengan nombor pendaftaran sama iaitu M442 diperoleh dari Ohio, Amerika Syarikat - model sama yang digunakan oleh Allahyarham Tunku semasa perarakan di tempat yang sama, 51 tahun lalu.

Abdullah dalam ucapannya menyeru rakyat mempertahankan kemerdekaan negara kerana ia merupakan hadiah paling berharga yang diberikan oleh para pemimpin terdahulu.

Justeru atas semangat itu, tegas beliau, kedaulatan tersebut perlu dipertahankan daripada diceroboh oleh mana-mana pihak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz4vOe6WutS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 21 September 2017

20 minit cipta logo Hari Merdeka



 
ARKIB : 06/03/2007
CERIA... Nor Azian A. Hasan bersama logo Hari Kemerdekaan ciptaannya serta sijil penghargaan selepas diumumkan sebagai pemenang pada majlis pelancaran logo dan slogan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia di Putrajaya, semalam. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

PUTRAJAYA 5 Mac – Seorang pereka grafik, Nor Azian A. Hasan tidak menyangka logo ciptaannya yang disiapkan dalam tempoh 20 minit berjaya memenangi tempat pertama Pertandingan Mencipta Logo Perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50.

Kemenangan itu membolehkan Nor Azian, 36, yang berasal dari Negeri Sembilan, membawa pulang wang tunai RM10,000.

‘‘Walaupun tidak semahal harga sebuah rumah yang pernah dimenangi dalam satu pertandingan lain, ia tetap menggembirakan saya kerana dapat memberikan sumbangan sempena ulang tahun kemerdekaan negara,’’ katanya.

Nor Azian berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran logo dan slogan perayaan sambutan Kemerdekaan Ke-50 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di sini hari ini.

Menurut Nor Azian yang berkelulusan bidang grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), logo tersebut menampilkan reka bentuk berombak seperti kibaran bendera.

‘‘Ia bertujuan mewujudkan suasana hidup dan pergerakan memandang negara ini sudah mencapai usia 50 tahun,’’ jelasnya.

Nor Azian sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang pengiklanan, rekaan korporat, penerbitan dan multimedia serta mempunyai syarikat grafik sendiri di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Rais pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan berkata, kementeriannya akan mewujudkan Sekretariat Media bagi memastikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 dan mesej-mesej kemerdekaan diberi liputan lebih menyeluruh.

Bagi tujuan itu, katanya, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan membantu sekretariat tersebut supaya setiap stesen televisyen, radio, akhbar dan majalah memainkan peranan secara maksimum.

‘‘Sekretariat ini akan membantu Kementerian Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), akhbar-akhbar dan majalah menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan kepada seluruh masyarakat.

‘‘Pada tahun lalu terdapat media yang tidak memainkan peranan membantu mempromosikan sambutan kemerdekaan dan kita harap tahun ini liputannya lebih besar lagi,” katanya.

Slogan ‘Malaysiaku Gemilang’ dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini bagi menggantikan ‘Keranamu Malaysia’ yang sudah digunakan selama tujuh tahun.

Pemilihan itu dibuat berasaskan ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu ‘Malaysia Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.

Persiapan

Rais berkata, bagi memastikan persiapan sambutan kemerdekaan yang berkonsep mencetuskan minda baru kepada masyarakat berjalan lancar, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pandu Perayaan (JPP) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

‘‘Bagi tahun ini, JPP bersetuju agar konsep berasaskan bersyukur dengan kejayaan hasil perjuangan bersama dalam pelbagai bidang dan pengertian diketengahkan,” katanya.

Menurutnya, lima tonggak sambutan kemerdekaan tahun ini ialah pelancaran sambutan ulang tahun merdeka dan kempen Jalur Gemilang pada 17 Ogos di Melaka; program keagamaan pada 24 Ogos di seluruh negara dan sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Stadium Merdeka.

Turut diadakan ialah perbarisan merdeka pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan penutup perayaan pada 16 September di Kuching, Sarawak.

Rais menambah, para waris tokoh sejarah negara seperti Sir Henry Gurney, Sir Jeneral Gerald Templer dan J.M Garlic akan dijemput bagi menghargai sumbangan mereka dalam membantu kemerdekaan negara.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4tMdJvbee
© Utusan Melayu (M) Bhd